Selepas seorang wanita bersalin, otot-otot rahim akan menguncup, mengetatkan saluran-saluran darah dan membantu dalam mengehadkan pendarahan apabila plasenta telah ditanggalkan. Jikalau penguncupan otot-otot tidak cukup kuat, pendarahan yang banyak (pendarahan selepas bersalin) boleh berlaku, dan boleh mengancamkan nyawa. Keadaan ini adalah biasa di negara-negara yang kekurangan sumber dan kematian ibu adalah kira-kira 100 kali ganda lebih tinggi daripada negara-negara yang bersumber. Ini merupakan masalah serius dan memerlukan rawatan yang efektif supaya dapat mengelakkan pembedahan yang mengeluarkan rahim (histerektomi). Ini adalah pilihan rawatan terakhir yang akan menyebabkan wanita tersebut tidak boleh beranak lagi. Dalam kebanyakan keadaan, wanita akan diberikan ubat semasa bersalin (sebelum berlakunya pendarahan berlebihan) untuk mengurangkan kemungkinan pendarahan yang berlebihan. Walaupun dengan intervensi ini, terdapat wanita yang masih berdarah secara berlebihan. Ulasan ini telah melihat kepada intervensi-intervensi yang mungkin boleh digunakan untuk mengurangkan pendarahan dalam kalangan wanita ini. Pilihan rawatan termasuk ubat-ubat yang meningkatkan penguncupan otot-otot (termasuk oxytocin, ergometrine dan prostaglandins seperti misoprostol), ubat-ubat untuk membantu pembekuan darah (ubat-ubatan haemostatic termasuk tranexamic asid dan recombinant factor VII yang diaktifkan), teknik pembedahan (seperti mengikat dan meyekat arteri uterus) dan intervensi radiologi (untuk membantu menyekatkan arteri utama ke rahim dengan menggunakan gel buih).
Ulasan ini telah mengenal pasti 10 kajian rawak terkawal yang melibatkan 4052 wanita. Tujuh daripada kajian ini melihat kepada ubat yang dipanggil misoprostol, yang merupakan prostaglandin yang berfungsi sebagai meningkatkan pengecutan otot. Secara keseluruhannya, kajian-kajian ini mencadangkan bahawa misoprostol tidak berfungsi setara dengan infusi oxytocin, dan ia mempunyai lebih banyak kesan sampingan. Walau bagaimanapun, oxytocin perlu disimpan dalam peti sejuk dan misoprostol boleh digunakan dalam keadaan di mana peti sejuk dan infusi tidak disediakan.
Kajian klinikal lain pula meneliti penggunaan ubat lain atau memampatkan arteri utama yang membekalkan darah kepada wanita tersebut. Bilangan wanita yang termasuk dalam kajian-kajian tersebut adalah terlalu kecil untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan dan keselamatannya.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Dikemaskini oleh Ilie Fadzilah Binti Hashim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).