Langkau ke kandungan utama

Magnesium sulfat untuk merawat kanak-kanak berusia sehingga dua tahun dengan bronkiolitis

Soalan ulasan

Kami menyiasat keberkesanan dan keselamatan magnesium sulfat untuk merawat kanak-kanak berusia sehingga dua tahun dengan bronkiolitis akut.

Latar belakang

Bronkiolitis akut adalah disebabkan oleh virus, dan kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak berusia sehingga dua tahun. Penyakit ini menyekat saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru, menyebabkan batuk, berdehit, dan kesukaran bernafas. Rawatan biasa melibatkan rawatan sokongan, termasuk memberikan cecair yang mencukupi dan oksigen yang dilembapkan. Kanak-kanak dengan bronkiolitis mungkin memerlukan rawatan rapi.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 30 April 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan empat kajian (564 kanak-kanak) yang telah dijalankan di Qatar, Turkiye, Iran dan India. Tiga kajian melibatkan kanak-kanak dengan bronkiolitis tahap sederhana hingga teruk. Kajian membandingkan magnesium sulfat yang diberikan melalui tiub ke dalam vena (intravena) atau sebagai semburan halus yang disedut (menggunakan nebulizer), dengan rawatan palsu (dikenali sebagai plasebo - sesuatu yang kelihatan seperti rawatan magnesium sulfat), ubatan untuk membuka saluran pernafasan (salbutamol atau epinefrin), larutan air garam (garam hipertonik), atau tiada rawatan.

Sumber pembiayaan kajian

Satu kajian menerima pembiayaan daripada sebuah hospital dan satu daripada sebuah universiti; dua kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada magnesium sulfat intravena atau dengan menggunakan nebulizer, sama ada sendirian atau gabungan dengan rawatan lain, memperbaik bronkiolitis dalam kalangan kanak-kanak berusia sehingga dua tahun. Kami tidak dapat menentukan sama ada magnesium sulfat mengurangkan kematian, masalah perubatan luar jangkaan semasa rawatan, masa yang dihabiskan di hospital, atau tahap keterukan penyakit (berdasarkan skor penilaian klinikal doktor). Masa yang diambil untuk sembuh tidak diukur.

Kepastian bukti

Keseluruhannya, kami amat tidak yakin dengan keputusan ini.

Nota terjemahan

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Chandelia S, Kumar D, Chadha N, Jaiswal N. Magnesium sulphate for treating acute bronchiolitis in children up to two years of age. Cochrane Database of Systematic Reviews 2020, Issue 12. Art. No.: CD012965. DOI: 10.1002/14651858.CD012965.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan