Akupunktur untuk hepatitis B kronik

Soalan ulasan
Untuk menilai manfaat dan kemudaratan akupunktur berbanding tanpa intervensi atau akupunktur sham (bukan akupunktur sebenar) pada orang dengan hepatitis B kronik.

Latar belakang
Jangkitan hepatitis B kronik mempunyai impak yang besar pada ekonomi, psikologi, dan kehidupan pada pesakit hepatitis B kronik dan keluarga mereka. Akupunktur telah digunakan untuk merawat pesakit hepatitis B kronik, kerana dipercayai bahawa ia mengurangkan ketidakselesaan dan meningkatkan fungsi imun pada orang yang menghidap penyakit ini. Walau bagaimanapun, manfaat dan kemudaratan akupunktur tidak pernah disahkan dalam kajian sistematik dengan cara yang rapi.

Tarikh carian
Ulasan ini meliputi kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 1 Mac 2019.

Ciri-ciri kajian
Kami telah memasukkan lapan percubaan klinikal rawak dengan 555 peserta. Semua ujian membandingkan antara akupunktur dan tanpa intervensi. Tujuh kajian melibatkan pesakit hepatitis B kronik. Satu kajian melibatkan pesakit hepatitis B kronik dengan batuk kering dan pengumpulan cecair dalam rongga abdomen. Ujian ini menilai intervensi akupuntur heterogen (iaitu akupunktur jarum manual, akupoin tampalan herba, suntikan akupoin, dan terapi haba pada akupoin). Akupoin adalah tapak yang dipilih khusus untuk manipulasi akupunktur. Semua kajian yang menggunakan intervensi bersama heterogen diaplikasikan secara sama rata dalam kumpulan yang dibandingkan.

Sumber dana kajian
Tiga daripada lapan ujian klinikal rawak yang terlibat menerima pembiayaan akademik. Baki lima kajian tidak melaporkan maklumat tentang sokongan atau pembiayaan.

Hasil-hasil utama

Tiada satu pun daripada lapan kajian yang dilibatkan telah melaporkan data tentang hasil klinikal yang penting seperti semua punca kematian, kesan buruk yang serius, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, kematian yang berkaitan dengan hepatitis B, atau morbiditi yang berkaitan dengan hepatitis B. Kami tidak pasti sama ada akupunktur berbanding dengan tanpa intervensi mempunyai kesan yang berfaedah atau berbahaya tentang kesan buruk yang dianggap tidak serius. Akupunktur berbanding dengan tanpa intervensi seolah-olah mengurangkan bilangan orang yang dikesan dengan DNA virus hepatitis B (HBV) (hasil pengganti yang tidak disahkan; hanya satu kajian). Kami tidak pasti sama ada akupunktur berbanding dengan tanpa intervensi mempunyai kesan ke atas bilangan orang yang dikesan dengan HBeAg (hasil pengganti yang tidak disahkan; hanya dua kajian). Waspada adalah perlu semasa mentafsirkan penemuan ini kerana data yang disediakan hanyalah satu atau beberapa ujian yang berisiko tinggi untuk berat sebelah, dan hasil pengganti ini belum lagi terbukti relevan untuk pesakit hepatitis B kronik. Kami tidak pasti sama ada akupunktur dibandingkan dengan tanpa intervensi mempunyai kesan pada baki kesan buruk yang dilaporkan secara berasingan yang dianggap tidak serius. Kami tidak boleh menggunakan data daripada 79 kajian yang lain, yang mungkin menarik untuk ulasan kami, kerana penulis kajian memberikan maklumat yang sangat tidak mencukupi mengenai reka bentuk dan kaedah kajian mereka. Berikutan itu, kami memerlukan lebih banyak maklumat daripada ujian klinikal rawak sebelum kebaikan atau kemudaratan akupunktur untuk hepatitis B kronik boleh ditentukan.

Kepastian bukti

Kepastian bukti bermakna ' tahap keyakinan seseorang bahawa keputusan ulasan adalah betul dalam menyokong atau menolak satu penemuan. ' Kepastian bukti tentang penggunaan akupunktur dalam orang dengan jangkitan virus hepatitis B kronik dari segi kesan yang berfaedah atau berbahaya ke atas kematian, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan, risiko mati akibat jangkitan HBV, dan kesan-kesan buruk yang serius yang tidak boleh ditentukan, kerana kekurangan data tentang hasil ini. Kepastian bukti ke atas akupunktur, jika dibandingkan dengan tanpa intervensi, dari segi kesan buruk yang dianggap tidak serius, bilangan orang yang dikesan dengan HBV DNA, dan bilangan orang yang dikesan dengan HBeAg, adalah sangat rendah. Sama ada dua hasil yang terakhir adalah relevan dengan kesejahteraan orang dengan hepatitis kronik B masih tidak terbukti secara saintifik. Kepastian yang sangat rendah bukti adalah disebabkan oleh data yang tidak mencukupi disebabkan satu, dua, atau sangat sedikit kajian dengan laporan yang tidak mencukupi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information
Share/Save