Seberapa tepatkah jenis-jenis pengambilan sampel yang berbeza untuk mendiagnosis jangkitan COVID-19?

Mesej utama

• Apabila digunakan dengan ujian RT-PCR (ujian molekular yang mengesan bahan genetik dalam COVID-19 menggunakan teknik yang dipanggil tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik), sampel kumuran dan sampel air liur tekak dalam yang diambil sendiri mempunyai sensitiviti yang serupa berbanding dengan sampel nasofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan terlatih (diambil dari belakang tekak melalui hidung) dalam mengesan COVID-19.

• Apabila digunakan dengan RT-PCR, sampel yang diambil dari hidung, orofarinks (tekak melalui mulut), rongga mulut, dan kaedah pengambilan air liur yang lain kurang sensitif untuk mengesan COVID-19 berbanding dengan sampel nasofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan.

• Apabila digunakan dengan ujian antigen pantas (Ag-RDTs; di rumah/ujian kendiri), sampel yang diambil dari hidung mempunyai sensitiviti yang serupa dengan sampel nasofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan dalam mengesan COVID-19.

Mengapakah menambah baik diagnosis COVID-19 adalah penting?

Penyakit Coronavirus (COVID-19) adalah disebabkan oleh jangkitan dengan sindrom pernafasan akut coronavirus 2 (SARS-CoV-2) yang teruk. Orang yang disyaki menghidap COVID-19 boleh memutuskan untuk mengambil ujian bagi mengetahui sama ada mereka dijangkiti, supaya mereka dapat menerima rawatan, dan mengikuti panduan yang disyorkan untuk mengasingkan diri dan memaklumkan kontak rapat. Tidak mengesan COVID-19 apabila ianya ada (keputusan negatif palsu) berisiko menyebarkan jangkitan dan mengakibatkan terlepasnya peluang untuk rawatan.

Jenis kaedah pengambilan sampel untuk mendiagnosis COVID-19?

Jenis dan kualiti sampel yang diambil untuk pengesahan COVID-19 mempengaruhi kebolehpercayaan diagnosis. Jenis sampel yang paling tepat untuk mendiagnosis COVID-19 adalah yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan terlatih dari bahagian belakang tekak melalui hidung (sampel nasofarinks). Jenis ujian ini mengesan bahan genetik di dalam virus menggunakan teknik yang dipanggil tindak balas rantai polimerase transkripsi terbalik (RT-PCR). Walau bagaimanapun, sampel ini sukar diperoleh dengan betul, menyebabkan ketidakselesaan dan berisiko menyebarkan jangkitan jika individu batuk atau bersin ketika sampel diambil. Jenis-jenis sampel alternatif, terutamanya yang boleh diambil sendiri menggunakan ujian antigen pantas (Ag-RDT; iaitu ujian kendiri), boleh mengurangkan kos dan ketidakselesaan dan meningkatkan keselamatan pensampelan. Hal ini seterusnya boleh meningkatkan capaian dan pengambilan ujian.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin membandingkan sensitiviti lokasi dan kaedah pengambilan sampel yang berbeza dalam mengesan COVID-19 dengan ujian molekular (ujian RT-PCR) atau ujian berasaskan kendiri (ujian Ag-RDT).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan ketepatan sampel nasofarinks dengan sebarang alternatif yang boleh digunakan pada pesakit di luar hospital, termasuk sampel hidung (melalui hidung), sampel tekak yang diambil melalui mulut (orofarinks), sampel kumuran dan sampel air liur. Kami melihat kepada penggunaan sampel dengan RT-PCR atau Ag-RDT. Kami juga mencari kajian yang membandingkan kaedah yang berbeza untuk mengambil sampel, seperti sampel yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan berbanding dengan yang diambil oleh individu tanpa atau arahan yang minimum.

Apakah yang kami temui?

