Apakah yang kami tahu tentang impak program penjagaan komprehensif untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan?

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada program penjagaan komprehensif yang menyediakan koordinasi penjagaan dan perkhidmatan yang lain untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan meningkatkan hasil bagi kumpulan kanak-kanak ini dan keluarga mereka, dan sama ada mereka mempunyai impak terhadap penggunaan dan kos bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Mesej-mesej utama

Penyelidikan yang berkaitan dengan program penjagaan komprehensif untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan adalah terhad, dan penemuannya perlu dilihat secara berhati-hati.

Program penjagaan komprehensif boleh meningkatkan kepuasan kanak-kanak dan keluarga dengan penjagaan yang telah diberikan; tetapi, lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada program tersebut meningkatkan kesihatan kanak-kanak dan ibu bapa, fungsi, dan kualiti hidup, serta impak program tersebut terhadap kos penjagaan kesihatan dan kos kepada keluarga.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada program penjagaan komprehensif adalah efektif untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan. Program penjagaan komprehensif memberikan koordinasi penjagaan yang membantu komunikasi anggota pasukan rawatan kanak-kanak dan bertujuan untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang optimum kepada kanak-kanak. . Koordinasi penjagaan boleh melibatkan perkara seperti merancang rawatan, memantau hasil dan penggunaan sumber, mengkoordinasi lawatan berjumpa doktor, mengelakkan ujian dan perkhidmatan yang tidak diperlukan, berkongsi maklumat dalam kalangan penjagaan kesihatan profesional dan keluarga, merancang discaj daripada hospital, dan melatih penjaga dan perkhidmatan tempatan. Kami ingin melihat sama ada program penjagaan tersebut meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup kanak-kanak dan keluarga mereka, meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan kepada mereka, mengurangkan kekerapan lawatan ke hospital dan bilangan pakar perubatan berbeza yang perlu ditemui oleh kanak-kanak, dan sama ada program tersebut mengurangkan kos penjagaan kesihatan. Kami juga ingin mengetahui sekiranya semua kanak-kanak dapat mengakses program tersebut, dan sama ada program tersebut mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang telah diterbitkan dengan teliti dan menemui kajian-kajian yang melibatkan kanak-kanak berumur 0 hingga 21 tahun yang dianggap sebagai kompleks dari segi perubatan, iaitu, mempunyai keadaan kronik yang menyebabkan keterbatasan fungsi yang mewujudkan keperluan penjagaan kesihatan yang tinggi, di mana mengakibatkan peningkatan kos penjagaan kesihatan. Kami memasukkan kajian-kajian yang membandingkan kanak-kanak yang telah menerima penjagaan komprehensif dengan mereka yang tidak menerima penjagaan atau mereka yang menerima rawatan biasa tanpa penyelarasan penjagaan. Penjagaan tersebut boleh berasaskan hospital, satu program kolaboratif hospital-komuniti, atau berasaskan komuniti.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui empat kajian dengan sejumlah 912 kanak-kanak sebagai peserta yang telah membandingkan penjagaan komprehensif dengan penjagaan hospital standard tanpa penjagaan khas untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan. Kesemua kajian tersebut mempunyai batasan. Kami telah menemui penjagaan komprehensif yang mungkin membawa sedikit sehingga tiada perbezaan terhadap kesihatan ibu bapa, fungsi dan kualiti hidup, lawatan ke jabatan kecemasan, dan kemasukan ke hospital. Penjagaan komprehensif boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kesihatan kanak-kanak, fungsi, dan kualiti hidup, dan kos terhadap sistem penjagaan kesihatan. Ia boleh meningkatkan sedikit kepuasan kanak-kanak dan keluarga dengan, dan persepsi terhadap, penjagaan dan penyediaan servis. Tiada maklumat dalam kajian-kajian tersebut sama ada semua kanak-kanak dapat mengakses penjagaan komprehensif, sama ada terdapat sebarang kesan yang tidak diingini, dan berapa kos yang perlu ditanggung oleh keluarga. Secara keseluruhannya, kualiti penyelidkan adalah rendah sehingga sederhana dan oleh itu kami kurang yakin tentang keberkesanan penjagaan komprehensif untuk kanak-kanak dengan kerumitan perubatan. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

Apakah batasan bukti?

Terdapat bilangan kajian yang terhad yang telah memenuhi kriteria untuk ulasan ini. Empat kajian yang kami temui adalah dari Amerika Utara, dan kami tidak mempunyai maklumat daripada negara-negara lain. Hanya satu kajian yang telah menaksir kesan koordinasi penjagaan terhadap kesihatan ibu bapa, fungsi, dan kualiti hidup, dan tiada kajian lain yang telah menaksir kos yang perlu ditanggung oleh keluarga atau kesan-kesan yang tidak diingini. Variasi peserta dan intervensi yang dikaji dalam empat kajian tersebut adalah batasan yang perlu dipertimbangkan semasa menafsir keputusan tersebut.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Penulis kajian telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Mei 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Kamisah Ariffin (kamisah@uitm.edu.my).

Tools
Information