Mesej utama
• Bermain permainan video yang melibatkan aktiviti fizikal (exergaming) boleh membantu individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan untuk meningkatkan kemahiran berfikir seperti belajar dan mengingati item, tetapi kami tidak yakin sepenuhnya terhadap kaedah ini.
• Terdapat sedikit bukti pada masa kini yang menyokong bahawa exergaming mungkin membantu meningkatkan keupayaan individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan untuk berjalan, mengekalkan keseimbangan mereka, atau mengendalikan tugasan harian seperti membayar bil atau pergi membeli-belah.
Apakah demensia dan gangguan kognitif ringan?
Demensia ialah keadaan di mana terdapat perubahan di otak yang menjejaskan ingatan, pemikiran, dan keupayaan seseorang untuk melakukan tugasan harian. Ia boleh menyukarkan seseorang untuk mengingat, merancang, fokus, atau berkomunikasi. Perubahan tersebut biasanya menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa dan akhirnya mengganggu kehidupan seharian.
Gangguan kognitif ringan bermakna mempunyai sedikit masalah dengan ingatan dan pemikiran, tetapi tidak sebanyak individu dengan demensia. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan demensia pada masa hadapan. Walaupun individu dengan gangguan kognitif ringan mungkin bergelut dengan ingatan untuk sesetengah benda atau berfikir dengan jelas, mereka masih boleh mengendalikan tugasan harian seperti membayar bil, pergi membeli-belah, dan memastikan rumah mereka bersih. Pada asasnya, ia adalah seperti mempunyai beberapa masalah dan kesukaran berfikir yang tidak seteruk demensia, tetapi boleh menjadi teruk dari semasa ke semasa.
Apakah exergaming?
Pada masa kini, tidak banyak rawatan yang boleh melambatkan penyakit-penyakit seperti demensia. Tetapi kami tahu bahawa dengan kekal aktif, secara fizikal dan mental, boleh merendahkan risiko mendapat demensia sepanjang usia seseorang. Sesetengah pakar berpendapat bahawa menggalakkan individu untuk kekal aktif dalam kedua-dua domain ini mungkin membantu mengurangkan gejala demensia dan kesan gangguan kognitif ringan. Dengan teknologi baru, kita boleh menggunakan realiti maya dan permainan interaktif sekarang, yang dikenali sebagai exergames, untuk memberikan latihan fizikal dan mental. Exergames dilihat sebagai pilihan yang baik disebabkan permainan-permaian ini agak mudah untuk warga tua menggunakannya di rumah, dan permainan ini boleh meningkatkan motivasi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada bermain exergames lebih efektif berbanding dengan tanpa rawatan aktif atau rawatan konvensional, untuk meningkatkan keupayaan fizikal, kemahiran berfikir, dan keupayaan untuk menyempurnakan tugas harian, di kalangan individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan.
Kami juga ingin menyemak sama ada bermain exergames mempunyai sebarang kesan sampingan.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari penyelidikan perubatan untuk mencari kajian yang membandingkan individu yang telah menerima intervensi exergaming dengan individu yang mengambil bahagian dalam rawatan-rawatan lain. Dalam sesetengah kes, individu yang menggunakan exergaming dibandingkan dengan individu yang tidak mendapat sebarang rawatan spesifik (cth. mereka hanya berehat), atau mendapat rawatan yang kajian telah menunjukkan kesan positif, seperti senaman aerobik atau latihan otak. Kami telah mengabungkan mana-mana keputusan-keputusan kajian yang sesuai, dan kami telah menilai kualiti kajian-kajian tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah apa yang telah digunakan dan jumlah individu dengan gangguan kognitif ringan atau demensia telah diuji.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menemui 11 kajian. Kajian-kajian tersebut diterbitkan antara tahun 2014 hingga 2023. Tujuh kajian melibatkan 308 peserta dengan gangguan kognitif ringan, dan lima kajian melibatkan 228 peserta dengan demensia. Salah satu kajian telah melibatkan individu dengan gangguan kognitif ringan dan individu dengan demensia.
Kami menemui bahawa bermain exergames mungkin membantu meningkatkan keupayaan berfikir individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan apabila dibandingkan dengan individu yang menerima penjagaan biasa atau intervensi yang tidak aktif sangat, tetapi tidak menunjukkan peningkatan apabila dibandingkan dengan individu yang menerima rawatan aktif yang kami tahu mempunyai kesan yang baik.
Kami tidak menjumpai bahawa bermain exergames meningkatkan keupayaan fizikal, seperti berjalan atau mengimbangi, atau keupayaan untuk membuat aktiviti normal seharian, seperti membeli-belah, terhadap individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan.
Secara umumnya, kelihatan melibatkan diri dalam exergames mungkin selamat untuk individu dengan demensia dan gangguan kognitif ringan apabila dijalankan dalam persekitaran yang terkawal dan diawasi dengan bantuan daripada profesional penjagaan kesihatan. Kami tidak mempunyai bukti tentang keselamatan exergaming terhadap individu dengan demensia atau MCI di rumah yang tiada pengawasan.
Apakah batasan bukti?
Kami telah meneliti bagaimana kajian-kajian tersebut telah dijalankan, dan kami mendapati terdapat beberapa masalah dengan kajian-kajian ini. Ini bermaksud kami perlu lebih berhati-hati semasa mentafsir keputusan yang telah dinyatakan seperti di atas. Salah satu sebab adalah kajian-kajian tersebut tidak melibatkan ramai peserta.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga 22 Disember 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).