Persetubuhan bermasa untuk pasangan yang cuba hamil

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan persetubuhan bermasa (menggunakan ramalan ovulasi) berbanding persetubuhan tanpa ramalan ovulasi dalam pasangan yang cuba hamil.

Latar belakang

Ramai pasangan mendapati sukar untuk mencapai kehamilan dan bimbang tentang kesuburan mereka. Dalam setiap kitaran, seorang wanita subur dari kira-kira lima hari sebelum ovulasi (pelepasan telur) sehingga beberapa jam selepas ovulasi disebabkan oleh masa kelangsungan hidup sperma dan telur yang terhad. Mengenal pasti tempoh subur kitaran haid wanita untuk membimbing masa persetubuhan boleh meningkatkan kadar mengandung (kehamilan). Ini mungkin mengurangkan rawatan perubatan yang tidak perlu dan kos rawatan lanjut kemandulan, tetapi ia juga boleh menyebabkan kejadian buruk seperti tekanan. Tempoh subur boleh dikenal pasti menggunakan kaedah yang berbeza, termasuk ujian ovulasi air kencing (peranti dipstick yang boleh mengesan perubahan hormon yang dikeluarkan ke dalam air kencing, menandakan bila ovulasi akan berlaku), kaedah berasaskan kesedaran kesuburan (FABM) (termasuk penjejakan kalendar, memantau perubahan dalam cecair serviks dan suhu badan), atau mengenal pasti bila telur dilepaskan menggunakan ultrasound. Ulasan ini bertujuan untuk menilai faedah dan risiko persetubuhan bermasa pada kehamilan, kelahiran hidup, kesan negatif, dan kualiti hidup dalam pasangan yang cuba hamil.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati tujuh kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) membandingkan persetubuhan bermasa berbanding persetubuhan tanpa ramalan ovulasi dalam 2464 wanita atau pasangan yang cuba hamil. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.

Keputusan utama

Kami telah menambah tiga kajian baru pada kemas kini ini. Kajian yang baru disertakan menguatkan keyakinan kami terhadap kesan ujian ovulasi pada pasangan yang cuba hamil.

Kami menyimpulkan bahawa masa persetubuhan sekitar tempoh subur yang dikenal pasti menggunakan ujian ovulasi air kencing mungkin meningkatkan peluang kehamilan dan kelahiran hidup pada wanita di bawah 40 yang cuba hamil di bawah 12 bulan berbanding dengan persetubuhan tanpa ramalan ovulasi. Keputusan menunjukkan bahawa jika peluang kehamilan berikutan persetubuhan tanpa menggunakan ujian ovulasi air kencing adalah 18%, peluang selepas persetubuhan bermasa dengan pengesanan ovulasi kencing adalah 20% hingga 28%. Di samping itu, jika peluang kelahiran hidup tanpa ramalan ovulasi air kencing ialah 16%, peluang kelahiran hidup dengan ramalan ovulasi air kencing ialah 16% hingga 28%. Walau bagaimanapun, oleh sebab banyak kajian dibiayai oleh pengeluar ujian ovulasi air kencing, keputusannya harus ditafsirkan dengan berhati-hati. Tiada bukti yang mencukupi untuk menyimpulkan kesan persetubuhan bermasa ke atas kehamilan klinikal (kehamilan yang disahkan ultrasound), kejadian buruk seperti tekanan, dan kualiti hidup. Oleh sebab data yang terhad, kami tidak pasti tentang kesan FABM dalam persetubuhan bermasa ke atas hasil kehamilan, kesan buruk, dan kualiti hidup berbanding dengan persetubuhan tanpa ramalan ovulasi.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah dari sederhana hingga sangat rendah. Kajian tambahan dalam bidang ini adalah diperlukan. Had utama bukti adalah bilangan kecil kajian yang disertakan, saiz kajian yang kecil, dan potensi untuk berat sebelah, memandangkan banyak kajian dibiayai oleh pengeluar alat ramalan ovulasi. Akibatnya, penemuan harus ditafsirkan dengan berhati-hati, dan kajian masa depan boleh mengubah kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch’ng Chyi Yang (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information