Mesej utama
-
Xpert Ultra mempunyai sensitiviti (orang dengan tuberkulosis yang didiagnosis dengan betul sebagai menghidap keadaan ini) dan spesifisiti tinggi (orang yang tiada tuberkulosis yang dikenal pasti dengan betul sebagai tiada keadaan ini) untuk diagnosis tuberkulosis paru-paru (pulmonari) dalam kalangan orang yang disyaki tuberkulosis berdasarkan tanda, gejala atau x-ray dada yang abnormal.
-
Xpert Ultra mempunyai sensitiviti tinggi (orang dengan rintangan rifampisin yang didiagnosis dengan betul ada rintangan) dan spesifisiti tinggi (orang tanpa rintangan rifampicin dikenal pasti dengan betul sebagai tiada rintangan) untuk rintangan rifampicin (rawatan penting bagi tuberkulosis).
-
Xpert Ultra menunjukkan kurang sensitiviti dalam kalangan orang tuberkulosis dengan smer kahak negatif (mukus dari saluran pernafasan yang diperiksa di bawah mikroskop dan bakteria tuberkulosis tidak dilihat) dan kurang spesifisiti dalam kalangan orang dengan sejarah tuberkulosis.
Mengapa memperbaik diagnosis tuberkulosis pulmonari penting?
Tuberkulosis pulmonari adalah penyakit paru-paru yang disebabkan oleh bakteria (kuman) yang merebak melalui udara melalui titisan dari orang yang dijangkiti. Di peringkat awal, ia tetap tidak aktif (tidak membiak) dan menunjukkan gejala seperti demam, batuk, penurunan berat badan, dan berpeluh malam. Tuberkulosis adalah salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Apabila orang mendapat rawatan yang betul dan tepat pada waktu, tuberkulosis biasanya boleh sembuh. Satu masalah yang terlibat dalam mengurus tuberkulosis adalah bakteria menjadi rintang terhadap rifampicin (antibiotik), yang bermaksud ubat itu tidak lagi berfungsi. Kawalan tuberkulosis diancam oleh kelewatan diagnosis dan rawatan tuberkulosis yang tidak sesuai apabila orang rintang terhadap rifampicin. Orang yang hidup dengan jangkitan HIV berisiko mengalami tuberkulosis.
Apakah ujian Xpert Ultra?
Xpert Ultra disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (organisasi antarabangsa terkenal yang memfokus kepada kesihatan global) sebagai ujian pantas yang serentak mengesan tuberkulosis dan rintangan rifampicin.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tentukan ketepatan Xpert Ultra untuk mendiagnosis tuberkulosis pulmonari dan rintangan rifampicin dalam kalangan dewasa (berumur 15 tahun ke atas) dan remaja (berumur 10 hingga 14 tahun).
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat tepat Xpert Ultra dalam mendiagnosis tuberkulosis pulmonari dan rintangan rifampicin.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 32 kajian (12,529 orang) yang menilai Xpert Ultra untuk mendiagnosis tuberkulosis pulmonari, dan 10 kajian (1644 orang) yang menilai Xpert Ultra untuk rintangan rifampicin.
Untuk mengesan tuberkulosis, Xpert Ultra mempunyai:
-
Sensitiviti tinggi (91 daripada 100 orang dengan tuberkulosis didiagnosis dengan betul mempunyai keadaan; Xpert Ultra terlepas 9 kes);
-
Spesifisiti tinggi (95 daripada 100 orang tanpa tuberkulosis dikenal pasti dengan betul sebagai tiada keadaan itu; Xpert Ultra terlepas 5 kes).
Sensitiviti Xpert Ultra lebih rendah dalam kalangan orang tuberkulosis dengan smer kahak negatif (mukus dari saluran pernafasan yang negatif untuk tuberkulosis) dan spesifisiti lebih rendah dalam kalangan orang dengan sejarah tuberkulosis..
Untuk pengesanan rintangan rifampicin, Xpert Ultra mempunyai:
-
sensitiviti tinggi (96 daripada 100 orang dengan rintangan rifampicin didiagnosis dengan betul sebagai mempunyai rintangan; Xpert Ultra terlepas 4 kes);
-
spesifisiti tinggi (98 daripada 100 orang tanpa rintangan rifampicin dikenal pasti dengan betul sebagai tiada rintangan; Xpert Ultra terlepas 2 kes).
Apakah batasan bukti?
Enam daripada 32 kajian yang mengesan tuberkulosis dan tiga daripada 10 kajian yang mengesan rintangan rifampicin telah berlaku di hospital pakar, oleh itu keputusan ini tidak boleh diaplikasi kepada orang di klinik komuniti dan hospital daerah.
Keputusan untuk pengesanan tuberkulosis Xpert Ultra dalam kalangan remaja adalah berdasarkan enam kajian dengan hanya 160 remaja, yang membatasi penemuan kami.
Kami tidak dapat menganggar dengan tepat Xpert Ultra untuk ujian rintangan rifampicin dalam kalangan orang yang hidup dengan HIV kerana kami tidak menemui sebarang kajian.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan ini adalah berdasarkan carian pengkalan data yang dilakukan pada 16 Oktober 2023. Keputusan ini ditambah dengan keputusan daripada Panggilan Awam Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk kajian-kajian yang sedang berlangsung dan tidak diterbitkan antara 30 November 2023 dan 15 Februari 2024. Kami juga menghubungi pakar yang mengusahakan diagnostik baru untuk tuberkulosis.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan ulasan ini. Diterjemah oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).