Makanan tambahan Souvenaid untuk mencegah demensia atau melambatkan kemerosotan kognitif pada penghidap penyakit Alzheimer (AD)

Soalan ulasan

Kami menyiasat sama ada mereka yang mempunyai kerosakan kognitif ringan (MCI) disebabkan penyakit Alzheimer (AD) boleh mengurangkan risiko mereka mendapat demensia dengan makanan tambahan yang dipatenkan yang dipanggil sebagai Souvenaid. Kami juga menyiasat kesan Souvenaid terhadap ingatan ataupun kemahiran berfikir lain, kemampuan untuk menjalankan aktiviti seharian, dan kesan-kesan sampingan dikalangan penghidap MCI ataupun mana-mana peringkat demensia disebabkan oleh AD.

Latar belakang

Alzheimer adalah penyakit yang berkaitan dengan otak. Ia adalah penyebab demensia yang paling lazim dalam kalangan warga emas. Seseorang dikatakan mengalami demensia apabila terdapat kemerosotan kepada ingatan dan kemahiran berfikir mereka yang cukup teruk sehingga menyebabkan mereka tidak dapat berdikari sepenuhnya dalam semua aktiviti harian mereka. Disebabkan AD berkembang dengan perlahan, terdapat kemungkinan untuk mengesan simptom-simptom awal sebelum demensia berkembang sepenuhnya. Pada peringkat pra-demensia ini, apabila mereka dengan AD mengalami kemerosotan ingatan dan kemahiran berfikir yang boleh dikesan tetapi masih mampu menguruskan aktiviti biasa mereka secara bebas, peringkat ini dikenali sebagai kerosakan kognitif ringan disebabkan AD, atau AD ‘prodromal’.

Souvenaid adalah campuran vitamin dan mineral yang dipatenkan oleh (Fortasyn Connect™) yang direka untuk meningkatkan fungsi otak dalam AD. Ia adalah minuman yang perlu diambil sekali sehari. Suplemen ini sepatutnya diambil di bawah pengawasan ahli perubatan, sebagai tambahan kepada diet harian.

Pencarian bukti

Kami secara sistematik mencari kajan rawak terkawal (RCT) yang diterbitkan sehingga Jun 2020 dan yang membandingkan rawatan dengan Souvenaid selama sekurang-kurangnya 16 minggu dengan rawatan dengan suplemen palsu (plasebo). Bagi memastikan perbandingan adalah adil, peserta ditentukan secara rawak sama ada mereka diberikan Souvenaid ataupun plasebo.

Keputusan utama

Kami menemui tiga RCT dengan sejumlah 1097 peserta untuk disertakan dalam ulasan ini. Dua daripada kajian-kajian itu mengkaji kesan Souvenaid ke atas penghidap demensia dalam tempoh rawatan selama 24 minggu. Salah satu kajian melibatkan seramai 527 peserta dengan demensia ringan dan sederhana disebabkan oleh AD dan yang kajian yang lain melibatkan sejumlah 259 peserta dengan demensia ringan disebabkan oleh AD. Kajian ketiga menyiasat penggunaan Souvenaid selama dua tahun ke atas 311 pesakit yang mempunyai prodromal AD.

Kami mendapati semua kajian direka dengan baik, tetapi disebabkan perbezaan diantara kajian-kajian ini dalam keterukan simptom para peserta yang dipilih dan dengan cara penyelidik mengukur keputusan mereka, kami tidak dapat menggabungkan data-data secara numerikal dari kajian-kajian tunggal ini. Disebabkan oleh perkara di atas, semua keputusan yang kami laporkan adalah berdasarkan kajian-kajian tunggal, ini menyebabkan kami hanya berkeyakinan sederhana dalam penemuan-penemuan ulasan ini. Ini bermakna keputusan-keputusan ini mungkin boleh berubah dengan penyelidikan yang lebih lanjut.

Kami mendapati mereka dengan prodromal AD yang mengambil Souvenaid setiap hari selama dua tahun mungkin tidak lebih atau kurang cenderung daripada mereka yang mengambil plasebo untuk mendapat demensia.

Souvenaid mungkin mempunyai sedikit sahaja ataupun tiada kesan terhadap ukuran ingatan ataupun kemahiran berfikir lain dikalangan prodromal AD (selepas dua tahun rawatan) atau dengan demensia ringan hingga sederhana disebabkan AD (selepas 24 minggu rawatan). Ia juga mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan langsung terhadap kemampuan mereka dengan demensia ringan atau ringan ke sederhana disebabkan oleh AD untuk menguruskan aktiviti harian (sekali lagi selepas 24 minggu).

Dua kajian menggunakan skala hasil yang menggabungkan ingatan dan kemahiran berfikir dengan kemahiran praktikal (diterangkan sebagai hasil gabungan kognitif-fungsi). Mungkin terdapat sedikit manfaat Souvenaid terhadap hasil ini dalam kalangan mereka yang mempunyai prodromal AD yang mengambil Souvenaid selama dua tahun. Walau bagaimanapun, mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan Souvenaid terhadap hasil ini dalam kalangan mereka dengan AD demensia ringan ke sederhana yang mengambilnya selama 24 minggu.

Hanya terdapat sedikit kesan buruk yang dilaporkan oleh kajian-kajian ini, dan kami tidak mungkin tahu sama ada ia merupakan kesan-kesan sampingan Souvenaid ataupun tidak.

Sumber pembiayaan kajian

Dua kajian dibiayai oleh pengeluar Souvenaid. Kajian ketiga (dalam AD prodromal) dibiayai oleh geran Eropah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information