Langkau ke kandungan utama

Bolehkah mefloquine mencegah malaria semasa perjalanan ke kawasan di mana penyakit ini tersebar luas?

Kami merumuskan kajian-kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan mefloquine apabila diguna untuk mencegah malaria dalam kalangan orang yang pergi ke kawasan di mana penyakit ini tersebar luas. Kami mencari kajian yang relevan sehingga 22 Jun 2017 dan memasukkan 20 kajian rawak melibatkan 11,470 peserta, 35 kajian kohort (198,493 peserta) dan empat analisis retrospektif besar rekod kesihatan (800,652 peserta).

Apakah kebimbangan tentang mefloquine dan apakah alternatifnya?

Mefloquine sering dipreskrib untuk mencegah malaria semasa perjalanan ke kawasan di mana penyakit ini tersebar luas. Walau bagaimanapun, terdapat kontroversi mengenai keselamatan mefloquine, terutama apabila dipreskrib untuk anggota tentera dalam situasi yang tertekan, dan terdapat laporan mengenai kemurungan dan bunuh diri.

Satu-satunya ubat alternatif yang lazim diguna ialah doxycycline (yang boleh menyebabkan masalah kulit dan masalah pencernaan) dan atovaquone-proguanil (yang sering lebih mahal).

Apakah yang dimaklumkan oleh kajian?

Mefloquine dilihat sebagai ubat yang paling berkesan untuk mengurangkan risiko malaria (bukti kepastian rendah), namun, bukti tidak datang dari pelancong antarabangsa jangka pendek.

Mefloquine tidak menunjukkan kesan sampingan yang lebih kerap berbanding dengan atovaquone-proguanil (bukti kepastian rendah) atau doxycycline (bukti kepastian sangat rendah).

Orang yang mengambil mefloquine lebih cenderung untuk berhenti mengambil ubat akibat kesan sampingan berbanding orang yang mengambil atovaquone-proguanil (bukti kepastian tinggi), tetapi mungkin sama seperti kemungkinan berhenti orang yang mengambil doxycyline (bukti kepastian rendah).

Orang yang mengambil mefloquine lebih cenderung mempunyai mimpi tak normal, insomnia, keresahan dan rasa tertekan semasa perjalanan berbanding orang yang mengambil atovaquone-proguanil (bukti kepastian sederhana) atau doxycyline ( bukti kepastian sangat rendah). Pengguna doxycycline lebih cenderung untuk dispepsia, fotosensitiviti, muntah, dan 'thrush' vagina (bukti kepastian sangat rendah).

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Petikan
Tickell-Painter M, Maayan N, Saunders R, Pace C, Sinclair D. Mefloquine for preventing malaria during travel to endemic areas. Cochrane Database of Systematic Reviews 2017, Issue 10. Art. No.: CD006491. DOI: 10.1002/14651858.CD006491.pub4.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan