Langkau ke kandungan utama

Sel stem dari sumsum tulang atau sel stem dari darah periferal: mana yang lebih baik untuk orang dewasa dengan kanser darah?

Mesej utama

• Pemindahan sel stem darah adalah pilihan terapeutik yang relevan untuk merawat orang dengan gangguan darah. Sel stem darah boleh diambil dari sumber yang berbeza, termasuk darah periferal dan sumsum tulang.
• Pemindahan sumsum tulang dan pemindahan sel stem darah periferal mungkin membawa kepada hasil yang serupa dari segi kelangsungan hidup keseluruhan.
• Untuk kemaskini ini, kami tidak menemui kajian baru yang layak. Penyelidikan masa depan harus bertujuan untuk mengetahui sumber sel stem yang terbaik untuk orang dewasa dengan gangguan darah. Maklumat lanjut diperlukan mengenai pilihan seperti penderma keluarga haploidentik, di mana penderma adalah separa padan dengan penerima, disebabkan oleh ia adalah pilihan rawatan yang baru muncul.

Apakah itu pemindahan sel stem?

Sel stem adalah sel khas yang boleh berkembang menjadi jenis sel yang berbeza dan memperbaiki tisu yang rosak. Pemindahan sel stem adalah pilihan rawatan penting bagi orang yang menghidap kanser darah, kegagalan sumsum tulang, atau kecacatan kelahiran dalam pembentukan darah. Dalam pemindahan sel stem, sel stem diambil dari darah, sumsum tulang, atau jarang dari darah tali pusat penderma yang sihat dan diberikan kepada penerima. Tujuannya adalah untuk mengisi semula badan penerima dengan sel-sel yang sihat selepas rawatan pra-rawatan dengan kemoterapi, radiasi, atau kedua-duanya. Teknik pemindahan sel stem klasik yang diperkenalkan pada tahun 1970-an melibatkan pengekstrakan sel stem sumsum tulang dari tulang pelvis penderma. Sejak awal 1990-an, adalah mungkin untuk mengumpul sel stem dari darah periferal dengan merangsang penderma dengan hormon tertentu yang disebut G-CSF (faktor merangsang koloni granulosit). Prosedur ini lebih mudah, membawa kepada pemulihan sel darah yang lebih cepat selepas pemindahan, dan sebahagian besarnya telah menggantikan pemindahan sumsum tulang pada orang dewasa dengan kanser darah.

Sumsum tulang berbanding darah periferal

Untuk pemindahan yang berjaya, lebih baik jika sel stem berasal dari penderma yang sihat dengan tisu yang serasi secara genetik. Penderma boleh berkaitan atau tidak berkaitan dengan penerima. Kedua-dua sumber sel stem mempunyai kelebihan dan kekurangan. Beberapa kajian mendapati bahawa komplikasi seperti penyakit graft-versus-host (gvHD) kurang biasa selepas pemindahan sel stem sumsum tulang. GvHD berlaku apabila sel penderma menyerang tisu sihat penerima. Walau bagaimanapun, pertumbuhan sel stem dan sel darah baru (dikenali sebagai ‘engraftment’) lebih perlahan selepas pemindahan sumsum tulang daripada selepas pemindahan darah periferal. Keputusan penting yang lain adalah kelangsungan hidup bebas daripada penyakit (masa sehingga penyakit itu kembali atau penerima meninggal dunia). Sebilangan besar kajian menemui bahawa kelangsungan hidup bebas daripada penyakit dan keseluruhan adalah serupa dengan kedua-dua jenis pemindahan sel stem.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemindahan sumsum tulang adalah lebih baik daripada pemindahan sel stem periferal untuk memperbaiki:

• Kelangsungan hidup secara keseluruhan
• kelangsungan hidup bebas daripada penyakit;
• kematian tanpa penyakit itu kembali;
• GvHD yang berterusan dalam jangka masa panjang;
• GvHD yang teruk yang berlaku dalam jangka pendek; dan
- Kualiti hidup.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari telah kajian yang membandingkan pemindahan sumsum tulang dengan pemindahan sel darah periferal pada orang dewasa dengan gangguan darah. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Dalam versi ulasan sebelum ini (dari 2014), kami mendapati sembilan kajian yang melibatkan 1521 orang dengan gangguan darah. Mereka dijalankan di Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand, Brazil, Australia, Mesir, dan di seluruh Eropah. Umur purata orang dengan gangguan darah adalah antara 21 dan 45 tahun di semua kajian. Dalam kemaskini ini, kami tidak menemui kajian baru, tetapi kami menemui maklumat baru mengenai kualiti hidup dan jangkitan dari salah satu kajian yang sebelum ini disertakan.

Keputusan utama

Ulasan yang dikemas kini ini tidak menjejaskan kesimpulan ulasan kami sebelum ini.

Pemindahan sumsum tulang berbanding dengan pemindahan sel stem darah periferal mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup keseluruhan, dan boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup dan kematian bebas daripada penyakit tanpa penyakit itu kembali. Pemindahan sumsum tulang berbanding dengan pemindahan sel stem darah periferal mungkin mengurangkan risiko GvHD jangka panjang dan boleh mengurangkan risiko GvHD jangka pendek yang teruk. Orang yang menjalani pemindahan sumsum tulang mempunyai kualiti hidup yang lebih baik selepas lima tahun.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin secara sederhana dengan hasil kami mengenai kelangsungan hidup keseluruhan, GvHD jangka panjang, dan GvHD jangka pendek yang teruk. Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti untuk kelangsungan hidup bebas daripada penyakit, kematian tanpa penyakit itu kembali, dan kualiti hidup. Batasan utama adalah orang yang mengukur hasil dalam kajian mengetahui jenis pemindahan yang diterima oleh setiap orang, dan ini boleh mempengaruhi penilaian mereka.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan kami terdahulu (2014). Kami menyertakan bukti sehingga November 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Petikan
Kiene S, Albrecht M, Theurich S, Scheid C, Skoetz N, Holtick U. Bone marrow versus peripheral blood allogeneic haematopoietic stem cell transplantation for haematological malignancies in adults. Cochrane Database of Systematic Reviews 2024, Issue 11. Art. No.: CD010189. DOI: 10.1002/14651858.CD010189.pub3.