Terapi luka tekanan negatif untuk merawat ulser tekanan

Mesej utama

Apakah ulser tekanan?

Ulser tekanan, juga dikenali sebagai luka katil, ulser dekubitus, dan kecederaan tekanan, adalah kawasan kecederaan pada kulit, tisu yang terletak di bawahnya, atau kedua-duanya. Ulser tekanan boleh menyakitkan, dijangkiti dan menjejaskan kualiti kehidupan seseorang. Orang yang berisiko mendapat ulser tekanan termasuklah mereka dengan kecederaan saraf tunjang dan mereka yang tidak boleh bergerak atau yang mempunyai pergerakan terhad.

Bagaimana ulser tekanan diuruskan?

Terdapat pelbagai pilihan rawatan yang tersedia untuk ulser tekanan, seperti dresing, pembedahan rekonstruktif, pengagihan semula tekanan, rangsangan elektrik dan terapi luka tekanan negatif (NPWT). NPWT adalah teknologi yang meluas diguna dan dipromosi untuk luka termasuk ulser tekanan. Dalam NPWT, sebuah mesin yang mengguna sedutan yang dikawal rapi (tekanan negatif) disambung kepada dresing yang menutup ulcer tekanan.. Ia akan menyedut cecair dari luka dan tisu dari kawasan rawatan ke dalam satu tabung. Para penyelidik cuba mencari sama ada NPWT berfungsi dengan baik sebagai rawatan untuk ulser tekanan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada penggunaan NPWT berkesan untuk rawatan ulser tekanan di sebarang persekitaran penjagaan. Kami ingin menilai manfaat (penyembuhan luka yang lengkap; masa penyembuhan) dan risiko (peristiwa buruk) NPWT dengan rawatan alternatif atau pelbagai jenis NPWT dalam rawatan ulser tekanan. Kami juga mengambil berat tentang beberapa hasil lain termasuk kualiti hidup, jangkitan luka, perubahan saiz dan keterukan ulser, sakit, kos, penggunaan sumber dan luka berulang. 

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari literatur perubatan untuk kajian-kajian perubatan teguh yang diterbitkan dan tidak diterbitkan (kajian rawak terkawal) yang menilai NPWT untuk merawat ulser tekanan, tanpa sekatan pada bahasa, tarikh penerbitan atau persekitaran kajian. Kami bandingkan dan ringkaskan keputusannya dan menilai keyakinan kami terhadap bukti mengikut kaedah penyelidikan, skala dan faktor-faktor lain.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati lapan kajian yang diterbitkan antara 2002 dan 2022 melibatkan sejumlah 327 peserta dengan ulser tekanan pada Kategori/Peringkat III atau lebih. Lima kajian membandingkan NPWT dengan dresing. Hanya satu kajian dengan sejumlah 12 peserta melaporkan data hasil utama yang boleh digunakan (penyembuhan luka lengkap; kejadian buruk) dan mendapati tiada bukti perbezaan dalam bilangan peserta dengan penyembuhan luka lengkap dan kejadian buruk dalam kumpulan NPWT dan kumpulan dresing.  Tiga kajian melaporkan NPWT boleh mengurangkan saiz ulser tekanan berbanding dresing tetapi keputusannya tidak dilaporkan dengan jelas dan kepastian bukti adalah sangat rendah. Satu kajian dengan sejumlah 60 peserta membandingkan gabungan NPWT dengan penjagaan di rumah Internet-plus dengan penjagaan standard. Kajian ini melaporkan gabungan NPWT dengan penjagaan di rumah Internet-plus mungkin mengurangkan kawasan permukaan ulser, kesakitan, dan masa menukar dresing berbanding penjagaan standard, tetapi risiko bias dalam kajian tersebut, membuat kami turunkan kepastian bukti kepada tahap yang sangat rendah. Satu kajian membandingkan NPWT dengan satu siri rawatan topikal dan satu kajian membandingkannya dengan apa yang digambarkan hanya sebagai 'penyembuhan luka lembap', tetapi tiada data berguna yang diperolehi.

Apakah batasan bukti?

Bukti semasa tentang keberkesanan NPWT dalam rawatan ulser tekanan adalah terhad, dan kebanyakan kajian adalah kecil (median 37 peserta), kurang pelaporan, tempoh yang agak singkat atau tidak jelas, dan mengandungi sedikit data berguna. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang manfaat atau mudarat NPWT dalam merawat ulser tekanan berdasarkan bukti sedia ada. Penyelidikan berkualiti tinggi masih diperlukan untuk membantu pembuat keputusan menilai NPWT dalam rawatan ulser tekanan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga Januari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information