Program pengurusan kes untuk orang tua yang hidup dengan kelemahan dalam komuniti

Mesej utama

• Program pengurusan kes untuk orang tua yang hidup dengan kelemahan dalam komuniti mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada pesakit dan hasil perkhidmatan serta kos berkaitan penjagaan. 
• Tiada bukti yang mencukupi untuk mewajarkan sebarang perubahan semasa dalam amalan.
• Kajian pada masa hadapan diperlukan untuk menentukan elemen mana dalam program ini memberi manfaat kepada orang yang berbeza.

Mengapa ulasan in penting?

Bilangan orang yang hidup dengan kelemahan dan berumur 65 tahun dan ke atas semakin meningkat di seluruh dunia. Tiada takrifan standard bagi kelemahan, tetapi secara umum, kelemahan adalah kekurangan keupayaan berkaitan usia untuk pulih dengan cepat berikutan masalah kesihatan, yang kemudiannya boleh memberi kesan yang ketara pada aktiviti harian seseorang. Orang yang hidup dengan kelemahan berisiko tinggi mengalami kemerosotan dalam kesihatan dan kesejahteraan, dan sering mengalami perkhidmatan kesihatan dan penjagaan yang tidak diselaraskan dengan baik. Penjagaan bersepadu bertujuan untuk meningkatkan penyelarasan perkhidmatan dan keberhasilan pesakit dan sedang dilaksanakan secara meluas di UK dan antarabangsa. Pengurusan kes adalah satu jenis program penjagaan bersepadu berasaskan komuniti. Program ini disampaikan oleh profesional penjagaan kesihatan atau sosial, disokong oleh pasukan yang lebih luas, dan termasuk penilaian, perancangan penjagaan dan penyelarasan penjagaan untuk memenuhi keperluan individu. Tiada ulasan yang melihat sama ada pengurusan kes meningkatkan keberhasilan pesakit dan perkhidmatan serta mengurangkan kos pada orang berumur 65 tahun dan ke atas yang hidup dengan kelemahan, berbanding dengan penjagaan standard (biasanya melibatkan pengurusan penjagaan dengan pengamal perubatan am). Kami menjalankan ulasan ini untuk menangani jurang tersebut. 

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada program pengurusan kes lebih baik daripada penjagaan standard untuk menambahbaik kadar kematian, kemasukan ke rumah jagaan, kualiti hidup, komplikasi (peristiwa perubatan atau kecederaan yang timbul akibat mengambil bahagian dalam kajian), fungsi fizikal, kemasukan ke hospital, dan kos. 

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari penulisan saintifik untuk kajian rawak terkawal, di mana peserta diagihkan secara rawak untuk menerima sama ada program pengurusan kes atau penjagaan standard.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 20 kajian berkaitan, yang dijalankan di negara berpendapatan tinggi di Eropah, Amerika Utara, Asia, dan Oceania. Ini mewakili 11,860 orang yang hidup dengan kelemahan. 

Keputusan utama

Kematian

Bukti berdasarkan 14 kajian dengan 9924 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian selepas 12 bulan.

• Kemasukan ke rumah jagaan

Bukti adalah berdasarkan empat kajian dengan 1108 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian selepas 12 bulan.

• Kualiti hidup

Bukti adalah berdasarkan 11 kajian dengan 9284 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup selepas tiga hingga 24 bulan.

• Komplikasi

Bukti adalah berdasarkan dua kajian dengan 592 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam komplikasi selepas 12 hingga 24 bulan.

• Perubahan dalam fungsi fizikal 

Bukti adalah berdasarkan 16 kajian dengan 10,652 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam fungsi fizikal selepas tiga hingga 24 bulan.

• Kemasukan ke hospital

Bukti adalah berdasarkan lima kajian dengan 2424 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kemasukan ke hospital selepas 12 bulan.

• Perubahan dalam kos

Bukti adalah berdasarkan 14 kajian dengan 8486 peserta. Program pengurusan kes berbanding penjagaan standard mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam perubahan kos (termasuk kos perkhidmatan penjagaan kesihatan, kos intervensi dan kos lain seperti penjagaan tidak formal) selepas enam hingga 36 bulan.

Had utama ulasan ini

Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap bukti tentang kematian, kemasukan ke rumah jagaan, kualiti hidup, komplikasi, dan perubahan dalam fungsi fizikal, dan kami mempunyai keyakinan sederhana dalam bukti tentang perubahan dalam penggunaan penjagaan kesihatan dan perubahan kos. Isu yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti termasuklah variasi yang besar antara kajian dalam bilangan orang yang didaftarkan, definisi kelemahan, tetapan program pengurusan kes, penyedia penjagaan yang terlibat, dan titik masa pengukuran hasil.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian sehingga 23 September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information