Berapa tepatkah simptom dan pemeriksaan perubatan untuk mendiagnos COVID-19?

Mesej utama

- Keputusan-keputusan mencadangkan satu gejala yang disertakan dalam ulasan ini tidak boleh mendiagnos COVID-19 dengan tepat.

- Kehilangan deria rasa atau bau boleh menjadi 'bendera merah' untuk kehadiran COVID-19. Batuk atau demam mungkin berguna untuk mengenal pasti orang yang mungkin mempunyai COVID-19. Simptom-simptom ini mungkin berguna untuk menggesa ujian lanjut apabila ia hadir.

- Kami perlukan lebih banyak penyelidikan untuk menyiasat gabungan simptom dan tanda-tanda dengan maklumat lain seperti kenalan terbaharu atau sejarah perjalanan, atau status vaksinasi, dan dalam kalangan kanak-kanak, dan orang dewasa berumur 65 tahun ke atas.

Apakah simptom atau tanda COVID-19?

Simptom yang dialami oleh pesakit. Simptom COVID-19 termasuklah batuk, sakit tekak, suhu tinggi, cirit-birit, sakit kepala, sakit otot atau sendi, keletihan, dan kehilangan deria bau dan rasa.

Tanda-tanda diukur oleh pekerja penjagaan kesihatan semasa pemeriksaan klinikal. Tanda-tanda termasuklah bunyi paru-paru, tekanan darah, paras oksigen darah dan kadar denyut jantung.

Simptom dan tanda COVID-19 mungkin penting untuk membantu orang mengetahui sama ada mereka dan orang yang dikontak harus mengasing diri di rumah, menjalani ujian dengan ujian aliran sisi pantas atau ujian PCR (berasaskan makmal), atau dimasukkan ke hospital.

Apakah yang kami ingin tahu?

Simptom dan tanda COVID-19 adalah berbeza-beza dan mungkin menunjukkan penyakit lain, bukan hanya COVID-19. Kami ingin tahu berapa tepatkah diagnosis COVID-19, berdasarkan simptom dan tanda-tanda dari pemeriksaan perubatan. Kami berminat dengan orang yang disyaki COVID-19, yang pergi ke doktor, pusat ujian pesakit luar atau hospital.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan simptom dan tanda-tanda untuk mendiagnos COVID-19. Kajian perlu dijalankan di amalan am, pusat ujian pesakit luar atau persekitaran pesakit luar hospital sahaja. Kami hanya sertakan kajian-kajian orang di hospital jika tanda dan simptom direkod semasa mereka dimasukkan ke hospital, contohnya melalui jabatan kecemasan.

Apakah yang kami temui?

Kami memfokus kepada 42 kajian dengan 52,608 peserta dalam ulasan ini. Kajian-kajian menilai 96 gejala dan tanda yang berasingan atau gabungan. Tiga puluh lima kajian dijalankan di jabatan kecemasan atau pusat ujian COVID-19 pesakit luar (46,878 peserta), 3 kajian di amalan am (1230 peserta), 2 kajian di hospital kanak-kanak (493 pesakit dalam dan luar), dan 2 kajian di rumah penjagaan. (4007 peserta). Kajian-kajian dijalankan di 18 negara di seluruh dunia. Dua puluh tiga kajian dijalankan di Eropah, 8 di Amerika Utara, 5 di Asia, dan 3 di Amerika Selatan dan 3 di Australia. Kami tidak menemui sebarang kajian yang dijalankan di Afrika. Tiga kajian memfokus khusus kepada kanak-kanak, dan hanya 1 memfokus orang dewasa berumur 65 tahun ke atas.

Kebanyakan kajian tidak membezakan dengan jelas antara COVID-19 ringan dan teruk, oleh itu kami bentangkan keputusan untuk penyakit ringan, sederhana dan teruk bersama-sama.

Segelintir kajian melaporkan tanda individu sebagai ujian diagnostik, oleh itu kami memfokus terutamanya pada nilai diagnostik simptom. Simptom yang paling kerap dilapor ialah batuk, demam, sesak nafas dan sakit tekak.

Menurut kajian-kajian dalam ulasan kami, dalam sekumpulan 1000 orang yang disyaki COVID-19 di mana 270 (27%) daripada mereka sebenarnya dijangkiti COVID-19, kira-kira 567 orang akan mengalami batuk. Daripada 567 ini, 168 sebenarnya akan mempunyai COVID-19. Daripada 433 yang tiada batuk, 102 akan mempunyai COVID-19. Dalam 1000 orang yang sama, sekitar 283 orang mungkin demam. Daripada 283 ini, 102 sebenarnya akan mempunyai COVID-19. Daripada 717 orang yang tiada demam, 168 akan mempunyai COVID-19.

Seseorang yang hilang deria bau atau rasa lima kali lebih mungkin mempunyai COVID-19 berbanding seseorang yang tidak mengalaminya.

Simptom lain, seperti sakit tekak atau hidung berair, lebih mungkin menunjukkan kehadiran penyakit berjangkit selain COVID-19. Dalam 1000 orang yang sama seperti yang dinyatakan di atas, sekitar 362 orang akan mengalami sakit tekak. Daripada jumlah ini, hanya 84 yang sebenarnya akan mempunyai COVID-19. Daripada 638 pesakit tanpa sakit tekak, 186 akan mempunyai COVID-19. Kami dapati angka yang sama untuk mempunyai hidung berair.

Apakah limitasi bukti tersebut?

Hasil ulasan yang dikemas kini ini lebih boleh percaya daripada yang terdapat dalam versi terdahulu kerana kami menyertakan lebih banyak kajian berkualiti tinggi. Walau bagaimanapun, ketepatan simptom individu berbeza-beza merentasi kajian-kajian dan nilai diagnostik simptom seperti demam, batuk atau gejala respiratori lain mungkin masih terlebih anggar kerana kebanyakan kajian sengaja memasukkan peserta kerana mereka ada simptom ini.

Keputusan-keputusan tidak membezakan dengan jelas antara orang dengan COVID-19 ringan, sederhana atau teruk. Hanya beberapa kajian yang menyiasat diagnosis berasaskan simptom COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa yang lebih tua.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information