Adakah terapi pendidikan dan psikologi efektif untuk menguruskan eksema?

Mesej utama

• Pendidikan bersemuka untuk individu dan berkumpulan boleh mengurangkan keterukan ekzema. Penggunaan teknologi untuk menyampaikan pendidikan, seperti internet, mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap keterukan penyakit.

• Penggunaan pengamal jururawat dan bukannya ahli dermatologi untuk memberikan pendidikan secara berkumpulan boleh mempunyai kos yang lebih rendah dan juga sama berkesan.

• Keadaan orang berbeza-beza dan hal ini akan menjejaskan penyampaian, dan bagaimana mereka menerima maklumat. Intervensi pendidikan dan psikologi untuk orang dengan ekzema patut dibangunkan berdasarkan keutamaan pesakit dan penjaga, supaya intervensi tersebut akan digunakan. Peserta kajian patut diikuti untuk jangka masa yang (sangat) panjang, mengingati bahawa ‘jangka masa panjang’ boleh menjadi seumur hidup untuk seseorang dengan ekzema, bukan berdasaran tempoh kajian penyelidikan.

Apakah ekzema?

Ekzema (juga dikenali sebagai dermatitis atopik) ialah keadaan kulit yang tidak selesa, gatal, dan kelihatan. Banyak perkara yang berbeza boleh menyebabkan ekzema lebih teruk, seperti makanan, debunga, debu hama, stres, perubahan bermusim dan pencemaran. Menggaru kegatalan akan membuat kulit semakin gatal, mengurangkan kemungkinan rawatan menjadi berjaya, dan merosakkan kulit.

Bagaimana ekzema dirawat?

Ia adalah perniagaan yang rumit untuk hidup dengan ekzema. Ia biasanya dirawat dengan mengelakkan ‘pencetus’ dan perengsa, dan menggunakan krim dan losyen pelembap (emolien) atau ubat (kortikosteroid topikal atau perencat clacineurin). Teknik pendidikan dan psikologi boleh memberikan maklumat kepada orang untuk menguruskan kesan ekzema.

Pendidikan boleh diberikan dalam beberapa jenis cara, seperti satu-per-satu atau sesi berkumpulan, yang diketuai oleh doktor atau pesakit sendiri. Sesi tersebut boleh secara bersemuka atau atas talian. Mereka boleh berbeza-beza dalam panjangnya dan kerap melibatkan rawatan susulan. Rawatan susulan adalah penting disebabkan manfaat daripada bahan pendidikan dan psikologi yang biasanya memerlukan sedikit masa dan memerlukan sedikit sokongan. Kaedah-kaedah untuk membantu mengubah tingkah laku adalah kerap digunakan semasa sesi pendidikan.

Stres dan tingkah laku mengatasi boleh menjadikan ekzema bertambah teruk. Terapi yang memfokus kepada perubahan tabiat atau mengalihkan perhatian daripada menggaru boleh membantu, dan kami telah mengumpulkannya sebagai ‘intervensi psikologi’. Kaunseling boleh menjadi pilihan yang kos efektif. Teknik seperti kesedaran dan relaksasi boleh membantu mengurangkan kegatalan. Sesetengah kaedah, seperti citraan berpandu dan realiti maya, boleh mengalihkan perhatian daripada kegatalan. Realiti maya, walaupun tidak digunakan secara meluas untuk ekzema, telah digunakan untuk kegelisahan dan kesakitan, yang berkaitan dengan kegatalan. Walau bagaimanapun, bukan kesemua tempat menawarkan semua terapi secara konsisten.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami telah menyiasat kegunaan teknik pendidikan dan psikologi untuk membantu sesiapa dengan ekzema. Ia mungkin mengurangkan gejala-gejala ekzema atau kos untuk merawat ekzema.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menyiasat pendekatan pendidikan atau psikologi untuk meningkatkan ekzema. Penambahbaikan boleh diukur dengan pengurangan dalam gejala-gejala, seperti yang dilaporkan oleh orang dengan ekzema atau penjaga mereka, atau penambahbaikan dalam kualiti hidup, sebagai contohnya. Kami juga telah mencari penambahbaikan yang lain: kawalan jangka panjang gejala-gejala ekzema, kesejahteraan psikologi, dan penggunaan ubat dengan sewajarnya. Kami tertanya-tanya sama ada terdapat kesan yang tidak diingini daripada maklumat yang diberikan.

Apakah yang kami temui?

Kami telah menemui 37 kajian yang menyertakan 6170 orang dewasa dan kanak-kanak. Kebanyakan kajian dijalankan di hospital yang berpendapatan tinggi. Kebanyakan peserta adalah kanak-kanak dan remaja. Orang dalam kajian mempunyai keterukan ekzema yang berbeza-beza. Kami menemui sedikit maklumat tentang keberkesanan-kos dan tiada maklumat berguna tentang bantuan diri, terapi psikologi, atau bahan pendidikan bercetak.

Keputusan tersebut adalah untuk kaedah pendidikan atau psikologi dibandingkan dengan penjagaan ekzema standard.

• Pendidikan individu boleh mengurangkan keterukan penyakit jangka pendek (1 kajian, 30 peserta).

• Pendidikan secara berkumpulan mungkin mengurangkan keterukan ekzema (9 kajian, 2426 peserta).

• Kami tidak dapat mengulas sama ada pendidikan yang disampaikan menggunakan teknologi (sebagai contohnya pendidikan atas talian) mengurangkan keterukan penyakit seperti yang diukur melalui tanda-tanda klinikal. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap keterukan ekzema seperti yang telah dilaporkan oleh pesakit tetapi kemungkinan sedikit meningkatkan kawalan jangka panjang gejala-gejala ekzema (5 kajian, 654 peserta).

• Rawatan untuk mengubah tabiat boleh mengurangkan keterukan penyakit tetapi mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap penambahbaikan kualiti hidup (1 kajian, 33 peserta).

• Terapi untuk mengurangkan tekanan atau kegelisahan seperti kesedaran, meditasi dan teknik relaksasi (terapi pengurangan gairah) boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam penambahbaikan kualiti hidup (3 kajian, 33 peserta).

Tiada kajian yang memberikan maklumat berguna tentang peningkatan dalam kawalan jangka panjang untuk gejala-gejala ekzema, peningkatan dalam mengikuti rawatan standard, atau kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Di mana kami telah menjumpai bukti, keyakinan kami dalam ini hanya sederhana disebabkan oleh kebimbangan bahawa kajian yang telah disertakan menggunakan cara berbeza dalam pemberian rawatan pendidikan atau psikologi. Kajian tersebut adalah sangat kecil dan kebanyakannya tidak menggunakan rekaan yang paling baik untuk memberikan hasil yang konklusif.

Kebanyakan kajian adalah dalam negara berpendapatan tinggi, jadi ulasan kami tidak melaporkan sama ada sesetengah kaedah pendidikan dan psikologi mungkin lebih berkesan dalam sesetengah budaya atau untuk orang dalam negara berpendapatan rendah atau sederhana.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga Mac 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information