Renjatan elektrik (kardioversi elektrik) dan ubat-ubatan (kardioversi farmakologi) untuk memulihkan ritma normal bagi pesakit dengan fibrilaso atrium atau fluter atrium

Mesej utama

- Kardioversi elektrik dan sesetengah ubat-ubatan boleh digunakan untuk memulihkan ritma normal bagi pesakit dengan fibrilasi atrial (AF) dan fluter atrium. Walaupun kardioversi elektrik sangat berkesan dalam menangani semua aritmia, keberkesanan ubat-ubatan adalah berbeza-beza, di mana sesetengahnya hanya sederhana efektif atau tidak berfungsi sama sekali dalam AF yang berterusan dan fluter atrium.

- Kardioversi elektrik nampaknya adalah satu pilihan yang sangat selamat. Risiko komplikasi teruk dengan kardioversi menggunakan ubat-ubatan adalah rendah, tetapi langkah berjaga-jaga tambahan adalah diperlukan.

‐ Kami memerlukan kajian lanjut untuk mengetahui sama ada pilihan rawatan ini juga mempunyai kesan positif ke atas kualiti hidup, atau jika ia membawa kepada perbezaan yang relevan dalam tempoh tinggal di hospital.

Apakah fibrilasi atrium?

AF ialah ritma jantung abnormal yang paling kerap dilihat di dunia. Pesakit dengan keadaan ini mungkin berasa jantung mereka berdegup dengan laju dan tidak teratur. Ini boleh berlaku untuk episod pendek atau panjang yang berasingan (AF paroksismal) atau ia mungkin berterusan (AF berterusan). Fluter atrium adalah ritma abnormal serupa yang mengakibatkan simptom yang sama, dan boleh mengakibatkan episod-episod untuk tempoh yang berubah-ubah dan boleh menjadi berterusan.

Apakah kardioversi?

Kardioversi adalah rawatan untuk memulihkan ritma jantung kembali kepada normal (ritma sinus).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada merawat dengan renjatan elektrik terkawal (iaitu kardioversi elektrik) dan ubat-ubatan (iaitu kardioversi farmakologi) adalah efektif dan selamat apabila memulihkan ritma jantung kepada normal.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji perbandingan antara kardioversi elektrik dan farmakologi atau plasebo (satu ubat yang kelihatan seperti ubat sebenar tetapi tiada bahan aktif).

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami dalam keputusan tersebut, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui 112 kajian. Kami dapat menggabungkan dan menganalisis keputusan daripada 72 kajian, dengan 15,968 peserta berumur antara 47 dan 72 tahun. Tiga puluh lima kajian menyertakan pesakit dengan AF paroksismal (AF yang tamat secara spontan atau dengan intervensi dalam tempoh 7 hari dari tarikh mula), 26 kajian melibatkan pesakit dengan AF berterusan (AF yang kekal berterusan melebihi tujuh hari, termasuk episod-episod yang ditamatkan oleh kardioversi selepas ≥ 7 hari), dan 14 kajian yang melibatkan pesakit dengan fluter atrium. Selebihnya menyertakan campuran AF paroksismal, berterusan dan flutter atrium.

Keputusan utama

Bagi pesakit dengan AF paroksismal, kardioversi elektrik dengan tenaga penambahan dwifasa, ubat-ubatan bertindak pantas seperti vernakalant intravena, flecainide, ibutilide dan antazoline, serta ubat-ubatan bertindak lebih perlahan dan/ atau oral seperti quinidine, propafenone, amiodarone dan sotalol adalah efektif untuk memulihkan ritma sinus.

Bagi pesakit dengan AF yang berterusan, kardioversi elektrik dengan tenaga dwifasa nampaknya merupakan pilihan yang paling efektif; tablet bepridil, quinidine dan amiodarone juga mungkin berkesan dalam kes-kes terpilih.

Bagi pesakit dengan fluter atrium, kardioversi elektrik diikuti dengan dofetilide adalah pilihan yang paling efektif.

Risiko kematian dan strok adalah sangat rendah bagi pesakit yang menjalani prosedur-prosedur kardioversi.

Aritmia malignan (torsade de pointes, takikardia ventrikel kekal atau fibrilasi ventrikel, yang kesemuanya berkaitan dengan kadar kematian 1-tahun yang tinggi) telah dikaji untuk dofetilide, ibutilide, sotalol, quinidine dan vernakalant, yang mewajarkan keperluan untuk penjagaan khas dan pemantauan yang lebih rapi semasa menggunakan ubat-ubatan tersebut. Data bagi tempoh kemasukan ke hospital tersedia dalam tiga kajian namun, disebabkan terdapat pemilihan waktu yang berubah-ubah dalam kajian tersebut, kami tidak dapat menggabungkannya untuk menilai keberkesanan gabungan tersebut. Kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa tempoh kemasukan ke hospital mungkin lebih rendah dengan rawatan kardioversi elektrik.

Kegagalan jantung terjadi dalam kalangan beberapa pesakit yang dirawat dengan propafenone, flecainide, sotalol, amiodarone, vernakalant, dan plasebo, dan tidak berlaku dalam kalangan pesakit yang menerima kardioversi elektrik, ini mencadangkan bahawa pendekatan yang kedua patut menjadi pilihan sekiranya terdapat kebimbangan mengenai kejadian hasil ini.

Phlebitis (iaitu keradangan vena yang disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan suntikan) kerap berlaku dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan amiodarone, dan disgeusia (iaitu gangguan deria rasa) dan bersin kerap berlaku dalam pesakit yang menerima vernakalant.

Apakah batasan-batasan keputusan yang dikaji?

Kami pasti atau sederhana pasti berhubung keputusan untuk keberkesanan rawatan yang sedia ada bagi AF berterusan dan fluter atrium. Kami kurang pasti tentang keputusan bagi sesetengah pilihan rawatan untuk AF paroksismal.

Tiada data yang mencukupi tentang kualiti hidup, dan data adalah terhad berhubung tempoh tinggal di hospital. Risiko strok atau kematian adalah sangat rendah.

Sejauh manakah kajian dan maklumat dalam ulasan ini terkini?

Kajian yang disertakan dan maklumat adalah terkini sehingga Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Kamisah Ariffin (kamisah@uitm.edu.my).

Tools
Information