Adakah intervensi psikologi dan sosial menggalakkan penambahbaikan kesihatan mental di kalangan orang yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas oleh krisis kemanusiaan?

Mesej utama

- Kami tidak menemui bukti mencukupi yang memihak kepada intervensi-intervensi untuk mempromosikan aspek positif kesihatan mental dalam seting kemanusiaan. Kajian rawak lebih besar yang dijalankan dengan baik adalah diperlukan.

Kesihatan mental semasa krisis kemanusiaan

Krisis kemanusiaan adalah satu peristiwa, atau rangkaian peristiwa, yang mengancam kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan sebuah komuniti atau himpunan orang ramai, biasanya meliputi sebuah kawasan yang luas. Contoh termasuk peperangan dan konflik bersenjata; kebuluran; dan bencana yang dicetuskan oleh bahaya seperti gempa bumi, taufan, dan banjir. Orang yang melalui krisis kemanusiaan boleh mengalami tekanan fizikal dan mental dan mengalami keadaan yang sangat mencabar yang menyebabkan mereka terdedah kepada terjadinya gangguan mental, seperti gangguan tekanan pasca-trauma, kemurungan, dan kebimbangan. Anggaran berlakunya gangguan mental semasa krisis kemanusiaan adalah 17% untuk kemurungan dan kebimbangan, dan 15% untuk gangguan tekanan pasca-trauma.

Apakah itu intervensi psikologi dan sosial?

Intervensi psikologi dan sosial (juga dikenali sebagai psikososial) mengiktiraf kepentingan persekitaran sosial untuk membentuk kesejahteraan mental. Intervensi biasanya mempunyai kedua-dua komponen psikologi (berkaitan dengan keadaan mental dan emosi seseorang; seperti relaksasi) dan komponen sosial (seperti usaha untuk meningkatkan sokongan sosial). Intervensi boleh bertujuan untuk mempromosikan aspek positif kesihatan mental (seperti mengukuhkan harapan dan sokongan sosial, kemahiran keibubapaan), atau mencegah dan mengurangkan tekanan psikologi dan gangguan mental.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada intervensi psikososial boleh mempromosikan hasil kesihatan mental yang positif di kalangan orang yang melalui krisis kemanusiaan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, berbanding dengan perbandingan tidak aktif seperti tanpa intervensi, intervensi sedia ada (peserta dibenarkan untuk mendapatkan rawatan yang ada dalam komuniti), atau senarai menunggu (peserta menerima intervensi psikososial selepas fasa menunggu).

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang meneliti kesan intervensi psikososial terhadap aspek positif kesihatan mental orang ramai di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas oleh krisis kemanusiaan. Dalam kajian-kajian tersebut, kami telah memilih ukuran hasil yang menggambarkan emosi positif, penglibatan sosial yang positif, hubungan yang baik, maksud, dan pencapaian. Ini adalah selaras dengan definisi kesihatan mental yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang merujuk kepadanya kesihatan mental adalah “keadaan kesejahteraan mental yang membolehkan orang untuk menghadapi tekanan hidup, menyedari keupayaan mereka, belajar dengan baik dan bekerja dengan baik, dan menyumbang kepada komuniti mereka." Kami telah mencari kajian rawak terkawal yang mana intervensi yang diterima oleh peserta ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan-kesan suatu intervensi.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 13 kajian tentang promosi kesihatan mental dengan sejumlah 7917 peserta. Sembilan kajian adalah dengan kanak-kanak dan remaja (berumur tujuh sehingga 18 tahun), dan empat adalah dengan orang dewasa (berumur lebih 18 tahun). Empat kajian telah dijalankan di Lebanon; dua di India; dan satu kajian masing-masing di Republik Demokratik Congo, Jordan, Haiti, Bosnia dan Herzegovina, Wilayah Palestin yang diduduki, Nepal, dan Tanzania. Purata tempoh kajian adalah 18 minggu (minimum 10 minggu, maksimum 32 minggu). Kajian biasanya dibiayai oleh geran daripada institusi akademik atau pertubuhan bukan kerajaan. Kajian-kajian tersebut mengukur kesejahteraan mental, fungsi, tingkah laku prososial (suatu tingkah laku yang memanfaatkan orang lain atau masyarakat secara keseluruhan), pada permulaan kajian, pada penghujung intervensi, dan tiga atau empat bulan kemudian. Mereka telah membandingkan keputusan di kalangan peserta yang telah dan tidak menerima intervensi.

Apakah keputusan ulasan kami?

Tidak terdapat bukti mencukupi untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Di kalangan kanak-kanak dan remaja, intervensi psikososial mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap meningkatkan kesejahteraan mental, fungsi, dan tingkah laku prososial, tetapi bukti tersebut adalah sangat meragukan. Untuk populasi orang dewasa, kami telah menemui bukti yang menggalakkan bahawa intervensi psikososial mungkin meningkatkan sedikit kesejahteraan mental, tetapi tidak ada data tentang sebarang dimensi positif kesihatan mental yang lain . Secara keseluruhan, untuk kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa, kami tidak yakin bahawa keputusan ini boleh dipercayai: keputusan kemungkinannya boleh berubah apabila terdapat bukti lebih lanjut.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama ulasan ini adalah kami tidak dapat menjamin bahawa bukti yang telah kami hasilkan boleh dipercayai. Ini adalah akibat langsung daripada jumlah kecil data yang mengetengahkan persoalan penyelidikan kami. Dengan menjalankan analisa daripada kelompok data yang begitu kecil, kami tidak dapat memastikan bahawa perubahan dalam hasil keputusan adalah berkaitan dengan intervensi yang telah diberikan, bukan sebaliknya disebabkan secara kebetulan. Tambahan pula, peserta di dalam kajian menyedari rawatan mana yang telah mereka terima, dan bukan kesemua kajian memberikan data tentang kesan-kesan yang kami mahukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami telah menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information