Mesej utama
- Tidak jelas sama ada terapi kortikosteroid (steroid) atau mana-mana terapi imunosupresif yang lain mencegah kerosakan buah pinggang di kalangan kanak-kanak dengan nefropati IgA.
- Kajian yang disertakan tidak memberi maklumat tentang risiko terapi steroid di kalangan kanak-kanak dengan nefropati IgA.
Apakah itu nefropati IgA?
Nefropati IgA adalah penyakit buah pinggang yang boleh mengakibatkan pengurangan fungsi buah pinggang dan kegagalan buah pinggang. Punca penyakit ini tidak diketahui, tetapi kami mengetahui bahawa sistem imun terlibat, dan rawatan menyasarkan sistem imun. Nefropati IgA tiada penawar dan memerlukan rawatan susulan sepanjang hayat. Terdapat hanya sedikit panduan tentang cara merawat kanak-kanak dengan nefropati IgA, lalu menyebabkan kanak-kanak dirawat sama seperti orang dewasa.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terapi imunosupresif memperbaik fungsi buah pinggang kanak-kanak dengan nefropati IgA.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari semua kajian rawak dan bukan rawak yang menilai manfaat dan mudarat terapi imunosupresif di kalangan kanak-kanak dengan nefropati IgA. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 13 kajian mendaftarkan 686 peserta (495 kanak-kanak) yang menilai terapi imunosupresif di kalangan kanak-kanak dengan nefropati IgA. Sepuluh kajian dijalankan secara rawak, dan dalam tiga kajian bukan rawak, peserta diperuntukkan kepada kumpulan rawatan berdasarkan betapa seriusnya penyakit mereka. Kami menemui tiada bukti yang pasti tentang manfaat steroid sahaja atau steroid dengan imunosupresif yang lain dalam mengekalkan fungsi buah pinggang. Walau bagaimanapun, tahap bukti adalah sangat rendah kerana bilangan kajian yang dikenal pasti dan bilangan kanak-kanak yang terlibat adalah sedikit.
Kami tidak dapat menilai kesan sampingan steroid kerana kajian-kajian tersebut tidak melihat dengan teliti untuk kesan sampingan ataupun tidak melaporkannya.
Oleh kerana bilangan kajian yang sedikit, kami tidak dapat menentukan peranan terapi imunosupresif yang lain, minyak ikan, vitamin E, atau tonsilektomi, dalam mengurangkan kerosakan buah pinggang di kalangan kanak-kanak dengan nefropati IgA.
Apakah batasan bukti?
Bilangan kajian yang sedikit bagi setiap perbandingan dan saiz kajian yang kecil merupakan batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami ingin tahu. Kami tidak pasti tentang keputusan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Wan Rosalina binti Wan Rosli (Management and Science University). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).