Pemeriksaan visual atau visual-taktil untuk diagnosis karies gigi

Mengapakah penting untuk meningkatkan pengesanan karies gigi (kerosakan gigi)?

Doktor gigi sering menyasarkan untuk mengenalpasti kerosakan gigi yang telah sampai ke tahap yang memerlukan tampalan. Jika doktor gigi dapat menemui kerosakan gigi ketika ia hanya menjejaskan lapisan luar gigi (enamel) maka adalah mungkin untuk menghentikan kerosakan daripada merebak dan mencegah daripada keperluan untuk tampalan. Ianya juga penting untuk mengurangkan jumlah keputusan positif palsu iaitu rawatan mungkin diberikan ketika tiada karies, dan kaedah pengesanan visual yang lebih baik dapat mengurangkan kejadian tersebut.

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui seberapa tepat sistem klasifikasi visual untuk mengesan kerosakan gigi awal sebagai sebahagian daripada 'pemeriksaan' gigi untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang berjumpa doktor gigi mereka. Penyelidik Cochrane menyertakan 67 kajian untuk menjawab soalan ini.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Dua sistem klasifikasi visual utama dikaji dalam tinjauan ini: Sistem Pengesanan dan Penilaian Antarabangsa Karies (ICDAS) dan sistem Ekstrand-Ricketts-Kidd (ERK). Kumpulan ketiga klasifikasi visual dilaporkan dan dilabel sebagai 'Lain-lain' kerana kajian-kajia ini tidak melaporkan sistem yang digunakan. Pengulas mengkaji kerosakan pada permukaan oklusal (permukaan gigitan di gigi belakang), permukaan proksimal (permukaan gigi yang bersebelahan), dan permukaan yang rata.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Ulasan ini menyertakan 67 kajian dengan 19,590 batang gigi. Beberapa kajian melaporkan lebih daripada satu jenis sistem klasifikasi, ini memberikan kepada pengulas 71 set data untuk digunakan. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa, secara teori, jika sistem klasifikasi visual digunakan oleh doktor gigi untuk pemeriksaan gigi rutin dalam sekumpulan 1000 permukaan gigi, dengan 350 (28%) daripadanya mengalami kerosakan gigi awal:

• penggunaan sistem klasifikasi visual akan menunjukkan bahawa anggaran 403 akan mengalami kerosakan gigi awal, dan di antaranya, 163 (40%) tidak akan mengalami kerosakan gigi (positif palsu - diagnosis yang salah);
• daripada 597 permukaan/lokasi gigi dengan keputusan tiada kerosakan gigi, 40 (7%) akan mempunyai kerosakan gigi awal (negatif palsu - diagnosis salah).

Gambarajah keputusan ini boleh didapati di oralhealth.cochrane.org/visual-examination-classification-systems-results-0331c. Dalam contoh ini, sistem klasifikasi visual menghasilkan keputusan positif palsu yang tinggi. Rawatan dalam keadaan tidak berpenyakit mungkin tidak invasif seperti penggunaan ubat gigi berfluorida tinggi, atau nasihat dan panduan kesihatan oral dari doktor gigi, tetapi akan wujud kos kewangan kepada pesakit atau penyedia perkhidmatan kesihatan.

Pengulas tidak menemui bukti dari data yang dikumpulkan bahawa sistem klasifikasi berbeza dari segi ketepatan.

Sejauh manakah keputusan kajian dalam ulasan ini boleh dipercayai?

Pengulas hanya menyertakan kajian-kajian yang menilai gigi yang sihat atau yang dianggap mempunyai kerosakan gigi awal. Ini kerana gigi dengan kerosakan gigi yang dalam lebih mudah dikenalpasti. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa masalah dengan cara kajian-kajian ini dijalankan. Ini boleh menyebabkan sistem klasifikasi visual kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya, iaitu meningkatkan jumlah keputusan klasifikasi visual yang betul. Pengulas menilai kepastian bukti sebagai rendah kerana cara kajian memilih peserta mereka, sejumlah besar kajian yang dijalankan dalam persekitaran makmal pada gigi yang dicabut, dan variasi keputusan yang dilaporkan.

Kepada siapakah keputusan ulasan ini diguna pakai?

Kajian yang disertakan dalam ulasan ini telah dijalankan di Brazil, Eropah, Jepun dan Australia. Sebilangan besar kajian melakukan ujian ke atas gigi yang dicabut, sementara kajian klinikal dijalankan di hospital pergigian, klinik pengamal pergigian am, atau sekolah. Kajian-kajian adalah dari tahun 1988 hingga 2019.

Apakah implikasi ulasan ini?

Pengulas memerhatikan variasi besar dalam keputusan, yang mungkin tidak mengejutkan kerana penggunaan sistem klasifikasi ini melibatkan penafsiran oleh pengguna. Terdapat ketidakpastian yang besar dalam keupayaan prestasi kajian masa depan. Kajian penyelidikan lebih lanjut harus dilakukan dalam persekitaran klinikal.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari dan menggunakan kajian yang diterbitkan sehingga 30 April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information