Perbandingan pengimejan jalur sempit terhadap cystoscopy biasa untuk rawatan kanser pundi kencing

Soalan ulasan

Bagaimanakah reseksi tisu pundi kencing yang digunakan dengan kaedah visualisasi khas yang dipanggil pengimejan jalur sempit berbanding dengan reseksi tisu pundi kencing yang dipandu oleh kaedah visualisasi standard (menggunakan cahaya putih) pada orang yang mempunyai tumor di dinding pundi kencing dalam mereka?

Latar belakang

Apabila orang disyaki menghidap kanser pundi kencing atau telah didiagnosis dengan kanser pundi kencing, doktor mereka perlu memeriksa pundi kencing dengan teliti dan mengeluarkan tisu untuk pemeriksaan lanjut. Penyingkiran tisu tumor juga berfungsi sebagai rawatan. Prosedur untuk membuang tumor di dalam pundi kencing dipanggil reseksi transurethral tumor pundi kencing, atau TURBT. TURBT dilakukan dengan memasukkan alat khas melalui uretra dan ke dalam pundi kencing. Kadangkala, adalah sukar untuk membezakan tisu pundi kencing normal yang sihat daripada tisu tumor. Sesetengah doktor menggunakan kaedah visualisasi khas yang dikenali sebagai pengimejan jalur sempit untuk membantu memvisualisasikan tisu tumor.

Ciri-ciri kajian

Kami menganalisis data daripada kajian yang diterbitkan yang dipanggil ujian terkawal rawak untuk memahami sama ada pengimejan jalur sempit mengurangkan risiko kanser pundi kencing menjadi lebih teruk, dan untuk melihat sama ada terdapat sebarang kesan sampingan. Kami hanya memasukkan kajian terkawal rawak kerana jenis kajian ini adalah yang paling boleh dipercayai.

Keputusan utama

Kami mengenal pasti lapan kajian terkawal rawak yang menangani soalan ulasan kami. Peserta yang termasuk dalam kajian ini disyaki menghidap kanser pundi kencing atau didiagnosis dengan kanser pundi kencing yang terhad kepada dinding dalaman, bermakna kanser tidak menyerang lapisan otot yang dibawahnya. Berdasarkan data terhad yang sedia ada, penggunaan pengimejan jalur sempit boleh mengurangkan risiko penyakit berulang dari semasa ke semasa.

Tiada satu pun daripada kajian terkawal rawak yang mengkaji sama ada pilihan kaedah visualisasi membuat sebarang perbezaan kepada risiko kanser pundi kencing menjadi lebih teruk atau risiko orang itu mati akibat kanser pundi kencing, jadi kami tidak tahu sama ada penggunaan pengimejan jalur sempit berkesan dalam menambah baik kedua-dua hasil ini.

Kami mendapati bahawa penggunaan pengimejan jalur sempit mungkin mempunyai sedikit atau tiada peningkatan risiko komplikasi, berbanding kaedah visualisasi standard.

Kualiti bukti

Disebabkan oleh kelemahan tertentu dalam reka bentuk kajian klinikal ini dan beberapa penemuan bercanggah antara kajian, keyakinan kami terhadap penemuan ini adalah rendah. Dengan lebih banyak penyelidikan pada masa hadapan, data yang lebih dipercayai mungkin mengubah penemuan ini. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochtane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information