Langkau ke kandungan utama

Apakah terapi terbaik untuk wanita yang menghasilkan terlalu banyak telur ketika menjalani rawatan kesuburan ?

Mesej utama

– Kami tidak tahu jika pematangan in vitro (penanaman telur tidak matang di luar badan sehingga cukup matang untuk persenyawaan) adalah lebih baik daripada persenyawaan in vitro (rawatan di mana telur disenyawakan dengan sperma di makmal) dalam meningkatkan kelahiran hidup dan kehamilan dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (di mana ovari tidak menghasilkan telur dengan betul) yang menjalani rawatan kesuburan.

– Pematangan in vitro meningkatkan keguguran dan mengurangkan sindrom hiperstimulasi ovari (keadaan yang menyakitkan di mana ovari menghasilkan terlalu banyak telur) dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik berbanding persenyawaan in vitro.

– Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran pramatang (sebelum tarikh matang) dan perkembangan bayi semasa dalam rahim, tetapi lebih banyak kajian diperlukan.

Apakah masalahnya?

Wanita yang sukar hamil (kurang subur) mungkin perlukan rawatan untuk meningkatkan peluang mereka untuk hamil. Di sinilah wanita mengambil ubat untuk merangsang pertumbuhan telur, telur dikeluarkan dan disenyawakan dengan sperma di makmal, dan telur yang disenyawakan dikembalikan ke dalam rahim wanita. Ini dipanggil persenyawaan in vitro. Sesetengah wanita yang kurang subur mempunyai ovari yang tidak menghasilkan telur dengan betul (dipanggil sindrom ovari polisistik). Jika wanita-wanita ini mengambil ubat untuk merangsang pertumbuhan telur, mereka boleh menghasilkan terlalu banyak telur (dipanggil sindrom hiperstimulasi ovari). Ini menyebabkan ovari membengkak dan sakit dan boleh mengakibatkan penyakit serius atau (jarang) kematian. Apabila wanita dengan sindrom ovari polisistik mengambil ubat untuk merangsang ovari mereka, telur yang dihasilkan selalunya tidak matang untuk disenyawakan oleh sperma, yang membawa kepada kadar hamil yang rendah.

Pengambilan telur lebih awal jika telur matang di makmal sebelum ia disenyawakan (dipanggil pematangan in vitro) boleh memanfaatkan wanita dengan sindrom ovari polisistik. Walaupun kejayaan hamil dilaporkan, terdapat kebimbangan tentang kesihatan bayi yang dilahirkan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada pematangan in vitro memberi manfaat atau mudarat berbanding teknik persenyawaan in vitro dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik yang kurang subur.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat teknik pematangan in vitro dan persenyawaan in vitro dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polikistik dan kurang subur. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian. Kami berminat dengan kelahiran hidup (kelahiran bayi hidup selepas 20 minggu kehamilan), keguguran (kehilangan kehamilan semasa 20 minggu pertama kehamilan), kehamilan klinikal (degupan jantung janin pada imbasan ultrasound pada tujuh minggu hamil), hiperstimulasi ovari, kelahiran pramatang, dan perkembangan bayi semasa dalam rahim.

Apakah yang kami temui?

Kami temui empat kajian. Dua kajian tidak menyediakan data yang cukup, tetapi dua kajian lain menerbitkan keputusan penuh. Dua kajian ini melibatkan 810 wanita.

Keputusan utama

Kadar kelahiran hidup adalah serupa antara pematangan in vitro dan persenyawaan in vitro, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah (2 kajian, 739 wanita). Jika 45 daripada 100 wanita dapat kelahiran hidup selepas persenyawaan in vitro, peluang pematangan in vitro adalah antara 13 dan 53 wanita daripada 100.

Pematangan in vitro meningkatkan keguguran berbanding persenyawaan in vitro (2 kajian, 378 wanita). Jika 20 daripada 100 wanita mengalami keguguran selepas persenyawaan in vitro, peluang untuk pematangan in vitro adalah antara 20 dan 40 wanita daripada 100.

Pematangan in vitro mengakibatkan pengurangan besar dalam sindrom hiperstimulasi ovari (2 kajian, 739 wanita). Jika 4 daripada 100 wanita mempunyai sindrom hiperstimulasi ovari dengan persenyawaan in vitro, peluang pematangan in vitro adalah antara 0 dan 2 wanita daripada 100.

Boleh terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kehamilan klinikal, tetapi keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah (2 kajian, 739 wanita). Pematangan in vitro mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran pramatang (2 kajian, 739 wanita) dan keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat rendah tentang kesihatan, perkembangan, atau genetik bayi semasa dalam rahim (1 kajian, 351 wanita).

Apakah batasan bukti?

Masih terdapat ketidakpastian tentang kesan pematangan in vitro ke atas kelahiran hidup dan kehamilan klinikal berbanding persenyawaan in vitro kerana kaedah kajian berbeza dan tidak memasukkan bilangan wanita yang cukup untuk memberi keputusan yang bermakna. Kami yakin pematangan in vitro meningkatkan peluang keguguran, dan mengurangkan kemungkinan sindrom hiperstimulasi ovari.

Kami sederhana yakin dengan bukti kelahiran pramatang akibat bilangan wanita yang kecil yang mendaftar dan kurang yakin dengan bukti untuk kesihatan, perkembangan atau genetik bayi. semasa di dalam rahim disebabkan oleh bilangan wanita yang sedikit didaftarkan dalam satu kajian sahaja. Penemuan ini harus ditafsir dengan berhati-hati.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami menyemak bukti sehingga Februari 2023. Ini adalah kemas kini ketiga ulasan ini.

Nota terjemahan

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Petikan
Siristatidis CS, Papapanou M, Maheshwari A, Vaidakis D. In vitro maturation in subfertile women with polycystic ovarian syndrome undergoing assisted reproduction. Cochrane Database of Systematic Reviews 2025, Issue 2. Art. No.: CD006606. DOI: 10.1002/14651858.CD006606.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan