Intervensi latihan kognitif untuk demensia dan kemerosotan kognitif yang ringan dalam penyakit Parkinson

Soalan ulasan

Pengulas ingin tahu sama ada intervensi latihan kognitif berkesan dalam meningkatkan kognitif (berfikir) dalam kalangan orang dengan demensia penyakit Parkinson atau kemerosotan kognitif yang ringan.

Latar belakang

Hampir 60% kepada 80% orang yang mempunyai penyakit Parkinson (PD) mengalami beberapa tahap kemerosotan kognitif, bermakna mereka mungkin mempunyai kesukaran dalam berfikir dan pertimbangan, ingatan, bahasa, atau persepsi. Jika kesukaran ini cukup teruk untuk memberi kesan ke atas keupayaan seseorang untuk menjalankan aktiviti harian, maka orang itu dikatakan mempunyai demensia penyakit Parkinson (PDD). Jika seseorang mempunyai masalah kognitif tetapi aktiviti harian mereka tidak terjejas dengan ketara, maka dia dikatakan mempunyai kemerosotan kognitif ringan dalam penyakit Parkinson (PD-MCI). Latihan kognitif melibatkan amalan kemahiran kognitif seperti ingatan, perhatian, dan bahasa melalui tugasan tertentu. Ia mungkin dapat membantu orang dengan PDD atau PD-MCI mengekalkan kemahiran kognitif yang lebih baik.

Apa yang telah pengulas lakukan

Tinjauan ini memeriksa sama ada latihan kognitif berkesan dalam meningkatkan hasil seperti kemahiran kognitif secara keseluruhan ('kognisi global'), ingatan, perhatian, atau keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dalam kalangan orang dengan PD dan sama ada mempunyai demensia atau MCI. Pengulas mencari literatur perubatan untuk kajian penyelidikan yang membandingkan orang yang menerima intervensi latihan kognitif dengan mereka yang tidak menerima intervensi ('kumpulan kawalan'). Pengulas hanya memasukkan kajian yang mempunyai keputusan sama ada seseorang yang menerima intervensi latihan kognitif dibuat secara rawak atau tidak; seperti kajian tersebut dipanggil ujian klinikal rawak terkawal dan dianggap sebagai kaedah yang paling adil untuk menguji sama ada rawatan adalah berkesan atau tidak. Pengulas tidak memeriksa jenis-jenis kajian yang lain.

Apa yang pengulas temui

Pengulas mendapati tujuh kajian yang secara rawak memperuntukkan sejumlah 225 peserta kepada latihan kognitif atau kepada kumpulan kawalan. Rawatan berlangsung dari empat hingga lapan minggu. Semua intervensi latihan kognitif telah disampaikan melalui komputer. Kumpulan kawalan tidak menerima sama ada campur tangan atau intervensi kawalan seperti bahasa atau latihan motor atau penyertaan dalam aktiviti rekreasi. Pengulas mendapati tiada perbezaan antara orang yang menerima latihan kognitif dan orang dalam kumpulan kawalan daripada segi kognisi global tidak lama selepas rawatan berakhir. Tidak ada bukti yang meyakinkan untuk manfaat dalam kemahiran kognitif tertentu dan tiada faedah yang ditunjukkan dalam aktivit kehidupan seharian atau kualiti hidup. Walau bagaimanapun, dapatan ini berdasarkan bilangan peserta yang kecil dalam bilangan kajian yamh kecil. Keseluruhan kepastian bukti tersebut adalah rendah, bermakna keputusan kajian yang lebih lanjut mungkin berbeza daripada keputusan dalam ulasan ini.

Kesimpulan

Pengulas mendapati tiada bukti yang baik bahawa latihan kognitif membantu orang ramai dengan penyakit Parkinson beserta demensia atau MCI. Kajian yang dimasukkan adalah kecil dan mempunyai kelemahan yang mungkin menjejaskan penemuan. Kepastian keputusan adalah rendah, dan kajian lanjut diperlukan sebelum kita boleh yakin sama ada latihan kognitif berkesan untuk kumpulan orang ini atau tidak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi Mara). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information