Langkau ke kandungan utama

Adakah rawatan progestogen efektif untuk mencegah keguguran?

Kami ingin tahu rawatan progestogen mana yang paling efektif, selamat, dan kurang kesan sampingan untuk mencegah keguguran dalam kalangan wanita yang terancam dengan keguguran berulang, menggunakan bukti dari kajian rawak terkawal. Kami melihat bilangan wanita yang bersalin, atau keguguran.

Apakah isunya?

Keguguran adalah penyebab paling lazim kehilangan kehamilan awal dalam 24 minggu pertama dan salah satu komplikasi paling lazim di awal kehamilan. Dianggarkan 15% hingga 20% kehamilan akan berakhir dengan keguguran, dengan 25% wanita mengalami keguguran dalam hayat mereka. Wanita boleh berisiko untuk keguguran jika mereka mengalami perdarahan di awal kehamilan, atau jika mereka ada sejarah keguguran.

Mengapakah hal ini penting?

Progesteron adalah hormon kehamilan penting yang membantu mengekalkan kehamilan. Pelbagai jenis rawatan seperti progesteron (dikenali sebagai progestogen) telah diguna untuk merawat wanita dengan perdarahan di awal kehamilan. Ia juga diguna untuk mencegah keguguran dalam kalangan wanita dengan sejarah keguguran. Terdapat ketidakpastian tentang keberkesanan, keselamatan, dan kesan sampingan progestogen sedia ada untuk mencegah keguguran dalam pelbagai kumpulan wanita. Kami ingin tahu rawatan mana yang paling efektif dan selamat. Kami mengumpul dan menganalisi semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada Disember 2020, dan menemui tujuh kajian melibatkan 5682 wanita. Semua wanita diurus di hospital. Wanita didiagnos perdarahan di awal kehamilan (dikenali sebagai keguguran terancam), atau ada sejarah tiga atau lebih keguguran sebelumnya (dikenali sebagai keguguran berulang). Empat rawatan progestogen yang berbeza diguna: progesteron mikroniz faraj, dydrogesterone oral, progesteron mikroniz oral dan 17-α-hydroxyprogesterone disuntik ke dalam otot. Dalam enam kajian, rawatan dibanding dengan plasebo yang tidak aktif.

Tiga kajian melibatkan 4496 wanita dengan keguguran terancam, sesetengahnya pernah mengalami keguguran. Secara keseluruhan, progesteron mikroniz faraj (bukti berkualiti tinggi) dan dydrogesterone oral (bukti berkualiti sederhana) memberi sedikit perbezaan bilangan wanita yang akhirnya bersalin berbanding plasebo. Kami seterusnya mengkaji wanita yang pernah mengalami keguguran sebelumnya, kini mengalami keguguran terancam, dan diberi progesteron mikroniz faraj atau plasebo. Bagi wanita dengan satu atau lebih keguguran sebelumnya, progesteron mikroniz faraj meningkatkan kadar kelahiran hidup berbanding plasebo (bukti berkualiti tinggi). Wanita yang tiada keguguran sebelumnya, tetapi kini mengalami perdarahan di awal kehamilan tidak menunjukkan peningkatan dalam kadar kelahiran hidup (bukti kepastian tinggi).

Bagi wanita dengan keguguran berulang, kami mendasarkan penemuan kami kepada satu kajian melibatkan 826 wanita. Secara keseluruhan, progesteron mikroniz faraj membuat sedikit perbezaan dengan kadar kelahiran hidup berbanding plasebo. Bukti dydrogesterone berbanding plasebo untuk wanita dengan keguguran berulang adalah bukti kepastian yang sangat rendah, oleh itu efeknya masih tidak jelas. Tiada data sedia ada untuk menilai keberkesanan 17-α-hydroxyprogesterone atau progesteron mikroniz oral untuk hasil kelahiran hidup dalam kalangan wanita dengan keguguran berulang.

Dari data sedia ada, mungkin tiada perbezaan dalam kejadian buruk yang berkait dengan progesteron mikroniz faraj. Tiada perbezaan dalam cacat lahir dan kesan sampingan dengan progesteron mikroniz faraj berbanding plasebo. Tiada cukup maklumat tentang keselamatan dan cacat lahir untuk di analisis bagi semua rawatan lain.

Apakah maksudnya?

Keseluruhan bukti sedia ada menunjukkan progestogen mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kelahiran hidup bagi wanita dengan keguguran terancam atau berulang. Progesteron mikroniz faraj mungkin meningkatkan kadar kelahiran hidup bagi wanita yang mengalami perdarahan di awal kehamilan dan ada sejarah satu atau lebih keguguran sebelumnya, dengan kemungkinan tiada perbezaan dalam kejadian buruk. Masih ada ketidakpastian tentang keberkesanan dan keselamatan rawatan progestogen alternatif untuk keguguran terancam dan berulang.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Devall AJ, Papadopoulou A, Podesek M, Haas DM, Price MJ, Coomarasamy A, Gallos ID. Progestogens for preventing miscarriage: a network meta-analysis. Cochrane Database of Systematic Reviews 2021, Issue 4. Art. No.: CD013792. DOI: 10.1002/14651858.CD013792.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan