Langkau ke kandungan utama

Adakah ubat progestogen bermanfaat untuk mencegah keguguran berulang?

Mesej utama

  • Memberi ubat progestogen berkemungkinan memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemungkinan keguguran atau kelahiran hidup bagi wanita yang sebelum ini mengalami keguguran tanpa sebab yang diketahui.

Apakah keguguran berulang?

Kehilangan awal kandungan, juga dikenali sebagai keguguran, biasanya berlaku pada trimester pertama (13 minggu pertama kehamilan). Bagi sesetengah wanita dan pasangan mereka, keguguran boleh berlaku beberapa kali. Ini juga dikenali sebagai keguguran berulang. Walaupun kadangkala terdapat punca untuk keguguran, selalunya tiada sebab yang jelas mengapa ia berlaku.

Apakah progestogen, dan mengapa ia boleh digunakan?

Hormon yang dikenali sebagai progesteron menyediakan rahim (uterus) untuk menerima dan menyokong telur yang baru disenyawa ketika peringkat awal kehamilan. Ada cadangan yang menyatakan sesetengah wanita yang keguguran mungkin tidak menghasilkan progesteron secukupnya semasa peringkat awal kehamilan. Suplemen dengan ubat-ubatan yang bertindak seperti progesteron (dipanggil progestogen), sama ada semula jadi atau sintetik, telah dicadangkan sebagai cara yang mungkin boleh mencegah keguguran berulang. Mengalami keguguran boleh menyebabkan kesukaran fizikal dan emosi wanita dan pasangan mereka. Mencari terapi untuk mengurangi keguguran berulang mungkin dapat membantu mereka menghindari keguguran dan memperolehi bayi yang hidup.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada memberi progestogen pada awal kehamilan adalah lebih baik daripada tidak memberi apa-apa untuk memperbaiki:

  • keguguran (berharap untuk mengurangkan ini);

  • kadar kelahiran hidup (berharap untuk meningkatkan ini);

  • masalah lain untuk ibu dan bayi (dengan harapan dapat mengurangi masalah ini, seperti berat lahir rendah atau keperluan penjagaan khas).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian diterbitkan yang melibatkan wanita yang mengalami keguguran berulang dan sama ada memberi mereka rawatan progestogen atau tiada rawatan (atau pil 'palsu'). Kami mengecualikan kajian terhadap wanita yang menjalani rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF).

Apakah yang kami temui?

Kami menemui sembilan kajian yang mlibatkan sejumlah 1426 wanita dengan sejarah keguguran berulang. Lapan kajian mengandungi maklumat yang boleh kami gunakan, untuk sejumlah 1276 wanita. Kajian-kajian ini menemui bahawa memberi ubat progestogen pada awal kehamilan kepada wanita yang mengalami keguguran berulang mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada peluang mereka untuk keguguran. Kami mendapati memberi ubat progestogen melalui mulut, suntikan, atau ke dalam faraj, adalah mungkin tidak lebih baik berbanding cara-cara lain. Kajian juga menunjukkan bahawa pemberian progestogen kepada wanita yang mengalami keguguran berulang sebelum ini mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada peluang untuk mempunyai bayi hidup kehamilan semasa. Kami tidak pasti tentang kesan progestogen terhadap kemungkinan kelahiran pramatang, kematian bayi baru lahir, kecacatan kelahiran bayi baru lahir, atau kelahiran mati.

Apakah batasan bukti?

Kami menemui bukti daripada kajian lama, kebanyakannya agak kecil. Ini juga bermakna bahawa beberapa butiran tentang bagaimana beberapa kajian dilakukan tidak jelas. Tidak semua kajian menyediakan data tentang semua yang kami minati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan kemas kini ini mencari bukti pada 25 Julai 2024.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Petikan
Haas DM, Bofill Rodriguez M, Hathaway TJ, Ramsey PS. Progestogen for preventing miscarriage in women with recurrent miscarriage of unclear etiology. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 6. Art. No.: CD003511. DOI: 10.1002/14651858.CD003511.pub6.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan