Kemoterapi pasca pembedahan untuk kolangiokarsinoma yang sesuai dibuang melalui pembedahan

Soalan Ulasan

Apakah faedah dan kemudaratan kemoterapi adjuvan pasca pembedahan (ubat yang diberikan selepas pembedahan, bertujuan untuk membunuh barah yang tersisa selepas pembedahan tersebut) berbanding dengan kemoterapi adjuvan bukan pasca pembedahan ataupun jenis atau bentuk kemoterapi lain pada individu yang menjalani pembedahan menyingkir kolangiokarsinoma (barah pada saluran hempedu) dengan niat untuk menyembuhkan.

Latar belakang

Kolangiokarsinoma adalah tumor agresif yang memerlukan pembedahan sebagai rawatan utama. Saluran hempedu adalah 'paip' saliran yang membawa hempedu dari hati ke pundi hempedu, dan dari pundi hempedu ke usus kecil. Walaupun pembedahan penyingkiran (resection) kolangiokarsinoma lengkap, tumor yang berulang adalah perkara biasa, menyebabkan prognosis yang buruk bagi pesakit. Kemoterapi adjuvan pasca pembedahan (rawatan tambahan selepas rawatan awal) yang diberikan setelah pembedahan pernah dianggap dapat mengurangkan risiko kambuh barah dengan menghilangkan sisa-sisa barah dan luka-luka mikromatik (mikrotumor yang telah merebak dari barah ke kawasan yang jauh dari tubuh). Manfaat dan bahaya keseluruhan jenis rawatan ini adalah tidak jelas.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari artikel yang telah diterbitkan yang menggambarkan ujian klinikal secara rawak (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) untuk mengenal pasti peranan kemoterapi adjuvan pasca pembedahan, dan menemui lima kajian dengan jumlah 931 peserta. Empat kajian (867 peserta) telah membandingkan pembedahan dan kemoterapi adjuvan pasca pembedahan (mitomycin-C dan 5-fluorouracil (5-FU); gemcitabine; gemcitabine dengan oxaliplatin; atau capecitabine) dengan pembedahan sahaja (tidak ada kemoterapi adjuvan pasca pembedahan). Satu kajian (70 peserta; 64 dengan kolangiokarsinoma dan 6 dengan karsinoma pundi hempedu) telah membandingkan pembedahan dan satu kemoterapi oral tambahan baru (S-1) (turunan fluoropyrimidine) berbanding pembedahan dan kemoterapi adjuvan berasaskan gemcitabine.

Pembiayaan: dua percubaan kajian telah menerima sokongan dana daripada syarikat-syarikat ubat; satu percubaan kajian telah menerima dana dari Persatuan Onkologi Klinikal Jepun; satu percubaan menerima sokongan dana dari "Program Hospitalier de Recherche Clinique (PHRC 2009) dan Ligue Nationale Contre le Cancer"; dan satu percubaan kajian tidak memberikan maklumat mengenai sokongan dana ataupun penajaan.

Kami juga telah mengenal pasti enam ujian klinikal secara rawak yang sedang dijalankan.

Hasil-hasil utama

Kami amat tidak pasti sama ada kemoterapi adjuvan pasca pembedahan mempunyai sebarang kesan terhadap kematian dari sebarang punca. Hanya satu percubaan kajian yang telah dilaporkan mengenai peristiwa sampingan. Walaupun percubaan ini menunjukkan bahawa kemoterapi adjuvan pasca pembedahan dapat meningkatkan peristiwa sampingan yang serius, hasil kajian ini adalah sangat tidak pasti kerana kurangnya kajian (hanya satu yang dijumpai) dan jumlah peserta yang rendah. Tidak ada maklumat mengenai kualiti hidup, kematian akibat barah, tempoh masa untuk tumor berulang, dan kejadian buruk yang tidak serius.

Kesimpulan

Oleh kerana kualiti kajian yang buruk, jumlah kajian yang tidak mencukupi, dan jumlah peserta yang rendah, kesan kemoterapi adjuvan pasca pembedahan berbanding dengan kemoterapi adjuvan bukan pasca pembedahan terhadap kematian dan kejadian buruk yang serius tidak dapat dipastikan. Lebih ujian klinikal secara rawak yang dirancang dengan kaedah kajian yang lebih baik serta bilangan peserta yang lebih besar adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Bin Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information