Langkau ke kandungan utama

Fibrate untuk pencegahan sekunder penyakit kardiovaskular dan strok

Soalan ulasan

Matlamat kajian ini adalah untuk menilai kesan fibrate untuk pencegahan kejadian major termasuk serangan jantung, strok, dan kematian akibat penyakit peredaran darah di kalangan mereka yang sudah mempunyai penyakit peredaran darah.

Latar belakang

Fibrate telah digunakan bertahun-tahun lamanya sebagai rawatan untuk mencegah serangan jantung dan strok lanjut di kalangan mereka yang sudah mempunyai penyakit peredaran darah. Fibrate ialah kelas ubat yang berfungsi dengan mempengaruhi lemak dalam darah secara positif, iaitu dengan menurunkan trigliserida, meningkatkan kolesterol ('baik') lipoprotein berketumpatan tinggi dan menurunkan pecahan kecil padat kolesterol ('buruk') lipoprotein berketumpatan rendah. Kelas ubat ini termasuk clofibrate, gemfibrozil, fenofibrate, bezafibrate, dan ciprofibrate. Pelarasan lemak di dalam darah yang berjaya di kalangan mereka yang mempunyai penyakit peredaran darah boleh bermakna individu-individu ini kurang berkemungkinan mendapat serangan jantung, strok dan kematian akibat penyakit peredaran darah mereka. Pada masa ini tiada bukti jelas mengenai manfaat fibrate di kalangan mereka yang sedemikian.

Ciri-ciri kajian

Tempoh masa fibrate berkisar antara 12 bulan hingga 8 tahun.

Keputusan utama

Kami menyertakan 13 kajian dalam ulasan ini dengan sejumlah 16,112 peserta yang mempunyai sejarah penyakit jantung koronari atau strok. Ulasan ini melibatkan bukti yang dikenal pasti setakat Oktober 2014.

Analisa kami menunjukkan bahawa apabila dibandingkan terutamanya dengan plasebo, fibrate boleh jadi berkesan untuk pencegahan hasil komposit strok yang tidak membawa kematian, serangan jantung yang tidak membawa kematian (infarksi miokardium) dan kematian disebabkan oleh penyakit peredaran darah. Walau bagaimanapun, kesan bermanfaat ini bergantung kepada data yang dimasukkan daripada clofibrates, ubat yang telah dihentikan pada 2002 kerana kekhuatiran tentang keselamatan ubat. Dalam erti kata lain, tiada bukti kukuh untuk menyokong penggunaan fibrate yang ada pada masa kini bagi pencegahan serangan jantung, strok, dan kematian akibat penyakit peredaran darah pada masa akan datang di kalangan mereka yang sudah mempunyai penyakit peredaran darah.

Kualiti bukti

Apabila digabungkan dengan data daripada clofibrate, kualiti bukti adalah sederhana untuk hasil komposit (strok yang tidak menyebabkan kematian, infarksi miokardium (MI) yang tidak menyebabkan kematian, dan kematian akibat vaskular) dan hasil MI (yang menyebabkan kematian atau tidak) dan kualiti bukti adalah rendah untuk strok (iskemik atau hemoragik, yang menyebabkan kematian atau tidak) dan kematian akibat vaskular atau sebarang akibat semasa rawatan dan tempoh susulan yang dijadualkan. Kualiti bukti tanpa data daripada clofibrate adalah sederhana untuk hasil MI (yang menyebabkan kematian atau tidak) dan rendah untuk hasil komposit (strok yang tidak menyebabkan kematian, MI yang tidak menyebabkan kematian, dan kematian akibat vaskular), strok (iskemik atau hemoragik, menyebabkan kematian atau tidak), dan kematian akibat vaskular atau sebarang akibat semasa rawatan dan tempoh susulan yang dijadualkan.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Petikan
Wang D, Liu B, Tao W, Hao Z, Liu M. Fibrates for secondary prevention of cardiovascular disease and stroke. Cochrane Database of Systematic Reviews 2015, Issue 10. Art. No.: CD009580. DOI: 10.1002/14651858.CD009580.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan