Intervensi untuk merawat prostatitis kronik dan sakit pelvis kronik pada lelaki

Soalan ulasan

Apakah kesan terapi perubatan pada lelaki dengan kesakitan dan ketidakselesaan yang lama di sekitar prostat dan pelvis mereka, yang mana disebut sebagai prostatitis kronik / sindrom kesakitan pelvis kronik (CP / CPPS)?

Latar belakang

CP / CPPS adalah gangguan biasa di mana lelaki merasakan sakit di pelvis atau mempunyai gejala yang mengganggu (atau kedua-duanya) ketika membuang air kecil. Puncanya tidak diketahui dan terdapat banyak rawatan yang berbeza untuk keadaan ini.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2019. Kami menemui 96 kajian yang dilakukan antara 1983 dan 2016 dalam kalangan 8646 lelaki dengan CP / CPPS, dengan penilaian 16 jenis intervensi farmakologi. Terapi-terapi ini diberikan kepada lelaki sebagai pesakit luar. Sebilangan besar kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan mereka; 21 kajian melaporkan pembiayaan dari syarikat farmaseutikal.

Keputusan utama

Penyekat alfa: kami tidak pasti mengenai kesan penyekat alfa pada gejala prostatitis. Penyekat alfa boleh meningkatkan kesan sampingan, seperti pening dan tekanan darah rendah. Penyekat alfa mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam masalah seksual, kualiti hidup atau kegelisahan dan kemurungan.

Perencat 5-alfa reduktase (5-ARI): 5-ARI mungkin mengurangkan gejala prostatitis dan mungkin tidak dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan berbanding yang dilihat pada lelaki yang mengambil plasebo. Tidak ada maklumat mengenai masalah seksual, kualiti hidup atau kegelisahan dan kemurungan.

Antibiotik: antibiotik boleh mengurangkan gejala prostatitis dan mungkin tidak berkaitan dengan kesan sampingan. Antibiotik mungkin mengakibatkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam masalah seksual dan kualiti hidup. Tidak ada maklumat mengenai kegelisahan dan kemurungan.

Anti-radang: anti-radang mungkin boleh mengurangkan gejala prostatitis dan mungkin tidak berkaitan dengan kesan sampingan. Tidak ada maklumat mengenai masalah seksual, kualiti hidup atau kegelisahan dan kemurungan.

Fitoterapi: fitoterapi mungkin boleh mengurangkan gejala prostatitis dan mungkin tidak berkaitan dengan kesan sampingan. Fitoterapi mungkin tidak memperbaiki masalah seksual. Tidak ada maklumat mengenai kualiti hidup dan kegelisahan dan kemurungan.

Botulinum toxin A (BTA): suntikan toksin ini ke dalam prostat boleh menyebabkan pengurangan gejala prostatitis yang besar, tetapi jika digunakan pada otot pelvis, BTA mungkin tidak menyebabkan kesan ini. Suntikan ini mungkin tidak berkaitan dengan kesan sampingan. Tidak ada maklumat mengenai masalah seksual, kualiti hidup atau kegelisahan dan kemurungan.

Allopurinol: allopurinol boleh menyebabkan sedikit atau tidak ada perbezaan dalam gejala prostatitis dan mungkin tidak dikaitkan dengan kesan sampingan. Tidak ada maklumat mengenai masalah seksual, kualiti hidup atau kegelisahan dan kemurungan.

Perubatan Tradisional Cina (TCM): TCM mungkin boleh mengurangkan gejala prostatitis dan mungkin tidak berkaitan dengan kesan sampingan. TCM mungkin tidak memperbaiki masalah seksual dan mungkin tidak memperbaiki gejala kegelisahan dan kemurungan. Tiada maklumat tentang kualiti hidup.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah hingga sangat rendah dalam kebanyakan kes, yang bermaksud bahawa terdapat banyak ketidakpastian mengenai hasilnya. Masalah yang paling kerap dikesan dalam kajian yang disertakan adalah reka bentuk yang tidak mencukupi, ukuran sampel yang kecil dan masa tindakan susulan yang pendek (biasanya 12 minggu).

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (International Islamic University Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information