Telerehabilitasi untuk orang yang kurang penglihatan

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai faedah menyediakan perkhidmatan pemulihan penglihatan dari jauh (melalui telerehabilitasi) untuk orang yang kurang penglihatan. Dalam telerehabilitasi penyedia pemulihan penglihatan menggunakan pendekatan berasaskan internet dan bukannya penjagaan biasa di pejabat untuk melatih orang yang mempunyai penglihatan rendah untuk memperbaiki penggunaan fungsi visual yang masih ada. Minat utama kami ialah perubahan dalam kualiti hidup berkaitan penglihatan yang dicapai oleh setiap jenis latihan seperti yang diukur melalui soal selidik. Kami juga berminat dengan fungsi visual, seperti kebolehan membaca, serta pematuhan sesi latihan yang dijadualkan dan penilaian kepuasan.

Mesej utama

Memandangkan minat yang semakin meningkat dalam teleperubatan sebagai satu cara untuk membantu menangani beberapa daripada banyak halangan kepada penjagaan dalam pejabat untuk orang yang kurang penglihatan, kedua-dua kajian yang sedang dijalankan, setelah selesai, boleh membantu kami memahami sama ada telerehabilitasi boleh digunakan untuk menyediakan perkhidmatan kepada orang dengan kurang penglihatan, dan sama ada kesan telerehabilitasi adalah serupa dengan penjagaan di dalam pejabat.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Kurang penglihatan adalah pengurangan dalam fungsi visual yang tidak boleh diperbaiki oleh cermin mata, kanta lekap, atau rawatan perubatan dan pembedahan yang lain. Orang yang mempunyai kurang penglihatan biasanya sukar untuk melakukan aktiviti harian seperti membaca dan memandu. Kira-kira 300 juta orang mempunyai kurang penglihatan di seluruh dunia. Pemulihan penglihatan ialah satu cara untuk membantu meningkatkan kualiti hidup orang yang mempunyai kurang penglihatan, dengan menilai fungsi visual, memberi alat bantuan visual atau peranti yang sesuai, menawarkan perkhidmatan sokongan, dan menyediakan latihan untuk menggunakan peranti pembesar dan strategi untuk memanfaatkan sepenuhnya penglihatan yang tinggal. Latihan pemulihan berasaskan pejabat untuk kurang penglihatan telah terbukti berkesan; namun, terdapat banyak cabaran yang boleh menghalang pesakit daripada menghadiri lawatan di pejabat doktor. Apabila latihan tambahan disediakan, terdapat peningkatan keberkesanan dalam peranti pembesar dan kemahiran untuk menggunakan penglihatan yang tinggal. Teknologi telah memungkinkan untuk menyediakan beberapa perkhidmatan penjagaan kesihatan melalui internet, termasuk telerehabilitasi, yang juga menawarkan kemudahan sesi pemulihan di rumah dalam persekitaran biasa individu. Namun, pada masa ini tidak diketahui sama ada pendekatan untuk perkhidmatan jauh ini berfungsi untuk pemulihan penglihatan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui dua kajian yang masih berterusan tentang telerehabilitasi untuk kurang penglihatan, dan satu kajian telah selesai yang secara tidak langsung menangani persoalan kajian. Kajian yang telah selesai menunjukkan kesan yang sama untuk telerehabilitasi dengan ahli terapi berbanding intervensi kawalan aktif yang melibatkan panduan latihan yang ditadbir sendiri untuk belajar menggunakan peranti elektronik boleh pakai yang baharu untuk kurang penglihatan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini hingga 14 September 2021 untuk kajian yang telah selesai dan 16 Mac 2022 untuk kajian yang masih berterusan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Dikemskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu,my

Tools
Information