Adakah pengukuran tahap bilirubin melalui kulit merupakan alternatif yang boleh dipercayai dalam mengukur paras bilirubin dalam darah bagi bayi yang baru lahir?

Mesej utama

Kajian yang disertakan dalam ulasan ini mencadangkan bahawa paras bilirubin yang tinggi dalam bayi yang baru lahir boleh dikenalpasti melalui pengukuran paras bilirubin melalui kulit tanpa jarum.

Mengapakah penting untuk mendiagnos paras bilirubin yang tinggi terhadap bayi yang baru lahir?

Bilirubin ialah bahan yang dihasilkan akibat pemecahan sel darah merah. Jaundis ialah masalah yang sangat biasa pada tempoh awal kelahiran dan berpunca daripada paras bilirubin yang tinggi dalam darah (hiperbilirubinemia). Pengesanan awal hiperbilirubinemia adalah penting bagi mengelakkan akibat yang tidak diingini seperti kerosakan otak.

Apakah pengukuran bilirubin transkutaneus?

Prosedur biasa untuk mengukur bilirubin dalam bayi yang baru lahir adalah dengan mengumpul sampel darah (melalui tusukan kecil di tumit atau memasukkan jarum ke dalam vena, yang boleh menyakiti bayi) dan menguji sampel darah tersebut di makmal (pengukuran jumlah bilirubin serum). Walau bagaimanapun, terdapat alat yang boleh mengukur bilirubin dengan memancarkan cahaya melalui kulit (pengukuran bilirubin transkutaneus). Kaedah ini tidak menyakitkan dan memberikan keputusan bacaan yang hampir serta-merta.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sekiranya alat pengukuran bilirubin transkutaneus boleh mendiagnos hiperbilirubinemia dengan tepat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian yang telah menyelidik ketepatan pengukuran bilirubin transkutaneus berbanding dengan pengukuran jumlah bilirubin serum. Kami berhasrat untuk menggabungkan keputusan semua kajian menggunakan kaedah statistik tetapi tidak dapat melakukannya. Sebaliknya, kami hanya membentangkan keputusan kajian secara naratif.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 23 buah kajian (5058 orang peserta) yang dijalankan di negara-negara yang berlainan dan persekitaran yang berbeza, yang menggunkan alat pengukur bilirubin transkutaneus yang berbeza dan kaedah penentuan hiperbilirubinemia dengan nilai bilirubin yang berbeza. Sesetengah bayi yang terlibat adalah pramatang dan selainnya dilahirkan cukup bulan (kehamilan 37 minggu ke atas); usia mereka diantara sejurus selepas kelahiran sehingga satu bulan. Secara keseluruhannya, penemuan kajian menunjukkan bahawa pengukuran bilirubin transkutaneus merupakan satu alat saringan yang baik bagi mengesan hiperbilirubinemia bagi bayi yang baru lahir. Kajian yang disertakan mendapati darjah atau tahap ketepatan yang berbeza dalam pengukuran bilirubin transkutaneus. Walau bagaimanapun, disebabkan perbezaan antara kajian, kami tidak dapat memberikan rumusan gabungan berkaitan ketepatan keseluruhan ujian. Perbezaan dalam kajian ini termasuklah faktor-faktor seperti nilai ambang untuk hiperbilirubinemia, jenis alat pengukur bilirubin transkutaneus dan umur serta etnik/warna kulit bayi yang terlibat.

Apakah batasan bukti?

Kajian yang terlibat mempunyai kualiti metodologi yang tinggi. Walau bagaimanapun, kami melaporkan keputusan secara naratif dan tidak menilai kualiti bukti secara formal menggunakan GRADE.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information