Langkau ke kandungan utama

Rawatan psikologi untuk sakit kronik melibatkan kerosakan atau penyakit saraf yang bertanggungjawab untuk kesakitan

Ramai orang mengalami kesakitan daripada kecederaan atau penyakit yang hilang dalam tempoh tiga bulan, tetapi untuk sebilangan orang kesakitan tersebut berterusan. Apabila kesakitan melibatkan perubahan terhadap saraf kita menggelarkan kesakitan tersebut ‘neuropatik’. Walaupun keadaan tersebut menjadi semakin lazim, rawatan yang kita ada hanya membantu sebilangan kecil sahaja. Setelah rawatan pembedahan atau farmakologi yang tidak berjaya, orang dengan sakit kronik mungkin boleh ditawarkan pemulihan berdasarkan psikologi untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Walaupun kita mengetahui bahawa ini boleh membantu orang dengan kesakitan kronik jenis yang lain, rawatan ini untuk kesakitan neuropatik sahaja mendapat kurang perhatian penyelidikan.

Dalam ulasan ini, kami berminat untuk mengetahui sama ada rawatan psikologi menambah baik kesakitan, penderitaan, dan kehilangan upaya dalam kalangan orang dengan sakit neuropatik kronik. Kami mencari penulisan akademik sehingga Mac 2015 dan mengenal pasti dua kajian rawak terkawal (piawai reka bentuk terbaik untuk kajian klinikal) mengenai intervensi psikologi untuk sakit neuropatik kronik. Dua kajian tersebut melibatkan 105 peserta: satu kajian melibatkan 61 orang dengan kesakitan dari kecederaan saraf tunjang dan 44 orang yang lain dengan gejala mulut terbakar.

Keyakinan kami dalam keputusan kajian individu dibatasi oleh beberapa potensi bias dalam cara ianya dijalankan. Kami tidak dapat menganalisis keputusan dua kajian tersebut bersama-sama kerana pengalaman orang dengan kecederaan saraf tunjang atau mulut terbakar adalah terlalu berbeza antara satu sama lain. Bersendirian, kajian-kajian tersebut adalah terlalu kecil untuk kami melakukan analisis statistik. Walau bagaimanapun, tiada kajian menemui sebarang manfaat yang jelas untuk rawatan. Kami menyimpulkan pada masa ini tiada bukti yang membantu pengamal perubatan dan pesakit untuk membuat keputusan sama ada untuk menggunakan rawatan ini. Kami membincangkan kajian apa yang diperlukan.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Petikan
Eccleston C, Hearn L, Williams AC de C. Psychological therapies for the management of chronic neuropathic pain in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 10. Art. No.: CD011259. DOI: 10.1002/14651858.CD011259.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan