Intervensi bukan ubat untuk masalah mengantuk dan tidur bagi pekerja syif yang bekerja waktu malam

Teks ringkasan

Orang yang bekerja syif, terutama syif malam, sering menggambarkan rasa mengantuk pada masa bekerja atau mengalami masalah tidur selepas bekerja. Ini tidak baik untuk kesejahteraan, keselamatan, dan kesihatan mereka. Berdasarkan carian literatur sistematik, kami menilai sama ada intervensi bukan ubat yang diarahkan oleh orang boleh membuat pekerja syif kurang mengantuk semasa syif mereka, dan membantu mereka tidur lebih lama dan lebih baik selepas syif mereka berakhir.

Kajian-kajian yang ditemui

Kami mendapati 17 kajian rawak terkawal (dengan 556 peserta) untuk disertakan dalam ulasan ini. Kami menilai kualiti bukti yang disediakan oleh kebanyakan kajian yang dimasukkan adalah rendah dan sangat rendah. Kajian boleh dibahagikan kepada tiga jenis intervensi: (1) pendedahan kepada cahaya terang; (2) peluang tidur sekejap semasa syif malam; atau (3) yang lain, seperti aktiviti fizikal atau pendidikan tidur.

Keputusan utama

Cahaya terang

Hampir semua kajian cahaya terang yang kami lihat bermasalah dengan cara ia direka bentuk. Masalah ini menyukarkan untuk membezakan mengantuk dan tidur bagi mereka yang menerima cahaya terang dan yang tidak menerima cahaya terang adalah benar-benar disebabkan oleh intervensi cahaya terang. Kajian-kajian juga berbeza bagi jenis cahaya terang yang mereka guna dan juga jenis cahaya yang diterima oleh kumpulan kawalan untuk membuat perbandingan antara satu sama lain.

Tidur sekejap

Kajian dalam kumpulan tidur sekejap tidak melaporkan maklumat yang cukup untuk kami pastikan sama ada ia membantu pekerja syif merasa lebih sedar. Kajian-kajian adalah sangat singkat, dengan setiap kajian hanya berlangsung satu malam.

Lain-lain

Kumpulan kajian-kajian yang meliputi, misalnya, latihan fizikal dan pendidikan tidur, juga melaporkan terlalu sedikit maklumat untuk menyatakan sama ada intervensi ini membuat pekerja syif kurang mengantuk semasa syif atau membantu mereka tidur lebih lama dan lebih baik selepas syif.

Kesimpulan

Kami menyimpulkan bahawa terdapat terlalu banyak ketidakpastian untuk menentukan sama ada intervensi bukan ubat yang diarahkan oleh orang boleh mempengaruhi pekerja syif dengan masalah mengantuk dan tidur. Kami memerlukan kajian-kajian dengan reka bentuk lebih baik, melaporkan reka bentuk dan keputusan dengan lebih jelas, termasuk lebih ramai peserta dan berlanssung lebih lama sebelum kami boleh pasti. Kajian-kajian juga perlu tahu sama ada peserta adalah 'jenis pagi' atau 'jenis petang', untuk mempastikan pekerja syif yang betul menerima intervensi yang sesuai.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Ogos 2015.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information