Mesej utama
Memanjangkan penggunaan pencair darah melebihi tempoh rawatan di hospital (selepas discaj) mengurangkan kebarangkalian pembentukan trombus darah (darah beku) di kaki dan embolus (darah beku) di paru-paru, namun meningkatkan risiko pendarahan besar.
Apakah itu tromboembolisme vena (VTE)?
Trombosis vena adalah apabila trombus darah (darah beku) terbentuk dalam urat. Keadaan ini boleh menyebabkan gejala seperti kesakitan dan bengkak akibat halangan aliran darah. Ia paling kerap berlaku dalam vena dalam pada kaki, yang lazimnya dikenali sebagai trombosis vena dalam (DVT). Dalam sesetengah keadaan, trombus darah boleh tercabut dan membentuk embolus (ketulan darah beku yang telah berpindah) yang bergerak melalui sistem vena ke bahagian lain dalam badan, paling lazim ke paru-paru. Keadaan ini dipanggil embolisme pulmonari (PE), yang kadangkala boleh membawa maut. Tromboembolisme vena (VTE) ialah istilah yang digunakan untuk menerangkan kedua-dua DVT dan PE. Kemasukan ke hospital akibat penyakit perubatan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi risiko VTE. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh pelbagai faktor risiko, termasuk masalah kesihatan sedia ada, penyakit baharu, penurunan pergerakan dan mungkin juga ubat-ubatan, sebab itulah pencegahan amat penting dalam kalangan pesakit ini.
Bagaimanakah VTE dapat dicegah dalam kalangan pesakit akut dan dimasukkan ke hospital?
Pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat penyakit perubatan dan berisiko tinggi untuk mengalami VTE boleh menjalani strategi pencegahan. Melainkan terdapat sebab untuk tidak berbuat demikian, pesakit kebiasaannya akan menerima ubat pencair darah bagi mengurangkan risiko VTE. Kebiasaannya, ubat pencair darah diberikan sepanjang tempoh kemasukan ke hospital. Melanjutkan pemberian ubat pencair darah selepas keluar dari hospital dicadangkan mungkin mempunyai kesan yang baik dan boleh mencegah VTE dengan lebih berkesan.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada melanjutkan pemberian ubat pencair darah melebihi tempoh kemasukan ke hospital dapat mengurangkan risiko menghidap VTE dan bahaya yang berkaitan berbanding hanya pemberian semasa tempoh kemasukan hospital sahaja. Kami juga ingin meneliti kesan sampingan yang tidak diingini berkaitan dengan melanjutkan tempoh pemberian ubat pencair darah.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang mengkaji pemberian ubat pencair darah yang dilanjutkan melebihi tempoh kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit perubatan akut dan membandingkannya dengan pemberian ubat pencair darah hanya semasa tempoh kemasukan ke hospital. Kami kemudian merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti saiz kajian masing-masing dan kaedah penyelidikan yang digunakan.
Apakah yang kami temui?
Carian kami menemui tujuh kajian klinikal, memasukkan 40,846 peserta yang menjawab soalan kajian kami. Kebanyakan kajian melaporkan hasil dalam jangka masa pendek (iaitu semasa tempoh rawatan dan dalam tempoh 45 hari selepas kemasukan ke hospital).
Ubat pencair darah yang diberikan dalam tempoh yang lebih panjang, berbanding dengan ubat pencair darah dalam tempoh biasa, mengurangkan risiko VTE simptomatik jangka pendek (iaitu VTE yang muncul berdasarkan simptom yang dilaporkan oleh pesakit). Namun, manfaat tersebut diimbangi oleh peningkatan risiko pendarahan teruk jangka pendek (contohnya memerlukan pemindahan darah dan/atau dikaitkan dengan penurunan haemoglobin yang teruk). Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua strategi dari segi kematian akibat pelbagai punca. Ubat pencair darah yang diberikan dalam tempoh yang lebih panjang, berbanding dengan ubat pencair darah dalam tempoh biasa, mengurangkan jumlah kes VTE jangka pendek (termasuk yang muncul dengan atau tanpa simptom, dan hanya ditemui melalui ujian/saringan rutin) dan keputusan gabungan bagi kejadian vaskular yang membawa maut dan tidak boleh dipulihkan (termasuk serangan jantung bukan maut, embolisme pulmonari bukan maut, kematian akibat sebab jantung/paru-paru, atau strok). Namun, kemungkinan terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua strategi dari segi pendarahan maut (pendarahan serius yang mengakibatkan kematian) atau kematian akibat VTE.
Apakah batasan bukti?
Apabila menilai kematian akibat pendarahan dan kematian berkaitan VTE, keputusan daripada kajian-kajian tersebut menunjukkan variasi yang ketara.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nor Aimilia Hanim Binti Ab Satar (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).