Langkau ke kandungan utama

Steroid yang disedut untuk penyakit paru-paru pada bayi baru lahir

Apakah displasia bronkopulmonari dan bagaimana ia boleh dirawat?

Bayi yang lahir pramatang berisiko menghidap penyakit paru-paru kronik yang dipanggil displasia bronkopulmonari (BPD). Radang dalam paru-paru pramatang nampaknya memainkan peranan utama dalam perkembangan penyakit BPD. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa ubat-ubatan yang menyekat keradangan (kortikosteroid) yang disuntik ke dalam aliran darah mengurangkan risiko BPD tetapi mungkin juga mempunyai kesan sampingan yang serius pada bahagian lain badan, seperti otak. Kortikosteroid yang diberikan melalui sedutan boleh mengurangkan kesan yang tidak diingini ini, kerana secara teori ubatan ini sepatutnya kekal di dalam paru-paru dan tidak menyebabkan kesan yang tidak diingini di bahagian lain badan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada kortikosteroid yang disedut, berbanding dengan rawatan dummy (plasebo), yang diberikan kepada bayi pramatang dari tujuh hari kehidupan boleh meningkatkan kelangsungan hidup dan mengurangkan BPD. Kami juga ingin mengetahui sama ada kortikosteroid yang disedut menghasilkan kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang membandingkan kortikosteroid yang disedut dengan plasebo pada bayi pramatang yang berisiko BPD. Kami membanding dan merumus keputusan kajian yang dimasukkan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mengenal pasti tujuh kajian yang telah menyiasat terapi ini dalam 218 bayi pramatang. Kami tidak tahu sama ada kortikosteroid yang disedut berbanding dengan plasebo bermula dari tujuh hari kehidupan mengurangkan kematian atau BPD pada bayi pramatang yang berisiko mendapat BPD. Kami juga tidak tahu sama ada rawatan ini mempunyai kesan yang tidak diingini. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menyiasat potensi manfaat dan kemudaratan kortikosteroid yang disedut dalam populasi ini.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti, kerana ia berdasarkan kes yang sangat sedikit, dan kerana sangat sedikit kajian melaporkan hasil utama kami iaitu kematian atau BPD.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 29 Ogos 2022.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Petikan
Onland W, Offringa M, van Kaam A. Late (≥ 7 days) inhaled corticosteroids to reduce bronchopulmonary dysplasia in preterm infants. Cochrane Database of Systematic Reviews 2022, Issue 12. Art. No.: CD002311. DOI: 10.1002/14651858.CD002311.pub5.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan