Langkau ke kandungan utama

Probiotik sebagai rawatan tambahan bagi diabetes gestasi untuk memperbaiki hasil ibu dan bayi

Apakah isunya?

Diabetes melitus gestasi (GDM) adalah tak tolerans karbohidrat yang meningkatkan paras glukosa darah, pertama kali dikesan semasa hamil. Wanita hamil dengan GDM adalah berisiko tekanan darah tinggi, induksi bersalin, dan caesar. Bayi mereka berisiko untuk dilahirkan besar, kesukaran bersalin, distres respiratori, glukosa darah rendah semasa lahir dan jaundis yang boleh menyebabkan kecederaan otak. Terdapat peningkatan risiko menghidap diabetes jangka panjang bagi ibu, dan bayi berlebihan berat badan. Probiotik adalah mikro-organisma semula jadi dalam makanan dan terdapat dalam susu tertapai, yogurt, atau kapsul. Terdapat pelbagai probiotik; dua jenis yang paling kerap diguna adalah Lactobacillus dan Bifidobacterium, dan jika dimakan dalam amaun yang cukup mungkin memberi manfaat kesihatan.

Mengapakah ini penting?

Probiotik perlu selamat dan tahap glukosa darah ibu diurus dengan baik semasa hamil.

Wanita dengan GDM mungkin menerima pendidikan diet dan aktiviti fizikal dengan memantau paras glukosa darah sebagai pengurusan awal. Apabila paras glukosa darah melebihi ambang tertentu, wanita dengan GDM diberi ubat penurunan glukosa termasuk metformin dan/atau insulin. Ulasan ini bertujuan untuk menentukan keselamatan dan keberkesanan probiotik dalam merawat wanita dengan GDM.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti untuk kajian rawak terkawal (terkini Julai 2019). Kami mengenal pasti sembilan kajian, melibatkan 695 wanita dengan GDM. Semua kajian membandingkan probiotik dengan plasebo. Kepastian bukti dinilai sebagai sangat rendah atau rendah. Risiko bias keseluruhan adalah rendah atau tidak jelas.

Tujuh kajian dijalankan di Iran; satu di Thailand, dan satu di Ireland. Kajian berjalan di hospital dan universiti.

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan di antara probiotik dan plasebo dalam kadar: gangguan tekanan darah tinggi (tiga kajian, 256 peserta, bukti berkepastian rendah); pembedahan caesar (tiga kajian, 267 wanita, bukti berkepastian rendah); dan bayi yang besar bagi usia kehamilan (dua kajian, 174 peserta, bukti berkepastian rendah).

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan di antara probiotik dan plasebo untuk induksi bersalin (satu kajian, 127 peserta, bukti kepastian sangat rendah) dan paras glukosa darah yang rendah dalam bayi baru lahir (tiga kajian, 177 peserta, bukti kepastian rendah). Kami juga tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan di antara probiotik dan plasebo untuk perdarahan yang banyak sejurus selepas bersalin, kenaikan berat badan semasa hamil atau jumlah kenaikan berat badan gestasi.

Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan glukosa darah semasa berpuasa di antara probiotik dan plasebo (tujuh kajian, 554 peserta). Probiotik mungkin dikaitkan dengan sedikit pengurangan trigliserida dan jumlah kolesterol (empat kajian, 320 peserta). Terdapat pengurangan rembesa insulin dengan probiotik (tujuh kajian, 505 peserta). Satu kajian (60 peserta) menunjukkan tiada perbezaan di antara kumpulan yang memerlukan insulin.

Biopenanda, menunjukkan pengurangan resistan insulin (HOMA-IR), (tujuh kajian, 505 peserta) dan resistan insulin dan fungsi sel β (HOMA-B) (dua kajian, 130 peserta) dengan probiotik. Indeks semakan sensitiviti insulin kuantitatif (QUICKI) meningkat (empat kajian, 276 peserta) dengan probiotik.

Penanda keradangan, hs-CRP (empat kajian, 248 peserta) dan interleukin 6 (dua kajian, 128 peserta) menurun dengan probiotik. Jumlah antioksidan glutathione meningkat (dua kajian, 120 peserta) dan biopenanda stres oksidatif malondialdehyde menurun dengan probotik (tiga kajian, 176 peserta). Kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan dalam jumlah kapasiti antioksidan (empat kajian, 266 peserta).

Bagi bayi baru lahir, kami tidak pasti jika terdapat sebarang perbezaan di antara kumpulan-kumpulan untuk: berat lahir, usia gestasi semasa lahir, kelahiran pramasa, bayi yang besar, skor ukurlilit kepala dan panjang, atau keperluan untuk kemasukan ke unit rawatan rapi neonatal. Bilangan bayi dengan paras bilirubin yang tinggi berkurang dengan probiotik.

Tiada peristiwa buruk dilaporkan oleh kajian-kajian.

Apakah maksudnya?

Berdasarkan kajian klinikal sedia ada, bukti adalah terhad untuk menyokong penggunaan probiotik sebagai rawatan untuk wanita dengan GDM bagi memperbaiki hasil kehamilan untuk ibu dan bayi mereka. Kajian rawak terkawal lebih besar dengan reka bentuk lebih baik diperlukan untuk menilai kesan probiotik ke atas pengurusan paras glukosa dan apabila tersedia, ia boleh disertakan dalam ulasan kemas kini.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Okesene-Gafa KAM, Moore AE, Jordan V, McCowan L, Crowther CA. Probiotic treatment for women with gestational diabetes to improve maternal and infant health and well-being. Cochrane Database of Systematic Reviews 2020, Issue 6. Art. No.: CD012970. DOI: 10.1002/14651858.CD012970.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan