Langkau ke kandungan utama

Suntikan toksin botulinum jenis A untuk rawatan kespastikan anggota bawah dalam palsi serebrum

Latar belakang

Palsi serebrum (CP) adalah keadaan tidak progresif, sepanjang hayat akibat kerosakan kepada otak yang sedang berkembang. Dari semasa ke semasa, kebanyakan anak dengan CP akan menjanakan aktiviti otot yang tidak normal dan kekakuan/aktiviti berlebihan (kespastikan) yang memberi kesan kepada sekurang-kurangnya satu anggota badan dan mengganggu dengan pergerakan biasa mereka. Rawatan untuk kespastikan termasuklah fisioterapi, ubat-ubatan antispastik oral (sejenis ubat untuk merelaks otot dan melegakan spastisiti), acuan, splin, pembedahan ortopedik, dan toksin Botox A (BoNT-A; bahan biologi beracun yang difikirkan dapat melegakan kespastikan dengan mengurangkan aktiviti otot berlebihan apabila disuntik ke dalam otot). Ulasan ini melihat kesan-kesan BoNT-A.

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai dan merumuskan kajian saintifik yang membandingkan suntikan BoNT dengan rawatan lain untuk kespastikan anggota badan bawah dalam kalangan kanak-kanak dengan CP.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 31 kajian yang menilai 1508 peserta. Penggunaan BoNT-A di dalam otot anggota bawah berbanding: (1) penjagaan biasa atau fisioterapi kanak-kanak, (2) plasebo (suntikan palsu), (3) beberapa siri acuan plaster bawah lutut, dan (4) splin kaki.

Keputusan utama

Kanak-kanak yang menerima suntikan BoNT-A cenderung untuk memperbaiiki corak berjalan (gaya jalan), julat pergerakan sendi, kepuasan dengan hasil rawatan, dan kekejangan otot berbanding program penjagaan biasa atau fisioterapi, atau plasebo. Ukuran fungsi cenderung menunjukkan hanya peningkatan sederhana dalam kalangan kanak-kanak yang menerima suntikan BoNT-A. Kadar kesan sampingan adalah sama apabila membandingkan suntikan BoNT-A dengan plasebo. Suntikan BoNT-A dan acuan plaster di bawah lutut menghasilkan faedah yang sama dalam berjalan dan pergerakan bersama dan melegakan kekejangan. Tambahan pula, BoNT-A memberi keputusan yang lebih baik dari segi julat pergerakan sendi berbanding splin spesifik (splin tekanan Johnstone).

Kualiti bukti

Kami menganggap kualiti bukti sangat rendah untuk perbandingan BoNT-A dengan penjagaan biasa atau fisioterapi; sederhana untuk perbandingan BoNT-A dengan plasebo; sederhana dan rendah untuk perbandingan BoNT-A dengan acuan plaster; dan sangat rendah untuk perbandingan BoNT-A dengan splin.

Kesimpulan

Terdapat bukti terhad bahawa berbanding plasebo atau penjagaan biasa, BoNT-A memperbaiki berjalan, pergerakan sendi, kepuasan hasil rawatan, dan kespastikan otot dalam kalangan kanak-kanak dengan CP. Kadar kesan sampingan dengan BoNT-A adalah serupa dengan plasebo. BoNT-A tidaklah lebih baik berbanding acuan plaster di dalam sebarang analisis kami, tetapi lebih baik berbanding splin dalam memperbaiki julat pergerakan dan kespastikan.

Nota terjemahan

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my

Petikan
Blumetti FC, Belloti JC, Tamaoki MJS, Pinto JA. Botulinum toxin type A in the treatment of lower limb spasticity in children with cerebral palsy. Cochrane Database of Systematic Reviews 2019, Issue 10. Art. No.: CD001408. DOI: 10.1002/14651858.CD001408.pub2.

Penggunaan cookie kami

Kami menggunakan cookie yang diperlukan untuk menjadikan laman web kami berfungsi. Kami juga ingin menetapkan cookie analitik pilihan untuk membantu kami memperbaikinya. Kami tidak akan menetapkan cookie pilihan melainkan anda mengaktifkannya. Menggunakan alat ini akan menetapkan cookie pada peranti anda untuk mengingati pilihan anda. Anda boleh menukar pilihan cookie anda pada bila-bila masa dengan menekan pautan 'Tetapan cookie' di bahagian bawah setiap halaman.
Untuk maklumat lebih terperinci mengenai cookie yang kami gunakan, lihat halaman halaman cookie.

Terima semua
Konfigurasikan