Perencat PCSK9 untuk pencegahan penyakit kardiovaskular

Soalan penyelidikan

Apakah keberkesanan dan keselamatan perencat PCSK9 untuk pencegahan penyakit kardiovaskular (CVD)?

Latar belakang

Walaupun terdapat ubat-ubatan yang berkesan (seperti statin (yang berfungsi dengan menyekat bahan yang diperlukan oleh tubuh untuk membuat kolesterol) atau ezetimibe (yang menghentikan tubuh mengambil kolesterol dari makanan), atau kedua-duanya) yang mengurangkan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) kolesterol (LDL-C) (kadang-kadang disebut kolesterol 'jahat'), CVD kekal sebagai penyebab penting kematian dan penyakit. Pengurangan LDL-C tambahan mungkin diperlukan, terutama bagi orang yang tidak responsif, atau tidak dapat menggunakan, terapi pengurangan LDL-C sedia ada. Ubat-ubatan yang disebut perencat PCSK9 adalah cara lain untuk menurunkan risiko LDL-C dan CVD.

Ciri-ciri kajian

Pengarang ulasan mengenal pasti 23 kajian yang menilai kesan perencat PCSK9, alirocumab dan evolocumab, dalam kalangan orang yang berisiko tinggi untuk CVD. Kajian-kajian dilakukan di klinik pesakit luar. Pengarang ulasan mengenal pasti kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini melalui carian literatur elektronik yang dilakukan hingga Disember 2019. Ini adalah kemas kini ulasan pertama diterbitkan pada 2017.

Keputusan utama

Kedua-dua alirocumab dan evolocumab menurunkan risiko CVD apabila ditambah kepada ubat penurun LDL-C lain (seperti statin atau ezetimibe). Alirocumab juga menunjukkan penurunan kematian akibat sebarang punca; tiada cukup bukti untuk evolocumab. Terdapat data terhad, berkualiti rendah, sedia ada yang membandingkan perencat PCSK9 ini dengan ubat penurun LDL-C lain. Perbezaan risiko di antara orang yang dirawat dengan dan tanpa perencat PCSK9 mencadangkan manfaat rawatan mutlak mungkin lebih sederhana (contohnya kurang 1% perubahan risiko).

Kualiti bukti

Kami mendapati bukti berkualiti tinggi apabila menambah perencat PCSK9 kepada rawatan penurun LDL-C sedia ada dan bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah apabila mengganti ubat penurun LDL-C sedia ada dengan perencat PCSK9.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save