Rawatan untuk duktus arteriosus terbuka dalam bayi pramatang

Soalan ulasan

Apakah rawatan yang berkesan dan selamat dalam mencegah atau merawat keadaan biasa jantung yang dikenali sebagai duktus arteriosus terbuka (PDA) dalam bayi pramatang?

Latar belakang

PDA merupakan komplikasi yang kerap terjadi dalam kalangan bayi pramatang dan bayi dengan berat lahir yang rendah. PDA merupakan saluran darah yang terbuka di antara paru-paru dan jantung yang biasanya akan tertutup sejurus selepas kelahiran. Dalam kalangan bayi pramatang dan bayi dengan berat lahir yang rendah, PDA mungkin kekal terbuka dan boleh menyumbang kepada komplikasi yang mengancam nyawa. Kami ingin melihat rawatan yang boleh mencegah atau merawat PDA dan masalah yang berkaitan dengan selamat dan berkesan.

Ciri-ciri kajian

Kami melibatkan 16 Ulasan Cochrane. Daripada jumlah ini, enam ulasan memberi bukti tentang pencegahan PDA dengan ubat-ubatan, pembedahan atau cara lain yang tidak melibatkan ubat-ubatan atau pembedahan. Satu ulasan memberi bukti tentang rawatan PDA sebelum bayi mengalami simptom, manakala ulasan selebihnya melampirkan bukti berkaitan rawatan terhadap bayi yang mengalami simptom daripada PDA mereka, sama ada dengan ubat-ubatan atau pembedahan.

Keputusan Utama

Gambaran keseluruhan ini mendapati bahawa kedua-dua jenis ubat iaitu indomethacin dan ibuprofen boleh mengurangkan pendarahan otak yang teruk dan keperluan terhadap pembedahan PDA apabila diberikan kepada bayi pramatang sebelum mereka mengalami simptom daripada PDA. Apabila bayi telah mengalami simptom daripada PDA, semua terapi ubat-ubatan sedia ada iaitu indomethacin, ibuprofen dan acetaminophen (khususnya apabila diberikan seawal mungkin) berkesan dalam menutup PDA. Apabila menggunakan ibuprofen, pemberian ubat melalui mulut ternyata lebih baik daripada pemberian secara intravena dan dos ibuprofen yang lebih tinggi didapati lebih berkesan dalam menutup PDA daripada dos standard.

Kepastian bukti

Menurut GRADE (satu kaedah pemarkahan tahap kepastian percubaan yang menyokong setiap keputusan), kepastian bukti berbeza-beza daripada sangat rendah ke tinggi. Menurut kriteria AMSTAR 2 (kaedah penilaian kualiti ulasan), kualiti Ulasan Cochrane yang dilibatkan juga berbeza-beza daripada tinggi sehingga sangat rendah, tetapi kebanyakannya berada di antara sederhana dan rendah.

Sejauh manakah terkininya bukti carian

Carian adalah terkini sehingga 20 Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information