Adakah LipiFlow lebih berkesan daripada rawatan penyakit mata kering yang lain?

Mesej utama

• LipiFlow berfungsi sama seperti kebiasaan rawatan yang lain bagi merawat DED, yang berkaitan dengan tanda dan gejala DED, tetapi bukti sangat tidak pasti.

• LipiFlow tidak menunjukkan untuk mengakibatkan sebarang kesan buruk.

Apakah penyakit mata kering?

Penyakit mata kering adalah keadaan biasa dengan beberapa faktor risiko, termasuk umur pesakit, jantina, bangsa, ketidakseimbangan hormon, penggunaan peranti digital dan disfungsi kelenjar meibomian. Disfungsi kelenjar meibomian adalah penyebab utama penyakit mata kering. Kelenjar Meibomian di bahagian kelopak mata, apabila berfungsi dengan normal, mengeluarkan rembesan berminyak yang berfungsi menstabilkan air mata di permukaan mata. Apabila kelenjar meibomian tidak berfungsi dengan baik kerana ia telah tersumbat atau meradang, ini menyebabkan gejala mata kering (seperti rasa terbakar, menyengat, berair) dan tanda-tanda (seperti kerosakan pada permukaan mata, kemerahan).

Apakah itu LipiFlow?

Sistem LipiFlow Thermal Pulsation adalah alatan perubatan yang menyediakan mampatan haba yang terkawal, berulang pada kelopak mata dan kelenjar meibomian dengan tujuan untuk mengakibatkan ekspresi dan penyumbatan kelenjar meibomian. LipiFlow digunakan bertujuan untuk merawat mereka yang mempunyai masalah disfungsi kelenjar meibomian dan bukan untuk penyakit mata kering yang lain.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada LipiFlow berkesan atau lebih berkesan daripada rawatan penyakit mata kering biasa yang lain. Kami juga ingin mengetahui sama ada LipiFlow selamat dan jika ia menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji LipiFlow berbanding dengan rawatan penyakit mata kering biasa yang lain (contohnya kompres panas/hangat, alatan termostatik, produk kebersihan untuk kelopak mata, ubat topikal, intervensi melalui mulut) dan melihat kepada gejala yang dilaporkan oleh pesakit (contohnya kekeringan mata) dan tanda-tanda (contohnya fungsi kelenjar meibomian, kelembapan mata selepas kerdipan) berbeza antara LipiFlow dan rawatan lain. Kami menganalisis dan merumuskan keputusan percubaan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apa yang telah kami temui?

Kami telah menjumpai13 kajian-kajian dengan sejumlah 1155 peserta (1720 biji mata) dengan penyakit mata kering.

Apabila LipiFlow dibandingkan dengan kompres panas/ hangat asas, produk kebersihan untuk kelopak mata, atau ubat-ubatan penyakit mata kering, tidak ada bukti yang jelas mengenai perbezaan di dalam skor gejala yang diperolehi menggunakan soal selidik atau tanda-tanda melalui pemeriksaan permukaan mata. Peranti termostatik menunjukkan penurunan di dalam skor gejala berbanding dengan LipiFlow berdasarkan satu soal selidik, tetapi hasil ini tidak dijumpai dengan soal selidik lain. LipiFlow mungkin menunjukkan peningkatan skor gejala berdasarkan satu soal selidik berbanding dengan intervensi melalui mulut.

Kami tidak menemui bukti bahawa LipiFlow tidak selamat atau menyebabkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti ini adalah rendah hingga sangat rendah kerana peserta dalam kajian percubaan ini menyedari rawatan yang mereka terima, dan ini berkemungkinan mempengaruhi tindak balas gejala mereka, dan kerana perbezaan di antara kajian-kajian yang disertakan, termasuk dalam rejimen ujian. Ketidakpastian dalam bukti menjadikannya mencabar untuk menilai kelebihan dan kekurangan LipiFlow berbanding dengan rawatan lain. Keterbatasan yang berkaitan dengan pemilihan peserta dapat ditangani dalam kajian pada masa akan datang yang melibatkan kumpulan kawalan yang menjalani rawatan LipiFlow palsu tanpa denyutan haba.

Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information