Terapi psikologi (disampaikan secara jarak jauh) untuk pengurusan sakit kronik dan berulang dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

Latar belakang

Mengalami sakit jangka panjang di zaman kanak-kanak adalah lazim. Kanak-kanak dan remaja (< 18 tahun) dengan sakit jangka panjang sering melaporkan sakit yang amat yang memberi impak negatif dalam kehidupan mereka. Kesakitan tersebut boleh mempengaruhi keupayaan fungsi fizikal, boleh mengehad keupayaan untuk ke sekolah, dan boleh membuat mereka merasa gelisah atau murung. Sakit kronik yang paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dan remaja ialah sakit kepala, sakit perut berulang, sakit muskuloskeletal, dan sakit belakang. Biasanya, ahli terapi, secara fizikal bersama pesakit atau keluarga (kaedah yang sering dipanggil bersemuka) memberi terapi psikologi, seperti terapi tingkah laku kognitif (contohnya kemahiran daya tindak, perentakan aktiviti) atau terapi tingkah laku (contohnya senaman relaksasi). Kami tahu terapi bersemuka boleh mengurangkan intensiti sakit dan memperbaiki fungsi fizikal dalam kalangan kanak-kanak. Teknologi (contohnya internet, program komputer, dan aplikasi telefon pintar) kini membolehkan terapi disampaikan tanpa perlu bersemuka dengan ahli terapi. Terapi-terapi yang disampaikan secra jarak jauh menjanjikan rawatan yang lebih mudah untuk diakses kerana ia tidak perlukan perjalanan. Ia juga mungkin lebih murah.

Kami ingin memahami jika terapi psikologi, yang disampaikan secara jarak jauh menggunakan teknologi, dapat membantu kanak-kanak dan remaja dengan sakit jangka panjang untuk mengalami kurang sakit, memperbaiki fungsi fizikal, dan kurang simptom kemurungan dan kegelisahan, berbanding kanak-kanak yang sedang menunggu rawatan (kawalan senarai menunggu), atau sedang dirawat dengan cara lain (kawalan aktif, contohnya menerima pendidikan tentang sakit jangka panjang).

Ciri-ciri kajian

Bagi kemas kini ini, kami menjalankan carian sehingga Mei 2018. Kami menemui 10 kajian yang memasukkan 697 kanak-kanak dan remaja; empat daripada kajian ini (326 peserta) adalah baharu untuk kemas kini ini. Empat kajian merawat kanak-kanak dengan sakit kepala, satu kajian merawat kanak-kanak dengan artritis idiopatik juvenil, satu kajian merawat kanak-kanak dengan penyakit sel sabit, satu kajian menyertakan kanak-kanak dengan sindrom usus iritabel, dan tiga kajian menyertakan sampel kanak-kanak bercampur, ada yang mengalami sakit kepala dan ada yang mengalami keadaan sakit kronik lain. Semua kajian menyampaikan terapi tingkah laku kognitif. Purata usia kanak-kanak yang menerima intervensi adalah 13 tahun. Kami melihat enam hasil: sakit, fungsi fizikal, kemurungan, kegelisahan, kesan sampingan, dan kepuasan rawatan.

Keputusan utama

Kami membahagikan keadaan sakit kepada dua kumpulan dan menelitinya secara berasingan. Kumpulan pertama menyertakan kanak-kanak dengan sakit kepala. Kumpulan kedua menyertakan kanak-kanak dengan keadaan sakit lain (contohnya sakit perut yang kerap, sakit muskuloskeletal), dikenali sebagai ‘sakit kronik bercampur’. Terapi psikologi secara jarak jauh (terutama melalui internet) membantu mengurangkan sakit kanak-kanak dan remaja dengan sakit kepala apabila dinilai segera selepas rawatan. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui kesan bermanfaat untuk kanak-kanak ini pada masa susulan. Kami tidak menemui kesan terapi yang bermanfaat untuk mengurangkan intensiti sakit bagi kanak-kanak dengan sakit jenis lain. Selanjutnya, kami tidak menemui kesan bermanfaat bagi terapi secara jarak jauh terhadap fungsi fizikal, kemurungan, atau kegelisahan selepas rawatan untuk sakit kepala dan keadaan sakit kronik bercampur. Walau bagaimanapun, data adalah terhad bagi keadaan sakit kronik bercampur untuk membuat kesimpulan hasil-hasil ini, terutamanya pada masa susulan. Kepuasan dengan rawatan dijelaskan dalam kajian-kajian tersebut dan secara umum adalah positif. Enam kajian menjelaskan kesan sampingan yang tidak berkaitan dengan penerimaan terapi psikologi.

Pada masa ini, terdapat sangat sedikit kajian yang menyiasat rawatan ini. Perlu berhati-hati apabila mentafsir keputusan-keputusan ini kerana ia berdasarkan bilangan kecil kajian dengan kanak-kanak. Kajian lanjut dalam bidang ini cenderung mengubah penemuan kami dan mungkin menunjukkan rawatan ini berguna untuk mengurangkan sakit dan memperbaiki fungsi dalam kalangan kanak-kanak dengan sakit jangka panjang.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusan tersebut. Bukti berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan keputusan tersebut. Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah, diturunkan gred kerana perbezaan-perbezaan antara kajian dan penilaian untuk hasil yang sama, serta perbezaan-perbezaan yang dikenal pasti dalam ujian statistik. Walau bagaimanapun, bidang ini semakin berkembang dan lebih banyak kajian dengan lebih ramai peserta menggunakan terapi tingkah laku kognitif dan terapi psikologi lain diperlukan untuk menentukan jika terapi secara jarak jauh membantu orang muda dengan sakit jangka panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information