Apakah intervensi yang dapat menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan mereka yang menghidapi penyakit neuromuskular?

Soalan kajian

Kami melihat pada bukti mengenai cara-cara untuk meningkatkan aktiviti fizikal dalam kalangan pesakit neuromuskular. Kami hanya menyertakan kajian yang mengukur aktiviti fizikal sebagai hasil kajian. Kami mengumpul dan meneliti semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini.

Latar belakang

Aktiviti fizikal merangkumi semua jenis aktiviti harian, contohnya bekerja, mengembara atau senaman. Berdasarkan faedah kesihatan yang diketahui umum, panduan antarabangsa mengesyorkan semua orang sentiasa mengamalkan aktiviti fizikal yang mencukupi. Panduan ini wajar untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan, termasuklah penyakit neuromuskular, yang mengganggu fungsi otot dan saraf. Walaubagaimana pun, ramai pesakit neuromuskular terpaksa hidup dengan ketidakupayaan dan menghadapi kesukaran untuk lebih aktif secara fizikal. Kajian-kajian juga biasanya tidak melibatkan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi 13 kajian (795 peserta daripada 12 kajian; satu kajian mempunyai jumlah peserta yang tidak jelas). Kajian ini kebanyakannya melibatkan orang dewasa yang boleh berjalan, meskipun soalan ulasan kami merangkumi semua orang dalam apa juga lingkungan umur, yang boleh bergerak dengan bantuan atau tanpa bantuan. Hanya satu kajian yang mempunyai intervensi dengan tujuan untuk meningkatkan aktiviti fizikal. Fokus utama dalam kebanyakan kajian adalah untuk menilai kesan intervensi aktiviti fizikal terhadap aspek kesihatan, kecergasan dan kesejahteraan hidup. Intervensi ini termasuklah yang melibatkan senaman dengan sokongan atau lain-lain aktiviti fizikal, dengan memberi nasihat supaya lebih aktif, atau melalui terapi bercakap untuk menggalakkan perubahan tingkah laku dalam aktiviti harian. Ahli terapi fizikal dan lain-lain ahli yang mahir dalam bidang kesihatan dan kecergasan akan memberikan sokongan untuk kebanyakan intervensi tersebut.

Keputusan dan kepastian bukti

Bukti ini berkaitan dengan orang dewasa dengan sembilan jenis penyakit neuromuskular yang berbeza. Kesemua 13 kajian merancang untuk mengukur aktiviti fizikal tetapi keputusan daripada enam kajian tidak dilaporkan atau tidak boleh digunakan. Kami mendapati perbezaan yang ketara antara intervensi dan rawatan biasa yang disediakan di tempat yang berbeza. Kami juga mendapati perbezaan dalam kaedah kajian membuat pengukuran dan melaporkan hasil kajian. Maklumat yang hilang berkenaan aktiviti fizikal mungkin telah mempengaruhi keputusan kajian. Dari segi masa yang dihabiskan dengan aktif secara fizikal, kami tidak pasti sama ada intervensi yang dilakukan dapat menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan pesakit neuromuskular. Kami juga tidak pasti tentang kesan intervensi aktiviti fizikal terhadap kualiti hidup dan sebarang kesan buruk yang berkaitan. Namun begitu, kami tidak menemui apa-apa bukti yang mengaitkan intervensi aktiviti fizikal dengan peningkatan kesan buruk yang serius. Ketidakpastian kami pada bukti adalah disebabkan oleh keterbatasan dalam reka bentuk kajian dan kerana keputusan kajian yang tidak tepat dan tidak menjawab soalan ulasan kami secara langsung.

Bukti ini adalah yang terkini hingga 30 April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Shuhada Muhammad Sidik (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information