Adakah memanjangkan masa rawatan oleh pasukan pakar kesihatan mental lebih baik untuk orang dengan psikosis yang baru bermula?

Apa itu psikosis?

Psikosis menghuraikan keadaan yang menjejaskan minda, di mana orang mempunyai masalah untuk membezakan realiti dan bukan realiti. Ini mungkin melibatkan melihat atau mendengar perkara yang tidak dapat dilihat atau didengar oleh orang lain (halusinasi), atau mempercayai perkara yang tidak benar (khayalan). Gabungan halusinasi dan pemikiran khayalan boleh menyebabkan kesusahan teruk dan perubahan tingkah laku. Psikosis episod pertama adalah kali pertama seseorang mengalami episod psikosis. Psikosis yang baru bermula adalah beberapa tahun pertama penyakit ini setelah seseorang mengalaminya untuk kali pertama.

Psikosis boleh diubati

Ramai orang pulih daripada episod pertama dan tidak pernah mengalami episod psikotik yang lain.

Pasukan intervensi awal mengkhusus dalam merawat psikosis yang baru bermula, dan bertujuan untuk merawat psikosis dengan secepat dan seintensif mungkin. Rawatan psikosis awal yang intensif mungkin membantu lebih banyak orang untuk meneruskan rawatan dan pulih.

Rawatan intervensi awal biasanya berlangsung selama dua atau tiga tahun. Selepas rawatan intervensi awal, seseorang akan dijaga oleh doktor mereka atau oleh profesional kesihatan mental komuniti yang piawai.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan yang lebih lama (sehingga 5 tahun) oleh pasukan pakar intervensi awal lebih berjaya dalam merawat psikosis yang baru bermula berbanding dua atau tiga tahun rawatan yang biasa diikuti dengan rawatan oleh pasukan tidak pakar.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat penggunaan rawatan yang lebih lama untuk psikosis yang baru bermula yang dilakukan oleh pasukan pakar intervensi awal.

Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima orang adalah ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini memberikan bukti yang paling dipercayai mengenai kesan rawatan.

Kami ingin mengetahui, pada akhir rawatan:

- berapa ramai orang yang pulih;

- berapa ramai orang yang menghentikan rawatan mereka terlalu awal;

- berapa ramai orang yang dimasukkan ke hospital psikiatri, dan untuk berapa lama;

- gejala psikotik dan fungsi seseorang (seberapa baik mereka menjalani kehidupan seharian); dan

- berapa ramai orang yang meninggal dunia.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 22 Oktober 2019.

Apakah yang kami temui

Kami mendapati tiga kajian yang dilakukan di Denmark, Kanada dan Hong Kong melibatkan 780 orang (55% lelaki; purata usia 20 hingga 25 tahun).

Kajian tersebut membandingkan rawatan yang lebih lama (sehingga 5 tahun) dengan rawatan piawai (sehingga 3 tahun) oleh pasukan intervensi awal diikuti dengan rawatan seperti biasa (oleh doktor atau profesional kesihatan mental komuniti mereka).

Apakah keputusan ulasan kami?

Kami tidak menemui perbezaan antara rawatan piawai dan rawatan yang lebih lama oleh pasukan intervensi awal dalam jumlah orang yang pulih (dinilai dengan pengurangan gejala; 3 kajian; 780 orang).

Kurang orang yang mungkin menghentikan rawatan mereka terlalu awal dalam tempoh rawatan yang lebih panjang berbanding rawatan piawai (2 kajian; 380 orang).

Mungkin tidak ada perbezaan antara rawatan piawai dan rawatan yang lebih lama untuk berapa ramai orang yang dimasukkan ke hospital psikiatri (1 kajian; 160 orang) atau berapa lama mereka tinggal di hospital (1 kajian; 400 orang).

Rawatan yang lebih panjang mungkin mengurangkan lebih banyak gejala psikotik daripada rawatan piawai (1 kajian; 156 orang) tetapi mungkin tidak meningkatkan fungsi seseorang (2 kajian; 560 orang).

Kami tidak pasti sama ada rawatan yang lebih panjang mengurangkan bilangan orang yang meninggal dunia, berbanding dengan rawatan piawai, kerana begitu sedikit kematian yang dilaporkan dalam kajian (3 kajian; 780 orang).

Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?

Keputusan kami berkemungkinan akan berubah sekiranya lebih banyak bukti menjadi tersedia. Kami tidak yakin bahawa rawatan yang lebih panjang mempengaruhi berapa ramai orang yang menghentikan rawatan terlalu awal, berapa ramai yang dimasukkan ke hospital dan berapa lama mereka tinggal di hospital.

Kami tidak pasti tentang kesan rawatan yang lebih panjang terhadap berapa ramai orang yang pulih, gejala psikotik dan fungsi seseorang, dan jumlah orang yang meninggal dunia. Keputusan ini mungkin berubah setelah lebih banyak bukti menjadi tersedia.

Mesej utama

Rawatan yang lebih panjang terhadap psikosis yang baru bermula oleh pasukan pakar kesihatan mental boleh mengurangkan jumlah orang yang menghentikan rawatan mereka lebih awal. Walau bagaimanapun, kami memerlukan lebih banyak bukti sebelum kami dapat memastikan sama ada rawatan yang lebih panjang secara keseluruhannya lebih baik daripada rawatan biasa selama dua atau tiga tahun.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save