Ulasan ini merangkumi 106 kajian dengan sejumlah 60,523 peserta, di antaranya 11,045 mempunyai jangkitan COVID-19. Lima puluh sembilan peratus kajian telah dijalankan pada orang dewasa dan 79% pada peserta dengan simptom atau campuran dengan dan tanpa simptom. Enam puluh peratus kajian telah dijalankan di Eropah atau Amerika Syarikat; hanya lebih separuh (55%) dijalankan di pusat ujian COVID-19 khusus atau di persekitaran pesakit luar.

Keputusan utama

Dengan RT-PCR, secara purata:

- 100% sampel nasofarinks positif yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan juga akan diuji sebagai positif pada sampel kumuran atau sampel air liur yang diambil sendiri (diambil dengan cara batuk dan kemudiannya meludah (air liur tekak dalam));

- 88% sampel nasofarinks positif yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan juga akan diuji sebagai positif dengan sampel hidung yang diambil sendiri atau oleh pekerja penjagaan kesihatan;

- 87% sampel nasofarinks positif yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan juga akan dikesan oleh air liur yang diambil sendiri dengan meludah, 84% oleh air liur yang diambil sendiri menggunakan lelehan dan 79% oleh air liur yang diambil sendiri dengan menghisap kapas kesat; dan

- 83% sampel nasofarinks positif yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan juga akan dikesan oleh sampel orofarinks yang diambil sendiri atau oleh pekerja penjagaan kesihatan.

Dengan Ag-RDT, secara purata:

- 100% sampel nasofarinks positif yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan juga akan dikesan oleh sampel hidung yang diambil sendiri atau oleh pekerja penjagaan kesihatan.

Keputusan ringkasan

Keputusan kajian-kajian ini menunjukkan bahawa dalam sekumpulan 1000 orang, di mana 230 (23%) mempunyai COVID-19, maka:

apabila digunakan dengan PCR, berbanding dengan sampel nasofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan:

- tiada kes COVID-19 yang akan terlepas apabila menggunakan sampel kumuran yang diambil sendiri (12 kurang hingga 5 lebih) atau sampel air liur tekak dalam (2 kurang hingga 48 lebih);

- berkurang 28 (16 hingga 39) kes jangkitan COVID-19 akan dikesan menggunakan sampel hidung yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan atau sendiri;

- berkurang 30 (18 hingga 41) kes jangkitan COVID-19 akan dikesan oleh air liur yang diambil sendiri dengan meludah, berkurang 37 (12 hingga 62) oleh air liur yang diambil melalui lelehan dan berkurang 48 (12 hingga 85) oleh air liur yang dikumpulkan dengan menghisap kapas kesat;

- berkurang 39 (12 hingga 67) kes jangkitan COVID-19 akan dikesan oleh sampel orofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan atau sendiri; dan

apabila digunakan dengan Ag-RDTs, berbanding dengan sampel nasofarinks yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan:

tiada kes jangkitan COVID-19 akan terlepas apabila menggunakan sampel hidung yang diambil oleh pekerja penjagaan kesihatan atau sendiri.

Apakah batasan bukti?

Selalunya tidak jelas sama ada kajian yang disertakan sengaja mengecualikan sampel yang tidak mencukupi atau sama ada hasil sampel nasofarinks yang lebih tepat telah diketahui ketika sampel alternatif ditafsirkan. Ini boleh mengakibatkan jenis sampel alternatif kelihatan lebih tepat daripada secara praktiknya, mengurangkan jumlah kes jangkitan COVID-19 yang terlepas.

Lebih separuh daripada kajian tidak memberikan maklumat mengenai berapa lama peserta telah mengalami gejala pada masa pengambilan sampel. Ini mengurangkan keyakinan kami dalam perbandingan jenis sampel yang berbeza.

Kebanyakan kajian menilai sampel yang diambil sendiri oleh orang dewasa yang bergejala untuk digunakan dengan RT-PCR; oleh itu, penemuan ulasan ini mungkin tidak boleh terpakai kepada individu tanpa gejala atau kanak-kanak. Untuk kajian yang dijalankan dengan Ag-RDT, tidak jelas sama ada anggaran sensitiviti sampel hidung boleh diaplikasikan untuk kegunaan di rumah (diambil sendiri dan ditafsirkan sendiri).

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 22 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information