Mesej utama
• Merokok adalah penyebab utama penyakit yang boleh dicegah dan kematian awal di seluruh dunia. Berhenti merokok adalah amat penting untuk membantu orang hidup sihat lebih lama.
• Ganjaran membantu orang untuk berhenti merokok selama sekurang-kurangnya enam bulan.
• kesan ini berterusan selepas ganjaran tamat, mencadangkan manfaat jangka panjang.
• Ganjaran juga membantu orang hamil yang merokok untuk berhenti merokok. Kesan ini berterusan selepas bayi dilahirkan.
Apakah ganjaran?
Insentif, seperti wang, baucar atau deposit, boleh diguna untuk menggalakkan orang berhenti merokok, dan memberi ganjaran kepada mereka jika mereka kekal tidak merokok. Skim sebegini boleh dilaksana di tempat kerja, dalam klinik, dan kadang-kadang sebagai program komuniti.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu jika memberi orang ganjaran membantu mereka berhenti merokok dalam jangka panjang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat tawaran ganjaran kepada orang dewasa untuk membantu mereka berhenti merokok. Orang-orang dalam kajian perlu dirawak untuk menerima insentif atau keadaan kawalan (penjagaan biasa, atau intervensi berhentian merokok lain). Kami sertakan orang daripada populasi bercampur dan juga orang hamil.
Apakah yang kami temui?
Kami temui 48 kajian yang menguji pelbagai skim ganjaran untuk membantu orang berhenti merokok. Lima kajian sertakan orang dari klinik kesihatan mental, empat dari klinik penjagaan primer, dua kajian dari klinik rawatan kanser kepala dan leher, tiga dari kolej atau universiti, satu kajian merekrut veteran, dan dua kajian merekrut orang yang tinggal di kampung-kampung Thai. Ganjaran adalah berupa bayaran tunai, baucar, atau pulangan wang yang didepositkan oleh orang yang mengambil bahagian.
Kajian kehamilan: kami melihat kajian-kajian yang melibatkan orang hamil secara berasingan. Kami temui 14 kajian: 11 yang berpangkalan di Amerika Syarikat, dua di UK dan satu di Perancis. Ganjaran yang diguna ialah baucar yang kadangkala dinaikkan nilai, bergantung kepada berapa lama orang itu berjaya menahan diri daripada merokok.
Kualiti kajian: sesetengah kajian tidak menyediakan data yang cukup untuk kami menilai kualiti sepenuhnya. Mengetepikan kajian-kajian berkualiti terendah daripada analisis tidak mengubah keputusan.
Keputusan utama
Kami dapati orang yang menerima ganjaran lebih cenderung berhenti merokok berbanding mereka dalam kumpulan kawalan enam bulan atau lebih selepas permulaan kajian (39 kajian, 18,303 orang). Bagi setiap 100 orang yang menerima insentif kewangan, 10 orang mungkin berjaya berhenti merokok pada enam bulan atau lebih, berbanding 7 dalam 100 orang yang tidak menerima insentif kewangan. Kadar kejayaan berterusan sehingga selepas insentif telah ditamatkan. Kajian-kajian berbeza dalam amaun ganjaran keseluruhan yang dibayar. Tiada perbezaan ketara antara kajian yang membayar amaun yang lebih kecil (kurang dari USD 100 (dolar AS)) berbanding mereka yang membayar amaun yang lebih besar (lebih daripada USD 700).
Kajian kehamilan: orang yang hamil dan menerima ganjaran lebih cenderung berhenti merokok berbanding kumpulan kawalan, kedua-dua pada akhir kehamilan dan selepas kelahiran bayi (13 kajian, 3942 orang). Bagi setiap 100 orang hamil yang menerima insentif kewangan, 13 orang lebih cenderung berjaya berhenti merokok pada enam bulan atau lebih, berbanding 6 dalam 100 orang yang tidak menerima insentif kewangan.
Apakah batasan bukti?
Bukti untuk keputusan kami sangat boleh dipercayai. Kami amat yakin insentif membantu orang dan orang hamil berhenti merokok lebih baik daripada tidak menawarkan insentif. Kami tiada cukup bukti untuk mengetahui jika menawarkan nilai ganjaran berbeza mengimpak berhenti merokok.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga November 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Normi Mustapha. Dikemaskini oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).