Mesej utama
-
Tidak jelas sama ada magnesium sulfat, sama ada secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain, memperbaik hasil pesakit dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun dengan bronkiolitis.
-
Kajian yang besar dan direka bentuk dengan baik pada masa hadapan diperlukan untuk melihat manfaat dan mudarat magnesium sulfat dalam bronkiolitis akut.
Apakah bronchiolitis akut?
Bronkiolitis akut adalah jangkitan paru-paru yang lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru menjadi tersumbat, menyebabkan batuk, semput, dan kesukaran bernafas. Bronkiolitis disebabkan oleh virus. Rawatan biasa melibatkan rawatan sokongan, termasuk cecair yang mencukupi dan oksigen yang dilembapkan. Kanak-kanak dengan bronkiolitis mungkin memerlukan rawatan rapi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada magnesium sulfat, sama ada secara bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain, adalah lebih berkesan dan selamat dibandingkan pilihan rawatan yang lain untuk bronkiolitis akut.
Apakah yang dilakukan?
Kami telah mencari dan sertakan kajian yang bandingkan magnesium sulfat (bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain) dengan pilihan rawatan yang lain. Kami menggabungkan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang ditemukan?
Kami menyertakan tujuh kajian (816 kanak-kanak) dijalankan di Qatar, Turki, Iran, China dan India. Empat kajian melibatkan kanak-kanak dengan bronkiolitis sederhana hingga teruk . Kajian membandingkan magnesium sulfat, yang diberikan melalui tiub ke dalam vena (intravena) atau sebagai semburan sedutan halus (dinebulisasi), dengan rawatan palsu (plasebo), ubat untuk membuka saluran pernafasan (salbutamol atau epinefrin), larutan air garam (saline hipertonik), rawatan biasa (oksigen dan cecair yang mencukupi), atau tiada rawatan.
Tidak jelas sama ada magnesium sulfat bersendirian atau digabungkan dengan rawatan yang lain memperbaik hasil seperti mengurangkan kematian, masalah perubatan yang tidak dijangka semasa rawatan, masa yang dihabiskan di hospital, atau keterukan penyakit (berdasarkan skor penilaian klinikal doktor). Masa yang diambil untuk pulih tidak diukur.
Apakah keterbatasan bukti tersebut?
Secara keseluruhan, kami berkeyakinan sangat rendah terhadap bukti, terutamanya kerana kajian yang disertakan melibatkan bilangan kanak-kanak yang sedikit, dan terdapat masalah dengan kaedah kajian. Kajian lanjut berkemungkinan akan mengubah keputusan ulasan ini.
Adakah bukti ini yang terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).
Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.




