Pengurangan stres berasaskan-terapi kesedaran bagi wanita yang mempunyai kanser payudara

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan Kajian Cochrane ini adalah untuk menentukan sama ada terapi pengurangan stres berasaskan-kesedaran (MBSR) memberi manfaat kepada wanita dengan kanser payudara. Penyelidik Cochrane mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 14 kajian, yang kebanyakkannya melibatkan wanita dengan kanser payudara peringkat awal.

Mesej-mesej utama

Kesihatan para peserta wanita dipantau pada beberapa masa yang berlainan: sebaik sahaja MBSR tamat, dalam tempoh enam bulan selepas melengkapkan MBSR dan sehingga dua tahun selepas MBSR.

MBSR mungkin meningkatkan sedikit kualiti hidup pada akhir intervensi tetapi tidak banyak perbezaan ke atas keseluruhan kesejahteraan para peserta wanita (kualiti hidup) selepas daripada itu. MBSR mungkin mengurangkan kebimbangan dan kemurungan, dan mungkin juga meningkatkan kualiti tidur di kedua-dua penghujung MBSR dan sehingga enam bulan kemudian. Peserta wanita dilaporkan kurang letih sejurus selepas melengkapkan MBSR tetapi kesan ini hilang sebelum sampai 6 bulan kemudian. Tiada maklumat yang ada mengenai kelansungan hidup atau kesan buruk.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Wanita penghidap kanser payudara kebanyakkannya mendapati pengalaman menerima diagnosis dan rawatan kanser payudara ini sebagai satu keadaan yang teruk dan mengancam nyawa mereka,yang secara drastik mempengaruhi kualiti hidup mereka, menyebabkan gejala seperti gangguan tidur, kemurungan, perasaan cemas dan keletihan. Penyelidikan sebelumnya menunjukkan bahawa MBSR kelihatan seperti memberi manfaat kepada pesakit kanser paru-paru, gangguan emosi atau penghidap sakit kronik, jadi dijangkakan yang ia juga mungkin dapat memberi manfaat kepada wanita yang mempunyai kanser payudara.

MBSR adalah program lapan minggu yang bertujuan untuk mengurangkan stres dengan membina kesedaran, ini bermaksud bahawa seseorang mengamalkan kesedaran pada saat ini, melakukan dan menerima perkara pada saat ini dengan tidak menghukum perkara yang telah berlaku, tidak merasa bersalah dengan perkara yang telah berlalu ataupun risau dengan masa hadapan yang tidak pasti. Kami mahu mengkaji sama ada MBSR memberi manfaat kepada wanita penghidap kanser payudara merujuk kepada kualiti hidup, kebimbangan, kemurungan, keletihan dan kualiti tidur. Kami juga melihat pengaruhnya terhadap kelangsungan hidup dan juga kesan buruk yang berkaitan dengan terapi kanser.

Kami mencari kajian yang membandingkan MBSR berbanding tiada rawatan, dan kami mengkaji keputusan pada akhir intervensi, sehingga enam bulan selepas intervensi dan sehingga 2 tahun selepas intervensi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penulis kajian menemui 14 kajian yang berkaitan, para peserta kebanyakkannya terdiri daripada wanita dengan kanser payudara peringkat awal. Kebanyakkan kajian mengambil peserta wanita yang telah menamatkan rawatan kanser. Kami hanya dapat menganalisis hasil 10 kajian yang melibatkan seramai 1571 peserta; empat kajian lain tidak melaporkan hasil yang kami mahukan; pertanyaan kepada pengarang tidak berjaya. Daripada 10 kajian yang dianalisis, 6 dari Amerika Syarikat, 3 dari Eropah, dan 1 dari China.

Kajian menunjukkan MBSR dapat meningkatkan kualiti hidup sedikit pada akhir intervensi tetapi hanya sedikit atau tiada perbezaan pada tempoh enam bulan atau sehingga dua tahun selepas menyelesaikan MBSR. Pada akhir intervensi, MBSR mengurangkan kemurungan, mungkin mengurangkan sedikit keletihan dan kebimbangan, dan mungkin meningkatkan kualiti tidur. Sehingga enam bulan kemudian, MBSR mungkin mengurangkan sedikit kebimbangan dan meningkatkan sedikit kualiti tidur, dan ia mengurangkan sedikit kemurungan. Terdapat manfaat pada keletihan pada akhir intervensi tetapi tidak sampai enam bulan kemudian. Walau bagaimanapun, untuk semua kesan yang baik kecuali untuk kemurungan jangka pendek, hasil yang kami dapati mungkin disebabkan oleh kebetulan sahaja. Sehingga dua tahun selepas intervensi, MBSR mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan pada kebimbangan, kemurungan dan kualiti hidup. Tiada data jangka panjang untuk keletihan atau kualiti tidur. Tiada kajian melaporkan data mengenai kelansungan hidup atau kesan buruk.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save