Langkau ke kandungan utama

Penapis

Bukti

Buku Panduan/Manual

Berita

Ubat hormon (GnRHa) yang manakah berfungsi paling baik dengan hormon rangsangan ovari dalam kitaran kehamilan berbantu?

Bantu menambah baik Ringkasan Cochrane – lengkapkan survey ringkas ini

Mesej utama

• Apabila membandingkan rawatan agonis hormon pelepasan gonadotropin (GnRHa) jangka panjang berbanding jangka pendek, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan dalam kadar kelahiran hidup dan kehamilan berterusan, tetapi rawatan yang jangka panjang boleh menyebabkan kadar kehamilan klinikal yang lebih tinggi (di mana janin boleh dilihat atau didengar).

• Kami tidak pasti sama ada terdapat perbezaan dalam kadar kelahiran hidup dan kehamilan klinikal untuk perbandingan lain yang dikaji, kecuali perbandingan dos 100 µg dengan dos 25 µg dalam rawatan pendek, yang menunjukkan bahawa kehamilan klinikal boleh bertambah baik dengan dos 100 µg.

• Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk melihat keberkesanan-kos dan kebolehterimaan rawatan berbeza.

Apakah yang ingin diketahui?

Agonis hormon pelepasan gonadotropin (GnRHa) diberikan bersama suntikan hormon yang merangsang ovari untuk cuba mencegah pembebasan telur pramatang sebelum ia boleh dituai secara terancang melalui prosedur pembedahan. GnRHa telah terbukti dapat meningkatkan kadar kehamilan. Pelbagai cara pemberian GnRHa dihuraikan dalam literatur. Kami ingin mengetahui cara paling berkesan untuk memberi GnRHa bagi meningkatkan bilangan bayi yang dilahirkan dan kadar kehamilan yang berterusan, selain mengurangkan kadar kehamilan dan sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) (satu kesan rawatan tidak diingini dengan ubat kesuburan).

Apakah yang dilakukan?

Kami telah mengulas bukti tentang ubat-ubatan (dalam bentuk GnRHa) yang paling baik diberikan bersama hormon untuk merangsang ovari bagi wanita yang cuba mengandung melalui kehamilan berbantu.

Apakah yang ditemukan?

Kami menemui 40 kajian dengan 4148 wanita yang membandingkan penggunaan GnRHa dalam cara yang berbeza semasa rawatan kehamilan berbantu. Sembilan belas daripada kajian ini (1582 wanita) membandingkan rawatan jangka panjang (di mana GnRHa dimulakan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum rangsangan hormon) dengan rawatan jangka pendek (di mana GnRHa dimulakan dengan rangsangan hormon).

Keputusan utama

Apabila membandingkan rawatan GnRHa jangka panjang dengan jangka pendek, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan untuk kadar kelahiran hidup dan kehamilan berterusan. Penemuan kami menunjukkan bahawa dalam populasi di mana 14% wanita mencapai kelahiran hidup atau kehamilan berterusan menggunakan rawatan jangka pendek, antara 12% dan 30% akan mencapai matlamat ini dengan rawatan jangka panjang. Terdapat bukti bahawa rawatan jangka panjang boleh menyebab kadar kehamilan klinikal yang lebih tinggi (di mana janin boleh dilihat atau didengar) berbanding rawatan jangka pendek. Penemuan kami menunjukkan bahawa, dalam populasi di mana 16% wanita akan mencapai kehamilan klinikal dengan rawatan jangka pendek, 17% hingga 32% akan mencapainya dengan rawatan jangka panjang.

Bagi perbandingan yang lain bagi rawatan GnRHa, kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan dari segi kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal, kecuali perbandingan dos 100 µg berbanding dos 25 µg dalam rawatan jangka pendek, yang menunjukkan bahawa kehamilan klinikal boleh bertambah baik dengan dos 100 µg.

Kami tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan dalam kadar OHSS dan kehilangan kehamilan, yang dilaporkan oleh dua kajian sahaja.

Tiada bukti yang mencukupi untuk mencapai sebarang kesimpulan mengenai kesan memudaratkan yang lain. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk melihat keberkesanan-kos dan kebolehterimaan rawatan berbeza.

Apakah keterbatasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan pada tahap rendah hingga sangat rendah terhadap bukti tersebut. Batasan utama dalam bukti adalah tidak melaporkan kelahiran hidup atau kehamilan berterusan dalam separuh daripada kajian, pelaporan kaedah kajian yang lemah, penemuan yang tidak jelas, sangat sedikit kajian yang melaporkan kesan tidak diingini seperti OHSS, dan kekurangan data mengenai peristiwa memudaratkan yang lain, keberkesanan-kos, dan kebolehterimaan rawatan. Hanya lapan daripada 40 kajian yang disertakan telah dijalankan dalam tempoh 10 tahun lepas.

Adakah bukti ini yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Ulasan Cochrane ini pada asalnya dicipta dalam bahasa Inggeris. Ketepatan terjemahan adalah tanggungjawab pasukan terjemahan yang menghasilkannya. Terjemahan dihasilkan dengan berhati-hati dan mengikut proses standard untuk memastikan kawalan kualiti. Namun, sekiranya berlaku ketidakpadanan, terjemahan yang tidak tepat atau tidak sesuai, versi asal Bahasa Inggeris diutamakan.

Petikan
Siristatidis CS, Yong LN, Maheshwari A, Ray Chaudhuri Bhatta S. Gonadotropin-releasing hormone agonist protocols for pituitary suppression in assisted reproduction. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 1. Art. No.: CD006919. DOI: 10.1002/14651858.CD006919.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan