Intervensi untuk ibu bapa sahaja bagi kanak-kanak berlebihan berat badan atau obes berumur 5 hingga 11 tahun

Soalan ulasan

Sejauh manakah keberkesanan intervensi diet, aktiviti fizikal dan tingkah laku yang disampaikan kepada ibu bapa sahaja dalam mengurangkan berat badan kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes?

Latar belakang

Di seluruh dunia, semakin ramai kanak-kanak menjadi berlebihan berat badan dan obes. Kanak-kanak ini lebih berkemungkinan untuk mengalami masalah kesihatan semasa zaman kanak-kanak dan pada masa akan datang. Ibu bapa boleh memainkan peranan penting dalam menentukan apa yang anak-anak mereka makan. Maklumat lanjut diperlukan tentang sama ada membantu ibu bapa untuk membuat perubahan pada diet dan gaya hidup keluarga mereka akan menangani masalah ini.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui 20 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) bagi membandingkan rawatan diet, aktiviti fizikal dan tingkah laku (di mana tabiat diubah atau diperbaiki) dengan pelbagai kumpulan kawalan (yang tidak menerima rawatan) yang hanya disampaikan kepada ibu bapa kepada 3057 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun. Terdapat sedikit persamaan antara kajian dalam sifat dan jenis intervensi yang digunakan. Kami mengumpulkan kajian mengikut jenis perbandingan. Ulasan sistematik kami melaporkan mengenai kesan intervensi untuk ibu bapa sahaja berbanding dengan intervensi ibu bapa dan anak, kawalan senarai menunggu (di mana intervensi ditangguhkan sehingga akhir kajian), intervensi lain dengan hanya maklumat atau hubungan minimum dan lain-lain jenis intervensi ibu bapa sahaja. Kanak-kanak yang terlibat dalam kajian telah dipantau (disusuli) selama antara enam bulan hingga dua tahun. Bukti adalah terkini setakat Mac 2015.

Keputusan utama

Hasil yang paling dilaporkan adalah indeks jisim badan (BMI). Ini adalah ukuran lemak badan dan ia dikira dengan membahagikan berat badan (dalam kilogram) dengan ketinggian dalam meter berkuasa dua (kg/m2). Kajian mengukur BMI dengan cara yang mengambil kira jantina, berat badan dan ketinggian seiring dengan kanak-kanak meningkat dewasa (seperti skor z BMI dan persentil BMI).

Apabila dibandingkan dengan kawalan senarai menunggu, terdapat bukti terhad bahawa intervensi ibu bapa membantu mengurangkan BMI. Melihat kepada tempoh susulan terpanjang bagi kajian yang terlibat, kami tidak menemui bukti kukuh tentang kelebihan atau kekurangan intervensi ibu bapa sahaja apabila dibandingkan dengan intervensi ibu bapa dan anak, atau apabila dibandingkan dengan maklumat terhad. Ulasan kami mendapati sangat sedikit maklumat tentang perbandingan pelbagai jenis intervensi ibu bapa yang berbeza. Tiada kajian yang melaporkan kematian atas sebarang sebab, penyakit atau kesan sosioekonomi (seperti sama ada intervensi ibu bapa sahaja adalah lebih rendah dalam kos berbanding dengan intervensi ibu bapa dan anak). Dua kajian melaporkan tiada kesan sampingan yang serius dan kajian-kajian selebihnya tidak melaporkan sama ada kesan sampingan berlaku atau tidak. Maklumat tentang hubungan ibu bapa dan anak serta kualiti hidup yang berkaitan kesihatan jarang dilaporkan.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah, terutamanya disebabkan terdapat hanya beberapa kajian untuk setiap ukuran atau bilangan kanak-kanak yang terlibat adalah kecil. Di samping itu, ramai kanak-kanak yang meninggalkan kajian sebelum mereka selesai.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information