Mesej utama
° Terapi pemakanan melalui pengambilan suplemen tenaga dan protein melalui mulut boleh meningkatkan aktiviti harian (bukti yang sangat tidak pasti).
° Terapi pemakanan melalui pengambilan suplemen tenaga dan protein melalui mulut boleh mengurangkan ketidakupayaan (bukti yang sangat tidak pasti).
° Kami mengenal pasti pelbagai jenis intervensi pemakanan untuk orang kurang upaya dan aktiviti harian. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan untuk menentukan kesan setiap jenis terapi pemakanan terhadap ketidakupayaan dan aktiviti harian dalam kalangan penghidap angin ahmar.
Apakah itu strok atau angin ahmar?
Strok atau angin ahmar berlaku apabila bekalan darah ke sebahagian otak anda terganggu atau berkurangan. Terdapat tiga jenis strok yang paling utama: angin ahmar iskemia, yang berlaku apabila darah beku menyekat atau menyempitkan arteri yang menuju ke otak; angin ahmar hemoragik, yang berlaku apabila saluran darah di otak pecah, menyebabkan pendarahan di otak; dan pendarahan subaraknoid, yang berlaku apabila terdapat pendarahan di ruang antara otak dan membran di sekelilingnya (ruang subaraknoid).
Apakah itu terapi pemakanan?
Terapi pemakanan merupakan intervensi yang menggunakan nutrisi seperti protein, vitamin dan tenaga untuk hidangan harian dan/atau antara waktu makan, dan merangkumi penjagaan pemakanan berdasarkan keadaan setiap pesakit. Mereka yang menghidapi dan selepas serangan penyakit sering menerima terapi pemakanan.
Mengapakah tumpuan khusus diperlukan terhadap terapi pemakanan dalam kalangan mereka yang terkena serangan angin ahmar?
Pesakit strok mudah mengalami kekurangan zat makanan kerana mereka tidak menerima tenaga dan nutrisi yang mencukupi disebabkan oleh gangguan pada fungsi badan. Pesakit strok sering mengalami masalah fizikal dan kognitif, dan status pemakanan yang boleh menjejaskan penambahbaikkan kesihatan mereka.
Apakah yang ingin diketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terapi pemakanan boleh mengurangkan ketidakupayaan dan menambah baik aktiviti harian dalam kalangan penghidap angin ahmar.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari literatur perubatan untuk semua kajian rawak yang dijalankan ke atas terapi pemakanan di kalangan pesakit selepas diserang angin ahmar. Kami juga menilai sama ada terapi pemakanan ini selamat dari segi kesan sampingan yang tidak diingini. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian - kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami mengenal pasti 52 kajian yang melibatkan 11,926 peserta. Tiga puluh enam kajian yang melibatkan pesakit angin ahmar akut telah dijalankan (dalam tempoh 14 hari selepas serangan angin ahmar), 10 dengan pesakit angin ahmar subakut (dalam tempoh 6 bulan, dari 14 hari selepas serangan angin ahmar), tiga dengan pesakit angin ahmar akut dan subakut, dan tiga dengan pesakit angin ahmar kronik (selepas 6 bulan dari serangan angin ahmar). Jenis-jenis angin ahmar yang dikaji adalah iskemia melibatkan 23 kajian, hemoragik melibatkan tiga kajian, pendarahan subarachnoid (SAH) melibatkan tiga kajian, dan angin ahmar iskemia atau hemoragik termasuk SAH melibatkan 23 kajian. Kami mengenal pasti 25 jenis intervensi pemakanan dalam ulasan ini. Bilangan kajian yang menilai ketidakupayaan dan aktiviti harian sebagai dapatan masing-masing adalah sebanyak 9 dan 17 kajian.
Kami mengenal pasti enam kajian bagi intervensi utama penggunaan suplemen tenaga dan protein diambil melalui mulut.
Kami menemui bahawa terapi pemakanan menggunakan suplemen tenaga dan protein diambil melalui mulut:
- mungkin tidak mengurangkan ketidakupayaan; walau bagaimanapun, bukti tidak pasti
- boleh menambahbaik aktiviti harian; walau bagaimanapun, bukti sangat tidak pasti
Untuk hasil-hasil yang lain, terapi pemakanan menggunakan suplemen tenaga dan protein yang diambil melalui mulut:
- boleh menambahbaik status nutrisi dalam pertambahan berat badan; walau bagaimanapun, bukti sangat tidak pasti
- mungkin tidak mengurangkan risiko kematian daripada sebarang akibat; walau bagaimanapun, bukti tidak pasti
- dikaitkan dengan peningkatan kejadian cirit-birit dan sama ada hiperglisemia (keadaan di mana terdapat terlalu banyak gula (glukosa) dalam darah) atau hipoglisemia (keadaan di mana terdapat terlalu sedikit gula (glukosa) dalam darah); walau bagaimanapun, bukti tidak pasti
Kami tidak menemui sebarang kajian dengan suplemen tenaga dan protein yang diambil melalui mulut yang melaporkan kelajuan berjalan dan kualiti hidup.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Kami tidak yakin dengan bukti yang menunjukkan dapat mengurangkan ketidakupayaan dan menambah baik aktiviti harian atas sebab-sebab berikut:
- Pesakit dalam kebanyakan kajian menyedari intervensi yang mereka terima.
- Kakitangan penjagaan kesihatan dan penilai hasil menyedari intervensi yang diterima oleh pesakit.
- Kebanyakan kajian yang menilai ADL (aktiviti kehidupan seharian) tidak menerangkan kaedah mereka secara terperinci.
- kesan yang dialami mungkin berbeza bergantung kepada jenis angin ahmar, masa dari serangan angin ahmar, dan status pemakanan pada permulaan terapi pemakanan, tetapi kami tidak dapat menilai perbezaan tersebut dengan secukupnya disebabkan oleh bilangan kajian yang sedikit.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 19 Februari 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




