Bolehkah simptom dan pemeriksaan perubatan mendiagnosis penyakit COVID-19 dengan tepat?

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Kebanyakan orang dengan COVID-19 mempunyai penyakit respiratori ringan hingga sederhana; yang lain mengalami penyakit yang teruk, seperti pneumonia COVID-19. Diagnosis formal memerlukan analisis makmal untuk sampel hidung dan tekak, atau ujian pengimejan seperti imbasan CT. Walau bagaimanapun, maklumat diagnostik pertama yang paling mudah didapati adalah dari simptom dan tanda-tanda dari pemeriksaan klinikal. Jika diagnosis awal dengan simptom dan tanda-tanda adalah tepat, keperluan untuk ujian diagnostik pakar yang memakan masa akan berkurang.

Simptom dialami oleh pesakit. Orang dengan COVID-19 ringan mungkin mengalami batuk, sakit tekak, suhu tinggi, cirit-birit, sakit kepala, sakit otot atau sendi, keletihan, dan hilang deria bau dan rasa. Simptom pneumonia COVID-19 termasuklah sesak nafas, hilang selera makan, kekeliruan, sakit atau tekanan di dada, dan suhu tinggi (melebihi 38 °C).

Tanda-tanda dinilai dari pemeriksaan klinikal, dan termasuk bunyi paru-paru, tekanan darah dan kadar denyut jantung.

Kerapkali, orang dengan simptom ringan berjumpa doktor mereka (doktor penjagaan primer) untuk diagnosis awal. Orang dengan simptom yang lebih teruk mungkin mengunjungi jabatan pesakit luar hospital atau jabatan kecemasan. Bergantung kepada simptom dan tanda-tanda mereka, pesakit mungkin dihantar pulang untuk pengasingan, menerima ujian lanjutan atau dimasukkan ke hospital.

Mengapakah diagnosis yang tepat penting?

Diagnosis yang tepat memastikan orang menerima rawatan yang betul dengan cepat; tidak diuji, dirawat atau diasingkan tanpa keperluan; dan tidak berisiko menyebarkan COVID-19. Ini penting untuk individu dan menjimatkan masa dan sumber.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin tahu berapa tepat diagnosis COVID-19 dan pneumonia COVID-19 dalam persekitaran penjagaan primer atau hospital, berdasarkan simptom dan tanda-tanda dari pemeriksaan perubatan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan simptom dan tanda-tanda untuk mendiagnosis COVID-19 ringan dan pneumonia COVID-19. Kajian-kajian boleh menyertakan orang dengan kemungkinan COVID-19, atau orang yang diketahui ada - dan tidak ada - COVID-19. Kajian perlu dilakukan di persekitaran penjagaan primer atau pesakit luar hospital sahaja dan menyertakan sekurang-kurangnya 10 peserta dengan sebarang simptom atau tanda yang berkemungkinan COVID-19.

Kajian-kajian yang disertakan

Kami menemui 16 kajian yang relevan dengan 7706 peserta. Kajian-kajian tersebut menilai 27 tanda dan simptom yang berasingan, tetapi tiada yang menilai kombinasi tanda-tanda dan simptom. Tujuh kajian berlangsung di klinik pesakit luar hospital (2172 peserta), empat di jabatan kecemasan (1401 peserta), tetapi tiada di persekitaran penjagaan primer. Tiada kajian menyertakan kanak-kanak, dan hanya satu kajian memfokuskan orang tua. Semua kajian mengesahkan d iagnosis COVID-19 dengan ujian sedia adapaling tepat.

Keputusan utama

Kajian-kajian tersebut tidak membezakan dengan jelas COVID-19 ringan hingga sederhana dari pneumonia COVID-19, oleh itu kami bentangkan keputusan kedua-dua keadaan bersama.

Keputusan menunjukkan sekurang-kurangnya separuh peserta dengan penyakit COVID-19 mengalami batuk, sakit tekak, suhu tinggi, sakit otot atau sendi, keletihan, atau sakit kepala. Walau bagaimanapun, batuk dan sakit tekak juga lazim dalam kalangan orang yang tiada COVID-19, oleh itu simptom-simptom ini sahaja kurang membantu untuk mendiagnosis COVID-19. Suhu tinggi, sakit otot atau sendi, keletihan, dan sakit kepala meningkatkan kecederungan penyakit COVID-19.

Bolehkah keputusan ini dipercayai?

Ketepatan simptom dan tanda-tanda individu berbeza dengan meluas di antara kajian-kajian. Tambahan pula, cara kajian-kajian memilih peserta bermakna ketepatan ujian adalah berdasarkan simptom dan tanda-tanda yang mungkin tidak pasti.

Kesimpulan

Semua kajian-kajian dijalankan di persekitaran pesakit luar hospital, oleh itu keputusan tersebut tidak mewakili persekitaran penjagaan primer. Keputusan tersebut tidak boleh diaplikasikan kepada kanak-kanak atau orang tua secara khusus, dan tidak membezakan dengan jelas di antara penyakit COVID-19 yang ringan dan pneumonia COVID-19.

Keputusan menunjukkan satu simptom tunggal atau tanda yang disertakan dalam ulasan ini tidak boleh mendiagnosis COVID-19 dengan tepat. Doktor mendiagnosis berdasarkan simptom dan tanda multipel, tetapi kajian-kajian tersebut tidak mencerminkan aspek amalan klinikal ini.

Penyelidikan lanjut diperlukan untuk menyiasat kombinasi simptom dan tanda; simptom yang mungkin lebih spesifik, seperti hilang deria bau; dan menguji populasi yang tidak terpilih, di persekitaran penjagaan primer dan dalam kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Para penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan dari Januari hingga April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaks-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save