Alat sokongan serviks faraj untuk mengelakkan kelahiran bayi tunggal sebelum 37 minggu

Apakah kelahiran pramatang?

Kelahiran pramatang bermaksud kelahiran sebelum 37 minggu kehamilan. Ia adalah punca utama kematian bayi yang baru lahir. Selalunya, kelahiran pramatang disebabkan oleh kelemahan serviks (hujung rahim yang lebih rendah dan sempit).

Bagaimanakah kelemahan serviks boleh dirawat untuk mengelakkan kelahiran pramatang?

Kaedah yang digunakan untuk merawat kelemahan serviks termasuk cerclage serviks (mengetatkan serviks dengan jahitan untuk mengelakkan pembukaan pramatang), pengurusan hamil (pemantauan tanpa intervensi sehingga masalah timbul), rawatan perubatan dengan hormon seks wanita progesteron (diberikan melalui faraj) atau pesari serviks (cincin silikon yang digunakan untuk menutup serviks). Pesari serviks dimasukkan ke dalam faraj atas pada antara 12 dan 24 minggu kehamilan dan dikeluarkan pada 37 minggu. Ia adalah prosedur mudah, sedikit invasif yang tidak memerlukan anestesia dan boleh menggantikan cerclage serviks.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pesari serviks lebih baik daripada rawatan lain, atau tiada rawatan, untuk mencegah kelahiran pramatang terhadap wanita yang mengandung bayi tunggal (kehamilan tunggal) dan berisiko mengalami kelemahan serviks.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang memeriksa pesari serviks berbanding dengan rawatan lain, atau tiada rawatan, pada wanita dengan kehamilan tunggal yang berisiko mengalami kelemahan serviks. Kami membanding dan merumus keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui lapan kajian rawak (di mana peserta diberikan secara rawak kepada kumpulan rawatan mereka) melibatkan 2983 wanita hamil. Kami dapat mengekstrak data untuk tiga perbandingan: pesari serviks berbanding tiada rawatan, pesari serviks berbanding progesteron, dan pesari serviks berbanding cerclage serviks. Kajian dijalankan di 15 negara berpendapatan tinggi.

Bagi wanita dengan kehamilan tunggal, penggunaan pesari serviks boleh mengurangkan risiko kelahiran pramatang berbanding tanpa rawatan atau progesteron faraj, walaupun bukti di sekeliling ini tidak kukuh. Tidak jelas sama ada pesari serviks mempunyai kesan terhadap jangkitan ibu atau hasil lain yang berkaitan dengan bayi untuk semua perbandingan.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana keputusan berbeza secara meluas antara kajian dan kajian yang tidak mencukupi. Kajian pada masa depan adalah diperlukan untuk mengesahkan kesan berfaedah pesari serviks ketika kelahiran pramatang. Mereka harus memasukkan tetapan berpendapatan rendah supaya penemuan boleh digunakan untuk populasi yang lebih luas.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information