Pembuangan awal yang dirancang berbanding pengurusan jangkaan kateter pusat yang dipasang secara periferal untuk mencegah jangkitan pada bayi baru lahir

Soalan Ulasan Kajian
Pada bayi yang baru lahir dengan kateter pusat yang dimasukkan secara periferal, adakah pembuangan awal kateter dapat mengurangkan risiko komplikasi, termasuk jangkitan?

Latar belakang
Jangkitan dalam aliran darah adalah komplikasi yang kerap dan berbahaya bagi bayi yang baru lahir yang mempunyai kateter pusat yang dimasukkan secara periferal (tiub plastik yang panjang, sempit, lembut dan fleksibel yang dimasukkan melalui kulit ke dalam saluran darah dan ditolak beberapa sentimeter ke saluran darah besar bayi; digunakan sebagai jalan yang stabil untuk menyalurkan ubat dan pemakanan). Jangkitan pada aliran darah boleh menyebabkan kematian dan kecacatan. Salah satu kaedah yang berpotensi untuk mengurangkan risiko ini dan komplikasi serius yang lain adalah dengan membuang kateter dalam masa kira-kira dua minggu selepas dimasukkan daripada membiarkannya lebih lama sehingga tidak diperlukan lagi.

Ciri-ciri kajian/hasil utama
Kami tidak menemui percubaan terkawal secara rawak yang menilai sama ada membuang kateter pusat yang dimasukkan secara periferal dalam masa dua minggu mencegah jangkitan atau komplikasi lain pada bayi baru lahir.

Kesimpulannya
Tidak ada data percubaan yang tersedia untuk membantu doktor menangani dilema klinikal yang biasa ini. Oleh kerana potensi yang menguntungkan dan membahayakan, percubaan seperti itu mungkin diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek, Pelajar Pascasiswazah (IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information